Mayat ditemui terapung di Sungai Klang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat lelaki berpakaian lengkap ditemukan terapung dan tersangkut bersama longgokan sampah di Sungai Klang sekitar USJ 1, Subang Jaya semalam.

Menurut Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, mayat berketinggian 160 sentimeter terbabit ditemui orang awam yang melakukan tinjauan di kawasan projek terletak berhampiran.

“Pengadu ternampak satu mayat tersangkut di batu bersama longgokan sampah di Sungai Klang. Dia kemudiannya menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi memaklumkan kepada pihak polis pada 11.15 pagi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata sejurus menerima panggilan itu, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi bersama pegawai forensik dari IPK Selangor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, mayat itu kemudiannya dibawa naik ke tebing dan ditemui berpakaian baju T berkolar, lengan pendek dengan perkataan ‘Security’, serta memakai seluar panjang berwarna hitam.

“Pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh, Selangor mengesahkan kematian pada 2.45 petang.

“Bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Pegawai Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor turut hadir membantu siasatan dan mendapati mayat dalam keadaan reput manakala keadaan kecederaan tidak dapat dipastikan,” katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Subang Jaya, 03-7862 7100.

“Mereka juga boleh menghubungi ketua polis balai USJ8 di talian 019-655 8707 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan