Terengganu: Warga emas maut dalam perjalanan ke masjid

Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas maut selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua di Jalan Batu Hampar berhampiran Perumahan Kampung Batu Hampar, di sini, pagi tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Awang Mat Amin, 79, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di kampung berkenaan dikatakan dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di masjid kampung itu, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Akibat kemalangan itu, motosikal dan Perodua Myvi dipandu seorang jururawat wanita berusia 36 tahun dari Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang, remuk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi berkenaan dari Kuala Berang menghala ke Gong Badak, Kuala Nerus.

“Setiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba mangsa dari arah simpang, keluar secara mengejut. Akibat jarak yang dekat, pemandu Myvi cuba mengelak, namun gagal sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan