Mayat wanita bawah jambatan disahkan penuntut kolej hilang

Nur Arina Asbar 
WhatsApp-Image-2025-07-30-at-3
Mayat wanita dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas batu - Foto Tular
KUALA LUMPUR – Mayat wanita yang ditemui di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong di Selangor kelmarin, disahkan sebagai seorang penuntut kolej yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan orang hilang daripada kakak mangsa pada 26 Julai lalu, membabitkan wanita berusia 23 tahun.

“Pengadu memaklumkan bahawa adiknya meminta untuk dijemput di Stesen LRT Putra Heights sekitar jam 12 tengah hari, 25 Julai. Namun, gagal dihubungi sehingga keesokan harinya, kira-kira jam 2 petang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Azlan, hasil maklumat  membawa kepada penemuan mayat wanita tanpa identiti di bawah jambatan terbabit. Pemeriksaan awal menemui satu anak kunci dalam poket seluar si mati.

“Susulan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan di rumah sewa mangsa di Jalan Klang Lama. Semakan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesahkan kehadiran mangsa di kawasan itu sebelum dilaporkan hilang.

“Waris kemudian dipanggil untuk pengecaman dan mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik mangsa. Cap jari si mati turut dihantar ke makmal bagi pengesahan identiti,” katanya.

Wan Azlan berkata, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Serdang pada jam 8 pagi semalam namun laporan penuh masih belum diperoleh.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita dengan ketiadaan dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi, dalam keadaan tertiarap di atas batu di bawah jambatan Jalan Jurutera Batu 13, Puchong. 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan