Tragedi Taman Nona: Dua mayat ditemukan dengan 28 tikam dan kelar kerana cemburu

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Terdapat 28 kesan tikaman dan kelar pada mayat wanita dan lelaki mangsa bunuh di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan dekat sini pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, terdapat 20 kesan tikaman dan kelar pada mayat wanita manakala lapan kesan tikam dan kelar pada mayat lelaki menggunakan senjata tajam.

Katanya, wanita berusia 28 tahun itu cedera di dada, leher, tangan dan kaki manakala lelaki itu pula cedera di dada, leher serta belakang badan.

Menurut Baderulhisham, siasatan mengesahkan suspek adalah suami kepada wanita terbabit dan mereka mempunyai dua orang anak lelaki berusia dua hingga empat tahun hasil perkahwinan di negara jiran pada 2019.

"Suspek berusia 29 tahun itu sudah ditahan kelmarin dan berasal dari sebuah negeri di pantai timur. Siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau bagi Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

"Susulan daripada itu, polis turut merampas senjata berukuran 24 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan ini yang ditemui di kawasan semak di Sungai Petani, sejurus penahanan reman suspek dilakukan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Baderulhisham berkata, motif kejadian dipercayai suspek dikatakan cemburu dengan mangsa lelaki yang mati ditikam itu kerana mempercayai kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sulit.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita adalah akibat tikaman di dada, manakala lelaki pula maut akibat tikaman di leher.

"Suspek ada rekod lampau mencederakan mangsa (lelaki) sebelum ini dan kes ini pernah ditangkap Ogos lalu tetapi diberi jamin kerana laporan perubatan kita masih belum lengkap," katanya.

Baderulhisham berkata, daripada siasatan pihaknya percayai suspek menghubungi mangsa untuk pergi ke tempat kejadian sebelum kedua-duanya dibunuh.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dan lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di hadapan sebuah rumah penduduk di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan sekitar jam 9.40 malam, Khamis lalu.

Nurul Nur Syamira Khamis, 28, ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira manakala rakan lelakinya, Ku Asyraf Ku Shuib, 30, pula ditemui di atas jalan di taman perumahan itu.

Jarak lokasi mangsa lelaki ditemukan dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan