Pelancong asing buat hal, 'lepas hajat' di tembok batu istana

Agensi
FOTO disiarkan JTBC menunjukkan salah seorang individu terbabit kejadian.
FOTO disiarkan JTBC menunjukkan salah seorang individu terbabit kejadian.
Seoul: Seorang lelaki dan wanita dirakam membuang air besar di tembok batu Istana Gyeongbokgung di sini, lapor penyiar tempatan JTBC pada Isnin lalu.

Memetik laporan The Korea Herald, rakaman yang dibuat pada Ahad menunjukkan lelaki itu mencangkung di semak sambil memegang kertas tandas, manakala wanita di sebelahnya menanggalkan seluar untuk membuang air.

Tidak lama selepas itu, wanita itu bangun dan beredar dengan kesan kotoran kelihatan pada pakaiannya sebelum lelaki terbabit keluar dari semak tidak lama kemudian.

Menurut program televisyen itu, kejadian berlaku di tembok batu Gyeongbokgung, istana diraja utama era Joseon (1392 hingga 1910) yang diwartakan sebagai Tapak Bersejarah No. 117 oleh Pentadbiran Warisan Budaya.

Individu yang merakam kejadian mendakwa pasangan itu kelihatan seperti sebahagian daripada kumpulan pelancong asing yang berada berhampiran pada masa itu.

"Ketika itu, banyak kumpulan pelancong dari China sedang melawat Gyeongbokgung. Pasangan itu kelihatan seperti sebahagian daripada kumpulan itu," katanya kepada JTBC.

Polis yang berada berhampiran dilaporkan campur tangan untuk menghentikan perbuatan itu, namun tidak menahan atau mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

Mengikut undang-undang tempatan, membuang air besar di tapak warisan budaya boleh dikenakan tuduhan salah laku ringan.

Insiden itu mencetuskan kritikan dalam talian, mengingatkan kes serupa di Pulau Jeju membabitkan pelancong asing yang dilihat membiarkan kanak-kanak membuang air besar di jalanan dan berhampiran monumen semula jadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan