Cukai jalan kenderaan mewah milik 2 selebriti masih belum dibayar

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua selebriti yang mempunyai kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit, dikesan masih 'liat' untuk membayar cukai jalan dan perlindungan insurans.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, ini berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan pihaknya menerusi Op Luxury yang diadakan di seluruh negara.

"Kita (JPJ) dapati ada dua lagi selebriti yang belum membayar cukai jalan kenderaan mewah mereka.

"Hasil pemerhatian kita lakukan, mereka ini tidak lagi memandu kenderaan itu yang diletakkan di rumah dan hanya menaiki kenderaan lain untuk keluar," katanya dalam sidang media di Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Kuala Lumpur di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, selebriti dan ahli perniagaan antara pemilik kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang dikesan 'liat' membayar cukai jalan dan perlindungan insurans dalam tempoh yang lama.

Mereka menggunakan alasan jarang menggunakan kenderaan berkenaan dan hanya digunakan sebagai 'weekend car' (kereta yang hanya digunakan pada hujung minggu).

Namun, Muhammad Kifli berkata, perkara itu tetap menjadi satu kesalahan kerana cukai jalan dan insurans tidak diperbaharui dalam tempoh masa yang lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan