MB Perak tegur ADUN Pas jangan bawa fitnah dalam Dewan

SITI NUR ZAWANI

Sidang DUN Perak agak ‘panas’ apabila Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegur keras ADUN Kenering dari Pas, Mohamad Husairi Ariffin kerana didakwa membawa dakwaan tidak tepat berhubung projek pembangunan di Kampung Tawai.

Saarani berkata, dakwaan bahawa peruntukan RM50 juta untuk membangunkan Kampung Tawai, Gerik telah dibatalkan kerana dibantah Ahli Parlimen Lenggong adalah tidak benar kerana hakikatnya peruntukan belum pun diluluskan.

“Ia bukan projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Namanya Program Pembangunan Kawasan (PPK). Peruntukan daripada KKDW belum pun diluluskan. Pejabat daerah baru hantar cadangan permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk masuk dalam rolling plan 1 RMK13. 

“Baru masuk belum lulus. Memang betul ada bantahan orang kampung Tawai, sebab tempat itu sudah pun ada cadangan nak dibuat Rancangan Perkampungan Tersusun. 

“Pentadbiran daerah mengambil kira bantahan itu maka nak diubah tempat lain. Bukan dibatal. Dan Ahli Parlimen tidak membantah sama sekali,” tegasnya semalam.

Beliau menyifatkan dakwaan ADUN Pas itu sebagai menyebar fitnah kerana tidak bertepatan fakta sebenar dan mencabar ADUN-ADUN yang hadir untuk menyanggahnya jika beliau salah.

“Dalam hansard ini kalau saya menipu, mana-mana YB boleh bangun sanggah saya. (Dakwaan ADUN Kenering itu) kalau bukan fitnah apa? Kita kalau boleh nak jadi wakil rakyat di dunia, masuk syurga di akhirat. Kita tak nak jadi wakil rakyat hebah perkara tak betul, nanti masuk neraka di akhirat,” ujarnya.

Mohamad Husairi kemudian memohon maaf di dalam Dewan, mengakui kekhilafannya menyebut fakta yang tidak benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan