Identiti mayat lelaki disumbat dalam bagasi telah dikenal pasti

Audrey Dermawan

SEBERANG JAYA: Mayat seorang lelaki yang ditemui dengan kesan leher dikelar dan tangan diikat, sebelum disumbat ke dalam beg pakaian berhampiran pangsapuri Ampang Jajar semalam, telah dikenal pasti.

Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, selepas bapanya hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya pagi tadi untuk proses pengecaman mayat.

Menurut polis, Lee dilaporkan hilang oleh bapanya Rabu lalu selepas tidak pulang ke rumah.

Sebelum itu, mangsa memaklumkan kepada keluarganya dia akan ke Perlis atas urusan kerja, namun tidak dapat dihubungi sejak hari berkenaan.

Tinjauan di hospital mendapati, bapa mangsa, lelaki warga emas itu keluar dari Unit Forensik dalam keadaan sugul, sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga dan kenalannya bahawa mayat berkenaan adalah anaknya.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media dan meminta supaya tiada gambar ahli keluarganya dirakam ketika berada di hospital.

Semalam, dilaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang disumbat ke dalam beg pakaian di belakang pangsapuri Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth.

Dipercayai mangsa dibunuh sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg berkenaan.

Mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 1.43 tengah hari oleh seorang pekerja penyelenggaraan longkang, yang kemudian segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kesan kelar pada leher dengan tangan diikat serta kepala ditutup menggunakan beg plastik.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh tidak lama sebelum mayatnya ditemui, berdasarkan keadaan mayat dan kesan kecederaan yang masih baru.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terbabit serta motif sebenar pembunuhan berkenaan.

Sementara itu, seorang rakan rapat mangsa yang ditemui New Straits Times berkata, kebanyakan orang mengenali Daniel (Lee) sebagai seorang penasihat kewangan.

“Bagi saya, dia seorang sahabat yang sentiasa ada bersama ketika susah mahupun senang.

“Dia seorang yang berhati mulia dan mesra, sentiasa aktif dalam pelbagai pertubuhan sosial disertai, namun tetap meluangkan masa untuk rakan-rakan,” katanya.

Beliau tidak menyangka Daniel akan menemui ajal dalam keadaan begitu tragik.

“Kejadian ini terlalu mengejutkan, apatah lagi kami baru saja berjumpa.

“Saya berharap sesiapa yang lakukan jenyah ini akan ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan