Kemunculan ketulan emas di Sungai Furat?

Agensi
KETULAN batu berkilauan yang disangka emas ditemui penduduk di Sungai Furat. FOTO Agensi.
KETULAN batu berkilauan yang disangka emas ditemui penduduk di Sungai Furat. FOTO Agensi.
Beirut: Puluhan penduduk di kawasan luar bandar Raqqa, Syria, berkumpul di tebing Sungai Furat, untuk mencari emas.

Shafaq News melaporkan, mereka mula menggali tanah dengan harapan menemui emas sejak dua hari lalu, susulan kemunculan ketulan batu berkilauan yang disangka emas yang berlaku akibat fenomena penyusutan air sungai yang berterusan.

Bermula dengan rasa ingin tahu penduduk, ia kemudian berubah kepada aktiviti penggalian.

Malah, khemah sementara turut didirikan oleh penggali emas di tebing sungai untuk kerja menggali sepanjang hari menggunakan penyodok.

Kegiatan mereka itu mula mencetuskan aktiviti mikro-ekonomi tempatan apabila harga untuk peralatan cari gali terpakai melonjak naik dan broker tidak rasmi muncul di kampung berdekatan untuk mengambil kesempatan atas permintaan yang baru wujud itu.

Kawasan berkenaan belum tertakluk peraturan rasmi atau pengawasan keselamatan apabila tiada pihak berkuasa kerajaan atau tempatan yang campur tangan atau mengeluarkan kenyataan, meskipun jumlah penggali semakin bertambah dan wujud risiko terhadap alam sekitar serta keselamatan.

Jurutera geologi Khaled al-Shammari menggesa orang ramai supaya berwaspada.

Beliau berkata, walaupun enapan mineral bukan luar biasa di Sungai Furat kerana laluannya merentasi kawasan kaya dengan mineral, namun kewujudan tanah yang berkilat semata-mata tidak mencukupi untuk mengesahkan kehadiran emas.

"Hanya analisis geologi yang terperinci dapat menentukan sama ada mendapan itu mengandungi emas atau mineral berharga yang lain," katanya.

Namun, ketidakpastian dari sudut saintifik ini tidak melunturkan semangat mereka.

Bagi kebanyakan penduduk di Raqqa, peristiwa itu membawa dimensi ekonomi dan kerohanian.
PENDUDUK di kawasan luar bandar Raqqa, Syria, berkumpul di tebing Sungai Furat untuk mencari emas. FOTO Agensi.
PENDUDUK di kawasan luar bandar Raqqa, Syria, berkumpul di tebing Sungai Furat untuk mencari emas. FOTO Agensi.
Sungai Furat yang mengalir melalui Turkiye, Syria dan Iraq sejak sekian lama menjadi nadi kehidupan di rantau itu, menyokong pertanian, perdagangan dan penempatan sejak zaman Mesopotamia purba.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, paras airnya yang semakin menurun membangkitkan kebimbangan di seluruh rantau, sekali gus mencetuskan kebimbangan, termasuk pertikaian mengenai pembinaan empangan di Turkiye, hak air rentas sempadan, dan krisis kemarau yang semakin teruk.

Sama ada tanah di situ benar-benar menyimpan khazanah berharga masih belum dapat dipastikan, namun harapan terus menjadi pendorong kepada ayunan penyodok yang semakin dalam di dasar Sungai Furat yang kian menghilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan