Khirrul Nirwan Bahaudin
am@hmetro.com.my

PEMANDU lori ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup dengan pita pelekat di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub. FOTO Ihsan PDRM.
Raub: Pemandu treler berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira 11.30 malam itu disedari seorang lelaki yang menemui mangsa dalam keadaan terikat dan meminta tolong di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub.
"Sepasukan anggota peronda polis kemudian membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 37 tahun bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan.
Katanya, mangsa singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong-Raub untuk mandi dan menukar pakaian sebelum diserang.
"Selepas mandi, mangsa didatangi tiga lelaki yang mengikat tangannya menggunakan cable tie sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta.
"Selepas sejam di dalam kereta, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati motif utama kumpulan adalah melarikan treler yang membawa muatan besi berkenaan.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," katanya.
Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian atau individu mencurigakan boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan