Tanggung derita seumur hidup Akibat tersilap bedah

Agensi
Kanak-kanak FOTO Weibo
Kanak-kanak FOTO Weibo
Shandong: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun kini bergantung kepada pemakanan melalui saluran intravena (IV) selepas hampir keseluruhan sistem penghadamannya dibuang akibat kesilapan perubatan.

Memetik South China Morning Post, budak itu dimasukkan ke Hospital Rakyat Daerah Chengwu pada 26 Oktober 2023 selepas mengalami kesakitan teruk apabila rakan sekelas secara tidak sengaja terlanggar perutnya di padang sekolah.

Semasa pemeriksaan rutin, doktor menemui ketulan di perutnya dan mencadangkan pembedahan laparoskopi, iaitu prosedur invasif minimum.

Namun komplikasi berlaku sebaik pembedahan bermula, menyebabkan prosedur itu berlarutan selama 14 jam dan hampir semua organ penghadamannya dibuang.

Dalam pada itu, ibu budak itu, Yue berkata, doktor berulang kali meminta mereka menandatangani borang persetujuan pembedahan kerana masalah pendarahan dan keperluan membuang beberapa organ.

"Mereka menyebut tentang masalah pendarahan, mencadangkan pembedahan laparotomi dan menegaskan bahawa mereka perlu membuang beberapa organ. Akhirnya, kami menandatangani empat borang persetujuan itu," katanya.

Akibat pembedahan berkenaan, budak lelaki itu kehilangan banyak berat badan dan tahap bahan kuning dalam darahnya meningkat dengan ketara, menandakan fungsi hati serta sistem pencernaannya terganggu.

Yue berkata, anaknya kini pendiam dan jarang bercakap termasuk hanya menghabiskan hari di katil hospital.

Jelasnya, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anaknya dan berharap dapat mengakses rakaman pengawasan pembedahan bagi mengetahui kebenaran, sambil menambah anaknya sering bertanya "Ibu, saya tak boleh makan atau minum. Apa maknanya untuk terus hidup?".

Sementara itu, laporan forensik pihak ketiga menunjukkan, rawatan hospital itu mempunyai kesilapan besar yang menyebabkan kerosakan serius terhadap budak lelaki berkenaan.

Siasatan oleh Biro Kesihatan Daerah Chengwu pula mendapati, terdapat beberapa kesalahan termasuk prosedur pra pembedahan yang tidak betul antara jabatan berbeza.

Susulan itu juga, hospital membayar pampasan sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM116,278), namun jumlah itu tidak mencukupi untuk kos rawatan berterusan budak terbabit.

Difahamkan, Yue membawa anaknya ke beberapa bandar di China untuk rawatan lanjut, di mana pakar mencadangkan pembedahan pemindahan organ, tetapi peluang mendapatkan organ serasi rendah dan kos ubat anti-penolakan sepanjang hayat tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan