Anggota polis ditemui selamat, tinggal di masjid sepanjang hilang

Muhaamad Hafis Nawawi

SUBANG JAYA: Anggota polis, Sarjan Mohd Fadhil Mohamed @ Ahadiah, 40, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pada jam 1.45 pagi tadi, anggota Balai Polis USJ 8 mengesan pergerakan kenderaan Mohd Fadhil masuk ke kuarters Balai Polis USJ 8.

Menurutnya, mereka kemudian menghubungi pegawai penyiasat memaklumkan keberadaan Mohd Fadhil.

“Pegawai penyiasat membawa Orang Hilang (OH) ke Balai Polis USJ 8, seterusnya menghubungi isteri OH untuk datang ke balai dan membuat laporan polis.

“OH berada dalam keadaan selamat dan sihat. Sepanjang tempoh OH menghilangkan diri, beliau berada di masjid sekitar Morib, Banting Selangor dan Masjid sekitar Putra Heights, Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan Mohd Fadhil dilaporkan hilang dengan kali terakhir dilihat meninggalkan rumah memandu Proton Saga hitam dengan nombor pendaftaran WC8024K 15 Oktober lalu.

Laporan kehilangannya dibuat jam 9.15 malam Khamis lalu selepas mangsa gagal dikesan ahli keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan