Kes pelajar maut didakwa minum racun, Ibu bapa tuntut siasatan menyeluruh

Asyiha Ariffin
P Magaswari (kanan) dan M Gopalan (dua dari kanan)
P Magaswari (kanan) dan M Gopalan (dua dari kanan)
PUTRAJAYA: Ibu bapa kepada seorang pelajar G Sarvina, 17, yang meninggal dunia selepas didakwa meminum racun di sebuah sekolah di Klang, menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap kes kematian anak mereka dan pihak sekolah.

M Gopalan, 47 dan P Magaswari, 44, mendakwa pihak sekolah gagal memberikan rawatan perubatan segera kepada anak bongsu dari tiga beradik itu ketika kejadian pada 27 Mei lalu.

Pengarah Perundangan, Pendidikan dan Kebajikan Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy mendakwa, setelah lebih dua bulan berlaku, tiada tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa bagi menyiasat punca sebenar kematian pelajar terbabit.

Dakwanya, kes itu menimbulkan pelbagai persoalan termasuk kemungkinan kecuaian pihak sekolah, kelewatan rawatan kecemasan dan wujudnya usaha menutup kebenaran.

Arun bersama ibu bapa mangsa dan peguam yang mewakili keluarga mangsa, S Vikram hadir ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini, bagi mendapatkan taklimat berhubung siasatan kematian Sarvina namun hampa apabila tiada sebarang sesi penerangan daripada pihak KPM.

“Tujuan kami datang sini, untuk mendapatkan maklumat mengenai kematian Sarvina dan kita tidak dapat apa-apa maklumat. KPM hanya memberitahu kami isu ini dalam siasatan kita tidak boleh beri apa-apa maklumat.

“Jadi, adakah KPM cuba beritahu ibu bapa (mangsa) bahawa tak tahu apa jadi kepada anak mereka. Siasatan itu satu perkara, satu perkara lagi adalah ibu bapa (mangsa) nak tahu apa yang berlaku kepada anak itu,” katanya pada sidang media di KPM.

Tambah Arun, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara namun sehingga ini tiada tindakan lanjut diambil.

“Laporan hospital mengatakan memang dia (mangsa) mati kerana racun. Dia (mangsa) minum atau dipaksa minum tak tahu. Jadi kita dah buat dua laporan polis,” katanya.

Sementara itu, berkongsi detik kejadian, ibu mangsa Magaswari berkata, awalnya beliau hanya dimaklumkan oleh seorang pelajar bahawa anaknya mengalami sakit perut, namun hanya mengetahui perkara sebenar sebaik tiba di sekolah.

Menurutnya, kakitangan sekolah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat membawa anaknya ke klinik atau hospital kerana prosedur operasi standard (SOP) memerlukan kehadiran ibu bapa.

Beliau turut mendakwa pihak sekolah tidak memberikan sebarang rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans dan tidak memberikan kerjasama apabila ditanya mengenai SOP tersebut.

Magaswari berkata, anaknya meninggal dunia ketika perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dalam ambulans yang dihubungi pihak sekolah.

Dia turut mendakwa anaknya tidak menunjukkan tanda-tanda yang pelik sebelum kejadian berlaku selain mendakwa anaknya seorang yang ceria dan rajin.

“Saya hantar anak saya pergi belajar tapi dia balik dalam keadaan meninggal dunia. Dia tiada sakit apa-apa. Saya mahu tindakan diambil,” ujarnya dalam keadaan menangis.

Kejadian ini dilapor berlaku semasa mangsa berada di dalam kelas bersama tiga pelajar lain pada waktu rehat.

Salah seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kepada guru bahawa mangsa rebah dan mulutnya berbuih selepas dipercayai meminum racun.

Sementara itu, bapa mangsa, Gopalan turut mendesak polis menyiasat sumber racun tersebut, motif di sebalik kejadian, dan peranan setiap pelajar yang terlibat.

Keluarga mangsa juga menuntut satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian dan sama ada pihak sekolah telah gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan