Agensi
Kochi (India): Bayi perempuan berusia enam bulan ditemui maut dengan kesan kelar pada leher, dalam satu kejadian mengejutkan di daerah Ernakulam, Kerala, pada Rabu.
Susulan itu, pihak polis menjalankan siasatan intensif berhubung kejadian, lapor Gulfnews.
Mangsa dikenal pasti sebagai Delna Maria Sara, anak kepada pasangan Antony dan Ruth, yang menetap di Karukutty, berhampiran Angamaly di Ernakulam.
Polis mengesyaki nenek bayi berkenaan terbabit dalam kejadian pembunuhan itu.
Beliau kemudian dihantar ke hospital selepas mengadu tidak sihat.
Pihak berkuasa mengesyaki wanita itu mengambil dos ubat berlebihan, sama seperti yang pernah berlaku dua bulan lalu.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika ibu bayi berkenaan ke dapur untuk menyediakan bubur untuk wanita terbabit.
Tiba-tiba dia terdengar tangisan kuat, dan si ibu bergegas ke bilik sebelum mendapati bayinya berlumuran darah di leher.
Keluarga segera membawa bayi itu ke hospital swasta di Angamaly, namun doktor mengesahkan Delna sudah meninggal dunia sebaik tiba.
Pihak hospital membuat laporan kepada polis selepas selepas mendapati kecederaan serius di leher bayi, yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jenayah.
Pegawai dari balai polis Karukutty sudah mengepung kawasan rumah dan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
"Buat masa ini, kami menganggap kes ini sebagai kes bunuh. Nenek mangsa, yang kini dirawat di hospital, akan ditemubual setelah keadaannya stabil," kata seorang pegawai polis.
Polis sudah merakam keterangan awal daripada ibu bapa mangsa dan sedang menunggu laporan perubatan nenek sebelum mengambil tindakan lanjut.
Mayat Delna kini ditempatkan di Hospital Apollo Angamaly untuk bedah siasat.
Kejadian tragis itu menggemparkan penduduk sekitar, dengan jiran tetangga menyatakan rasa tidak percaya terhadap apa yang berlaku di kampung yang selama ini aman itu.
Difahamkan, nenek bayi itu sedang mengambil ubat-ubatan dan mengalami kekurangan natrium dalam badan, yang dipercayai boleh menjejaskan kestabilan mentalnya.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan