Kenapalah degil sangat nak ikut arahan?

Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Majikan yang masih ingkar melaksanakan Pematuhan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya dikesan dalam operasi besar-besaran bakal diadakan di seluruh negara minggu depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata, operasi membabitkan 400 penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan majikan mematuhi dasar gaji minimum ditetapkan kerajaan.

Katanya, selain pematuhan terhadap PGM, operasi itu turut mengesan pelanggaran lain seperti isu penginapan pekerja, kegagalan mengeluarkan penyata gaji dan surat tawaran kerja.

"JTKSM tidak akan berkompromi dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang ingkar," katanya selepas mengadakan Pemeriksaan Pematuhan PGM 2024 di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi.

Pematuhan PGM 2024 adalah bagi pekerja lebih lima orang berkuat kuasa Februari 2025, manakala bagi kurang lima orang bermula 1 Ogos lalu.

Abdul Rahman berkata, operasi secara serentak di seluruh negara ini bertujuan menyeragamkan tindakan penguatkuasaan serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rawak diadakan semalam mendapati beberapa kesalahan kecil dilakukan majikan dan mereka akan dipanggil ke pejabat JTKSM untuk tindakan lanjut.

Katanya, semasa pemeriksaan, seorang pengawal keselamatan yang disoal siasat memaklumkan menerima gaji minimum RM1,700, namun penyata gaji menunjukkan potongan daripada elaun menyebabkan jumlah diperolehi berkurangan.

"Ia satu kesalahan dan majikan terbabit akan dipanggil bagi memberi penjelasan," katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga 30 September lalu, sebanyak 18,293 majikan diperiksa di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,112 kertas siasatan dibuka atas kegagalan mematuhi akta perburuhan, 353 kes mendapat izin dakwa dengan jumlah denda keseluruhan RM138,000, manakala 501 kes dikompaun dengan nilai tawaran RM2.8 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan