Suami setia jaga isteri buta selama 12 tahun

Agensi

Beijing: Kisah kesetiaan sejati seorang suami di China terhadap isterinya yang buta menawan hati jutaan rakyat di negara itu, sekali gus melayakkannya digelar "suami paling setia" di media sosial, lapor NDTV World.

Lelaki berkenaan, Li Juxin, 39, dari Qingdao, wilayah Shandong, menjadi tular selepas kisahnya bersama isteri, Zhang Xiying, dilaporkan oleh media tempatan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Namun, detik duka mula menyelubungi keluarga kecil itu pada 2013, apabila Zhang disahkan menghidap sejenis penyakit mata yang teruk.

Menjelang pertengahan 2014, penglihatan Zhang hilang sepenuhnya, menjadikan dia buta kekal walaupun selepas keluarga itu membelanjakan hampir 500,000 yuan (kira-kira RM300,000) untuk pelbagai rawatan.

Mengimbas kembali detik itu, Li menyifatkan perubahan drastik dalam hidup mereka sebagai satu peralihan.

Walaupun diuji dengan dugaan yang berat, Li tidak pernah goyah sebaliknya berjanji di hadapan isterinya bahawa dia akan sentiasa berada di sisi wanita itu sepanjang hayatnya.

Membuktikan janjinya, Li melakukan satu tindakan yang ringkas tetapi amat bermakna apabila dia tidak pernah sekalipun mengubah atau menyusun semula kedudukan perabot dan barangan di rumah serta di kedai membaiki keretanya.

Tindakannya itu bertujuan membantu Zhang menyesuaikan diri dengan keadaan baharunya dan memudahkannya untuk bergerak di persekitaran yang sudah biasa baginya tanpa perlu risau akan terlanggar barang.

Berkat kesabaran dan dorongan suaminya, Zhang secara beransur-ansur memperoleh semula keyakinan diri dan kini mampu menguruskan aktiviti harian secara berdikari, malah sudah boleh memasak semula.

Kisah pasangan ini mendapat gelombang kekaguman yang luar biasa di media sosial dengan rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dengan pengorbanan Li.

"Cinta mengatasi segala kesukaran. Saya mula percaya pada cinta semula," tulis seorang pengguna media sosial, merumuskan sentimen orang ramai terhadap kisah inspirasi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan