Peguam gesa Bukit Aman siasat kes polis Melaka tembak mati 3 lelaki

Alysha Edward

PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka bulan lepas menuntut Bukit Aman agar menyiasat kematian tersebut, mendakwa mangsa dibunuh ‘execution style’ berdasarkan bukti audio dan forensik.

Ketiga-tiga mereka – M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29 – ditembak mati pada 24 Nov lepas. Polis mendakwa mereka merupakan perompak bersiri yang menyerang seorang anggota bertugas menggunakan parang.

Bagaimanapun, pada sidang media hari ini, pasukan peguam keluarga terbabit mendedahkan rakaman audio berdurasi 13 minit dirakam semasa kejadian, yang didakwa bercanggah dengan naratif polis.

G Venodthan, Ketua Pegawai Eksekutif Thistlegorm Forensic, sebuah syarikat perunding siasatan yang menganalisis rakaman itu, menyatakan bahawa mangsa kedengaran seperti terus ditahan sejurus keluar dari kereta, tanpa sebarang bukti audio menunjukkan berlakunya serangan dengan parang.

Menurutnya, hanya perkataan ‘bonet’ dan ‘walkie-talkie’ kedengaran, tidak disebut senjata yang didakwa ditemukan oleh polis.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa bunyi ‘seakan-akan tembakan’ kedengaran selepas mangsa ditahan.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata dapatan forensik itu, bersama laporan bedah siasat yang menunjukkan sudut peluru dari atas ke bawah, menjurus kepada pembunuhan di luar kehakiman atau ‘execution style’.

“Jelas sekali mereka semua pastinya sedang dalam keadaan berlutut. Ini semestinya pembunuhan ‘execution style’,” tegasnya.

“Itu satu-satunya cara yang munasabah bagi peluru tembus dari atas, bermula dari hidung dan terbenam di jantung.”

Pasukan peguam keluarga yang terdiri daripada Rajesh, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Arun Doraisamy menuntut agar Bukit Aman menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mereka turut mendesak semua pegawai yang terlibat digantung serta-merta, termasuk mereka yang didakwa mereka-reka naratif pertahanan diri, serta meminta polis Melaka menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Bukit Aman.

“Pesalah tidak boleh siasat pesalah. Itu tidak masuk akal. Pesalah mesti disiasat oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi,” tegas Rajesh.

Pasukan peguam turut menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri tergempar dan mempertimbangkan penubuhan suruhanjaya bebas atau suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kemungkinan wujudnya salah laku polis.

Pada 24 Nov, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis cuba menahan tiga lelaki tersebut di sebuah ladang kelapa sawit sekitar 4 pagi apabila salah seorang suspek melibas parang ke arah anggota polis.

Beliau berkata, serangan yang berpotensi membawa maut itu menyebabkan anggota tersebut cedera parah di tangan kiri.

Susulan itu, katanya, polis ‘tiada pilihan selain melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri’, mengorbankan ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.

Dzulkhairi berkata kumpulan tiga lelaki itu, yang dikenali sebagai ‘Geng DT’, disyaki terlibat dalam kira-kira 20 kes rompak rumah, kilang dan restoran sejak 2004, membabitkan kerugian berjumlah RM1.3 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan