Skandal di bilik hotel hingga bunting terbongkar di pejabat kadi

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Kulai: Kehadiran satu pasangan ke Pejabat Kadi Daerah Kulai di sini, bagi tujuan melakukan nikah segera membongkar perbuatan zina dilakukan pasangan itu beberapa kali sehingga September lalu.

Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil alih kes itu selepas mendapati 'gadis' yang mahu berkahwin berkenaan sebaliknya sedang hamil.

JAINJ dalam kenyataannya berkata, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berzina.

"Berdasarkan maklumat awal, pasangan itu membabitkan lelaki berusia 20-an dan wanita berusia 30-an hadir ke Pejabat Kadi Kulai untuk urusan nikah segera.

"Pada masa sama keluarga wanita dan lelaki itu turut hadir mengiringi pasangan terbabit.

"Pasangan terbabit mahu bernikah segera atas motif melindungi rahsia sebenar bahawa wanita itu sudah mengandung. Pasangan itu kemudian dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut JAINJ, Bahagian Penguatkuasa kemudian nenghantar wanita terbabit ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk pemeriksaan lanjut dan wanita itu disahkan hamil antara tiga hingga empat bulan.

"Wanita ini mengaku perbuatan terlarang itu sudah berlaku beberapa kali, namun kali terakhir adalah pada September lalu di sebuah hotel di daerah ini.

"Mereka mengaku takut sekiranya tertangkap menyebabkan mereka hanya menyewa hotel mengikut jam sahaja.

"Pasangan ini akan didakwa kerana berzina dan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau semua hukuman itu," jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, perbuatan itu terbongkar selepas ibu wanita itu menyedari perubahan pada fizikal anaknya sebelum wanita itu mengaku melakukan zina secara suka sama suka.

Katanya, pada peringkat awal, mereka belum terfikir hendak bernikah kerana lelaki terbabit baharu bekerja.

"Mereka simpan rahsia kerana lelaki itu tinggal tidak berapa jauh dari rumah wanita itu dan keluarga mereka saling mengenali.

"Keadaan pada mulanya tegang antara keluarga kedua-dua pasangan itu namun penyelesaian dicapai untuk menutup malu keluarga dengan berkahwin," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan