Seks songsang: Tergamak jadikan ramai murid sebagai pemuas nafsu

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
KHAIRI mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan liwat dan satu pertuduhan amang seksual terhadap pelajarnya. FOTO Ahmad Hasbi
KHAIRI mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan liwat dan satu pertuduhan amang seksual terhadap pelajarnya. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Warden asrama dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas 12 pertuduhan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datin Surita Budin terhadap tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, yang juga guru di pusat pengajian itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak ketika kejadian berusia sembilan hingga 12 tahun.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Mengikut enam lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun.

Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol, dan di sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah dari Mac 2024 hingga Januari lalu.

Peguam Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dalam rayuannya memaklumkan, anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu yang uzur dan memohon hukuman berbentuk penjara yang minimum.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Menurutnya, tertuduh yang diberi amanah sebagai guru dan warden sepatutnya melindungi pelajarnya namun mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah yang jijik.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikhnya ditangkap pada 25 Mei lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan