Papagomo ditahan lagi, disiasat atas dakwaan menghasut

SITI NUR ZAWANI

Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo ditahan polis awal pagi tadi.

Menurut pemakluman peguamnya, Rafique Rashid, Papagomo telah ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dia disakwa disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

“Pempengaruh dan pengkritik Kerajaan, Wan Muhammad Azri @Papagomo @Sir Azri telah ditahan PDRM jam lebih kurang 12.30 awal pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau berkata, permohonan reman dijangka akan dibuat di mahkamah pagi ini.

“Telah tiba di IPD Dang Wangi dan dijangka reman pagi ini jam 9.30 pagi,” katanya lagi.

Papagomo sebelum ini pernah ditahan pada April tahun lalu selepas didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu video yang tular.

Selain itu, pada 27 Ogos 2025, beliau dijatuhi hukuman 30 hari penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina dan mengabaikan injunksi mahkamah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan