Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan orang hilang (OH) membabitkan mesej tular mendakwa seorang suri rumah dilarikan sekumpulan warga asing dari kediamannya di Marang, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 12.30 tengah hari, pada Ahad di Balai Polis Bukit Payung.
"OH, Nabila Huda Jusoh, 33, dilaporkan kali terakhir dilihat kediamannya di Bukit Payong, Marang pada 6 pagi, 27 Oktober lalu.
"OH berbadan saiz sederhana, berkulit cerah, muka seakan Cina, berketinggian 160 centimeter, dan berat dianggarkan 70 kilogram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu mesej mendakwa seorang suri rumah dilarikan sekumpulan warga asing ke sekitar Negeri Sembilan atau Lembah Klang.
Harian Metro cuba menghubungi waris wanita berkenaan menerusi nombor telefon yang dikongsi bersama mesej tular itu namun individu terbabit enggan mengulas lanjut berhubung mesej tular itu buat masa ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya sedia maklum berhubung laporan polis mendakwa OH berada di Negeri Sembilan namun tidak mengulas lanjut.
Mengulas lanjut Mohd Sofian berkata, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Balai Polis Bukit Payung di talian 09-6191222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222 atau balai polis berhampiran anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan