Ada murid 10 tahun minta gambar tidak senonoh daripada guru

Buletin TV3 
 
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan insiden seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya melalui aplikasi WhatsApp.

Fahmi berkata, kejadian itu dimaklumkan sendiri oleh guru berkenaan dan menunjukkan keperluan mendesak untuk melaksanakan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp. Bukan nak halang semua aplikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025, di sini, hari ini.

Fahmi turut memaklumkan bahawa kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 bagi memastikan penggunaan Internet yang lebih selamat.

Mayat remaja hanyut ditemu tersangkut konkrit takungan air

FMT Reporters

PETALING JAYA: Remaja 14 tahun yang dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola dalam longkang ditemukan jasadnya tersangkut pada konkrit takungan air di Taman Prima Saujana, Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata mayat mangsa ditemukan pada 8.35 malam selepas dilapor hanyut sejak Khamis.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat,” katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian pada Khamis, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.

Mayat mangsa adiknya ditemukan pada 7.47 malam pada hari kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, Kajang kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Pegawai keselamatan wanita ditumbuk pelanggan lelaki di pusat beli-belah

KOSMO!

SINGAPURA – Seorang pegawai keselamatan wanita  ditumbuk dan mengalami kecederaan ketika bertugas di sebuah pusat beli-belah di utara Singapura, lapor portal berita MSNews hari ini.

Serangan pada Rabu lepas menyebabkan mangsa terpaksa mengambil cuti sakit walaupun pekerjaan tersebut merupakan periuk nasi utama untuk dia mencari nafkah buat keluarganya.

Pegawai keselamatan  yang hanya dikenali sebagai Sister Delos itu menghampiri seorang lelaki berusia dalam  lingkungan 30-an sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan).

Dia memberitahu  bahawa pusat beli-belah tersebut akan ditutup untuk malam itu,  namun lelaki berkenaan tidak memberikan  sebarang maklum balas.

Menurut Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) dalam satu hantaran Facebook, apabila  menghampiri lelaki itu untuk kali kedua, dia tiba-tiba menjadi agresif dan menumbuk mangsa.

Sister Delos cedera di tangan ketika cuba mempertahankan diri semasa konfrontasi itu.

Polis dimaklumkan segera dan laporan dibuat bersama rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut.

Sister Delos telah menerima rawatan perubatan dan diberikan tiga hari cuti sakit. – AGENSI

GRS x BN: siapa lebih memerlukan siapa?

Amin Ishak

BN yang merekodkan prestasi buruk pada PRN turut menjadi sebahagian kerajaan Sabah diketuai GRS.

Pembentukan kerajaan pasca PRN Sabah ke-17 minggu lalu mencetuskan perdebatan apabila tiada satu parti memperoleh majoriti mudah 37 kerusi, sekali gus menyebabkan DUN tergantung.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi pakatan paling hampir mencapai angka itu dengan menguasai 29 kerusi, diikuti Warisan (25). Barisan Nasional (BN) yang pada awalnya mencanangkan sebagai pencabar utama hanya memperoleh enam DUN.

Lima calon menang atas tiket bebas, manakala Upko mempunyai tiga wakil rakyat. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memenangi dua kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing memperoleh satu kerusi.

Sebaik keputusan diumumkan, rundingan antara parti bermula dan hasilnya, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah, kira-kira 3 pagi, 30 Nov.

Difahamkan ketika itu beliau disokong GRS, Upko, calon bebas dan PH – keseluruhan 38 kerusi – mencukupi untuk Hajiji meneruskan khidmat bagi penggal kedua.

Namun, ada sumber mendakwa surat sokongan BN kepada pentadbiran Hajiji dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Musa Aman sebelum majlis angkat sumpah.

BN hanya mengumumkan sokongan itu kepada umum melalui Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa jam selepas Hajiji mengangkat sumpah, kemudian disahkan Setiausaha Agung BN Zambry Kadir.

Ada juga spekulasi mengenai perbincangan antara BN dan Warisan untuk membentuk kerajaan, namun tiada perkembangan. Presiden Warisan Shafie Apdal turut menafikan wujudnya rundingan.

KDM turut menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS Plus, yang menyaksikan Adun Bingkor Ishak Ayub (STAR) dilantik pembantu menteri. Namun, Presidennya Jeffrey Kitingan mengambil pendirian kekal sebagai pembangkang.

Selasa lalu, enam individu mengangkat sumpah sebagai Adun dilantik, seperti dibenarkan bawah peruntukan Perkara 14(C) Perlembagaan Sabah.

Jika dicampurkan semuanya, pentadbiran Hajiji kini menikmati sokongan 52 wakil rakyat termasuk Adun dilantik.

Kronologi pembentukan kerajaan Sabah ini ditegaskan semula bagi memberi kefahaman dan mengelakkan kekeliruan, memandangkan Jemaah Menteri sudah memulakan tugas bagi memenuhi aspirasi rakyat.

Masih ada cakap-cakap mengenai ‘siapa perlu siapa’ untuk membentuk kerajaan. Terbaru, Pengerusi BN Zahid Hamidi dipetik berkata partinya menyertai kerajaan Sabah kerana ‘realiti politik’ meskipun kedua-duanya bersaing sengit dalam PRN.

Presiden Umno itu turut berkata: “Pelantikan Kabinet (Sabah) adalah hak ketua menteri (Hajiji) sepenuhnya dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri (Musa Aman). Kita tahu GRS sendiri tidak cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Ketika ini mereka hanya ada 29 kerusi, dan BN mempunyai enam kerusi.”

Kenyataan itu dilihat berisiko menimbulkan polemik seolah-olah menggambarkan enam kerusi BN diperlukan untuk membentuk kerajaan Sabah, walaupun hakikatnya Hajiji sudah memperoleh sokongan mencukupi lebih awal melalui GRS, PH, Upko dan calon bebas – malah diperkuat dengan enam Adun lantikan.

Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia semalam, tampak lebih memahami realiti di sebalik pendirian semasa kempen PRN berdepan GRS. Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata keputusan menyertai kerajaan Hajiji dibuat bagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan memastikan kestabilan negeri.

BN menyertai kerajaan perpaduan Sabah meskipun ada tekanan parti itu berada di blok pembangkang bersama Warisan – pandangan disuarakan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Hujahnya, keputusan itu konon akan membantu BN dan Umno ‘bangkit semula’. Namun, keputusan PRN yang menunjukkan kekuatan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ memberi gambaran hala tuju sukar menanti parti itu, termasuk usaha mempertahankan enam kerusi Parlimen pada PRU16.

Silap langkah kerusi Kinabatangan, Libaran, Kalabakan, Kimanis, Beaufort dan Pensiangan boleh hanyut dibadai ombak sentimen rakyat yang kini lebih cenderung kepada parti tempatan.

Pelantikan wakil BN Jafry Arifin sebagai menteri Kabinet dan penyertaan BN dalam kerajaan perpaduan mungkin memberi nafas baharu kepada parti itu, walaupun ada tentangan awal dalam kalangan akar umbi GRS.

Jika prestasi parti itu baik apabila berada dalam kerajaan perpaduan, mungkin rakyat boleh memberi peluang pada pilihan raya akan datang.

Justeru, boleh disimpulkan ketika ini mungkin BN sebenarnya lebih memerlukan GRS – bukan sebaliknya.

8 pelajar cedera, bateri telefon meletup di asrama

KOSMO!

Pasukan bomba memeriksa kehadiran gas toksik selepas bateri telefon bimbit meletup di sekolah berasrama penuh di Poland. - Facebook
WARSAW – Sekurang-kurangnya lapan pelajar cedera selepas bateri telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka meletup di sebuah sekolah berasrama penuh di tenggara Poland, lapor portal berita TVP World. 

Letupan berlaku menjelang pukul 1 pagi (waktu tempatan) di bandar Ropczyce, kelmarin.

Jurucakap Perkhidmatan Bomba Negeri, Marcin Betleja berkata, seorang pelajar memaklumkan kepada warden selepas telefon bimbitnya tiba-tiba meletup ketika digunakan. 

Warden kemudian memindahkan semua penghuni asrama apabila asap tebal memenuhi bangunan. 

“Lapan pelajar berumur antara 16 sehingga 18 tahun dibawa ke hospital tempatan, dengan seorang mangsa melecur pada tangan. Seramai 41 penghuni asrama telah dipindahkan,” kata Betleja. 

Selepas  bomba mengesahkan tiada lagi ancaman, semua pelajar dibenarkan kembali ke bilik masing-masing. 

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan selain mengelakkan insiden serupa berulang di masa hadapan. – AGENSI

Sanggup tinggalkan gaji RM38,000 sebulan demi kahwin wanita Thai

KOSMO!
Jordan berkahwin dengan isterinya di wilayah Kalasin, Thailand pada 29 November lalu. - YouTube
BANGKOK – Seorang lelaki warga Singapura mengundang perhatian orang ramai kerana  sanggup meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan sebanyak S$12,000 (RM38,072) sebulan demi berkahwin dan menetap bersama isterinya di Thailand, lapor portal berita Mothership. 

Lelaki dikenali sebagai Jordan, 32, berkenalan dengan isterinya, Eve Ratchadaporn, 29, di sebuah kafe di Bang Na, Bangkok. 

Mereka menjalinkan hubungan cinta  jarak jauh selama setahun sebelum memutuskan untuk berkahwin pada 29 November lalu di wilayah Kalasin. 

Jordan memilih untuk meletak  jawatan dan berpindah ke Thailand di mana dia diterima bekerja oleh sebuah syarikat tempatan. Namun, gaji yang ditawarkan adalah separuh daripada pendapatan di Singapura. 

Sebagai sebahagian daripada majlis perkahwinan mereka, pasangan itu turut memberikan wang tunai berjumlah 100,000 baht (RM12,900) dan emas bernilai S$13,000 (RM41,245) kepada ibu Ratchadaporn. 

Pasangan itu berhasrat untuk mengadakan majlis perkahwinan kedua di Singapura dengan hantaran berupa wang tunai sebanyak S$40,664 (RM129,015).

“Kami ingin membina kehidupan bersama di Thailand,” kata Jordan, sambil memuji Ratchadaporn kerana tidak pernah lelah membantunya menyesuaikan diri di negara berbeza. – AGENSI

Gelar isteri ‘perompak’ kerana ambil wang RM50 beli makanan

HALISYA ISMA ZULKURNAIN

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas dituduh pencuri oleh suaminya hanya kerana mengambil RM50 untuk membeli makanan dan mengisi minyak kereta.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita terbabit mendakwa telah meminta izin untuk meminjam RM50 kerana hari gaji masih berbaki beberapa hari, namun permintaannya tidak dipedulikan.

“Aku minta pinjam RM50 sebab lagi beberapa hari nak gaji tapi tak ada duit untuk isi minyak dan makan. Tapi dia (suami) tak bagi pinjam dan kata makan apa yang ada, duit minyak pula pandai-pandailah cari sendiri.

“Jadi aku transfer duit dari akaun bank dia (suami) dengan niat nak bayar balik. Tapi bila dia perasan, dia mengamuk dan kata aku isteri perompak, pencuri,” katanya.

Malah katanya, dipaksa untuk memulangkan semula duit tersebut walaupun suaminya memiliki RM10,000 dalam simpanan sebelum menghubungi ibunya kerana mencuri duit RM50.

“Dia (suami) telefon mak saya kata ‘Anak mak ini pencuri. Tolong ajar anak mak! Saya tak boleh percaya dia langsung’,” ujarnya.

Difahamkan, wanita tersebut pernah memfailkan surat perceraian namun ditinggalkan berseorangan di mahkamah tanpa tindakan lanjut.

Tinjauan Kosmo! mendapati ramai menasihatkan wanita tersebut agar menyelamatkan diri daripada perkahwinan itu.

“Belajar agama ke tak suami awak ini? Tak mati pun kalau bagi isteri RM50. Panggil ustaz suruh buat rawatan Islam pada suami awak,” komen @Syafmira21.

“Kalau suami selalu naik tangan (pukul) kamu, sepatutnya kamu tinggalkan sahaja daripada teruskan perkahwinan seperti itu,” komen @Noordinabbas. –KOSMO! ONLINE

Takiyuddin: PN tak campur tangan kes projek Fidlot Ahli Parlimen Padang Serai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kes Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin berkait projek usaha sama ternakan lembu kerajaan Kedah.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya tidak campur tangan dalam isu berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

“Kita tidak campur urusan ini sebaliknya menyerahkan kepada proses perundangan.

“Kita mengambil pendekatan seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Dalam kes ini kita terbuka dan turut berharap Ahli Parlimen Padang Serai berkenaan turut diberi hak yang sewajarnya ,” katanya, menurut Berita Harian.

Terdahulu, Azman yang mengesahkan penahanannya mengakui akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

Beliau berkata, pertuduhan akan dihadapinya di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 berkait satu projek usahasama ternakan lembu kerajaan Kedah didakwanya mempunyai unsur ‘pengaruh politik’.

Sumber SPRM sebelum itu memaklumkan seorang Ahli Parlimen ditahan berkaitan kes melibatkan usahasama ternakan lembu milik kerajaan Kedah.

Menurutnya, siasatan dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.

Gempa besar diramal gegar Tokyo, dianggar 18,000 korban

Gempa bumi kuat yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk berlaku di bawah Tokyo dan kawasan berhampiran dalam tempoh beberapa dekad akan datang boleh meragut 18,000 nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi 83 trilion yen (AS$535 bilion) dalam senario terburuk, menurut draf anggaran kerajaan pada Jumaat.

Anggaran itu, berdasarkan senario gempa berukuran magnitud 7.3 yang melanda kawasan metropolitan, dilihat kurang teruk berbanding anggaran terdahulu pada 2015, namun masih tidak mencapai sasaran kerajaan ketika itu untuk mengurangkan separuh angka kematian dalam tempoh 10 tahun, lapor Agensi Berita Kyodo.

Penyemakan semula daripada anggaran 23,000 kematian dan kerugian ekonomi 95 trilion yen itu mengambil kira kemajuan usaha menjadikan bangunan lebih tahan gempa dan kebakaran.

Memandangkan Jepun terdedah kepada bencana alam, kerajaan merancang mengemas kini pelan asas bagi mempertingkat kesiapsiagaan bencana selepas pembentangan anggaran itu kepada panel pakar akhir bulan ini.

Gempa magnitud 7.3 yang dianggarkan itu lebih kecil berbanding gegaran magnitud 9.0 yang melanda timur laut Jepun dan menyebabkan beberapa loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan teruk pada 2011.

Kerajaan menjangka kira-kira 70 peratus kemungkinan gempa bumi sedemikian berlaku di Tokyo dan kawasan sekitarnya dalam tempoh 30 tahun - senario yang akan menjejaskan jutaan penduduk di kawasan metropolitan yang menempatkan pejabat kerajaan dan ibu pejabat korporat.

Dianggarkan kira-kira 400,000 bangunan boleh musnah dan 8.4 juta orang mungkin terkandas atau menghadapi kesukaran pulang ke rumah.

Bilangan kematian berkaitan bencana, seperti disebabkan kemerosotan kesihatan ketika berlindung, dianggarkan mencecah antara 16,000 dan 41,000, menurut draf tersebut.

- Bernama-Kyodo

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berisiko diganti dalam rombakan Kabinet

Elill Easwaran

Penganalisis berkata, kedudukan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek paling berisiko ketika gesaan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh pasukannya dengan teknokrat semakin meningkat.
Fadhlina Sidek Anwar Ibrahim
Fadhlina Sidek berdepan banyak gesaan berundur berikutan beberapa insiden sekolah yang membimbangkan dan mungkin digantikan sebagai menteri pendidikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menurut seorang penganalisis.
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat paling berisiko digantikan ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu, menurut penganalisis politik Akademi Nusantara Azmi Hassan.

Azmi berkata, menteri daripada Pakatan Harapan (PH) merupakan kumpulan paling berisiko kerana Anwar mempunyai lebih banyak kuasa budi bicara dalam pelantikan mereka.

Namun katanya, menggugurkan menteri daripada parti lain adalah sukar kerana parti-parti tersebut mahu ‘mengekalkan kuota’ masing-masing.

“Jadi saya rasa yang paling berisiko ialah Fadhlina,” katanya kepada FMT.

“Mungkin beliau akan ditukar ke kementerian lain. Saya rasa itu mungkin perkara terbaik untuk Anwar.”

Fadhlina, ketua Wanita PKR, telah berdepan banyak desakan supaya meletakkan jawatan berikutan beberapa insiden membimbangkan di sekolah yang melibatkan kes bunuh, rogol dan buli.

Beliau mengakui kelemahan dirinya dan akan mengambil kritikan itu sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasinya.

Sementara itu, Azmi mencadangkan beberapa menteri mungkin berprestasi lebih baik dalam portfolio berbeza, dengan berkata Zambry Abdul Kadir lebih sesuai di Kementerian Luar Negeri manakala Mohamad Hasan pula boleh dipindahkan ke portfolio lain.

Azmi juga mencadangkan Anwar mempertimbangkan untuk membawa masuk profesional bukan partisan bagi mengukuhkan pasukan ekonomi kerajaan, dengan menekankan keperluan individu yang mempunyai kelayakan ekonomi kukuh.

“Lebih ramai teknokrat perlu dibawa masuk bagi meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.

“Saya rasa perkara paling penting ialah ekonomi dan Amir Hamzah (Azizan) sedang mengetuai hal itu.

“Lebih ramai profesional yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau agenda parti perlu dilantik sebagai senator agar mereka boleh dinaikkan menjadi menteri,” katanya.

James Chin dari Universiti Tasmania menjangka rombakan itu lebih kepada pelarasan sederhana dan bukannya pertukaran besar-besaran.

“(Ia) bukan benar-benar rombakan; ia tentang membawa orang baharu untuk mengisi kekosongan. Jika Anwar menggugurkan sesiapa, saya rasa ia akan melibatkan timbalan menteri kerana ada yang bertindih,” katanya.

Beliau berkata kenaikan pangkat tidak akan berdasarkan prestasi semata-mata kerana tiada menteri yang melakukan kerja ‘sangat baik’.

Chin berkata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook adalah satu-satunya tokoh kanan yang secara relatifnya bebas daripada kontroversi manakala Fadhlina telah lama dianggap kurang berprestasi.

“Tetapi pendidikan di Malaysia sangat dipolitikkan. Sukar untuk sesiapa membuat perubahan besar, terutama dengan kebangkitan politik Islam, jadi ia adalah portfolio yang bermasalah.”

Chin turut menyifatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai portfolio ‘sukar’ disebabkan pelbagai dakwaan rasuah melibatkan polis, imigresen dan agensi penguatkuasaan lain.

“Tetapi anda tidak boleh menggantikan menterinya kerana ia kementerian strategik yang perlu kekal di tangan PKR dan ia mesti diketuai seseorang yang paling dipercayai Anwar — Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan bahawa rombakan Jemaah Menteri, yang kedua sejak Anwar memegang jawatan pada November 2022, akan diadakan tidak lama lagi.

Barisan Jemaah Menteri kini mempunyai empat jawatan kosong: ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan telah mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani mengendalikan portfolio sumber asli dan kelestarian alam.

Dua kekosongan itu berlaku selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR meletakkan jawatan pertengahan tahun ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pula mengetuai portfolio pembangunan usahawan dan koperasi buat sementara, selepas kekosongan susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu.

Bersatu Kuala Terengganu desak Hamzah isytihar gencatan politik dalaman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu Kuala Terengganu mendesak Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin mengisytiharkan gencatan politik dalaman yang menjejaskan imej parti dan menghakis keyakinan rakyat.

Bahagian itu dalam mesyuarat pada Jumaat turut menuntut Hamzah menafikan sebarang dakwaan mengaitkannya dengan “gerakan subversif” atau cubaan menggugat kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin.

Ia turut meminta Hamzah menjelaskan hubungan dengan ahli sedang berdepan tindakan tatatertib.

“Memberi penjelasan telus mengenai isu-isu yang timbul selepas PRN Sabah serta mengambil tanggungjawab kolektif terhadap prestasi parti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Hamzah perlu bertanggungjawab atas kegagalan Bersatu, yang meletakkan 33 calon, memenangi sebarang kerusi pada PRN Sabah.

Katanya, Bersatu sedang melalui fasa kritikal akibat pertelagahan dalaman, justeru ia mendesak semua pimpinan tertinggi menghentikan segera sebarang bentuk perbalahan, kenyataan bercanggah dan serangan di media sosial.

“Tumpuan parti mesti kembali kepada rakyat, bukan drama politik dalaman.

“Pihak lawan kini mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap perpecahan ini untuk melemahkan sokongan kepada Bersatu.”

Menurutnya, tiada parti boleh memenangi PRU jika kepimpinannya bercakaran dan saling meragui.

“Kami mahu melihat Bersatu kembali kuat, tersusun dan bersatu di bawah satu nakhoda,” katanya menggesa pimpinan tertinggi dan ketua cawangan patuh serta akur terhadap keputusan dalam Perhimpunan Agung Tahunan 2025.

Ia turut menggesa mereka bersatu menyokong kepimpinan parti, menghentikan pengaruh dan gerakan boleh membawa perpecahan serta menghormati keputusan Lembaga Disiplin.

Ketegangan semakin memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian.

Wan Saiful menuduh beberapa individu rapat dengan Muhyiddin merosakkan hubungan dalam kalangan pemimpin, dengan menuding jari ke arah Setiausaha Agung, Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz.

Muhyiddin berdepan desakan melepaskan jawatan presiden parti. Bulan lalu, Hamzah dilaporkan berkata, Muhyiddin berhasrat menyerahkan jawatan presiden kepadanya apabila beliau berundur, sambil menambah Muhyiddin akan menentukan masa peralihan kepimpinan itu.

Hamzah berkata, beliau menyuarakan sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu.

“Tidak sepatutnya timbul lagi persoalan tentang perkara itu kerana saya telah memberikan sokongan penuh kepada presiden saya,” katanya dalam wawancara bersama BFM.

Banjir: Bapa letak bayi kembar dalam tong

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan seorang bapa menolak tong air berisi anak kembarnya semasa banjir di Aceh. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Aceh memaparkan detik menyayat hati seorang bapa terpaksa meletakkan bayi kembarnya di dalam tong yang dibelah dua selepas kawasan tempat tinggal mereka ditenggelami banjir, lapor portal berita Lambe Turah.

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan si bapa sedang menolak sebuah tong berisi dua anak kembarnya. 

Dia menolak tong tersebut sambil memegang payung meskipun air banjir mencapai paras pinggang orang dewasa.

Situasi bertambah sayu apabila bayi-bayi itu menangis. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 780,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Fungsi Presiden apa?” kata seorang netizen. 

“Saya tidak sanggup tengok video ini,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Terengganu: Guru, pekerja kantin maut MPV jatuh gaung

Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Sebuah kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dipandu seorang guru bersama seorang pekerja kantin terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki mengakibatkan kedua-duanya maut.

Kejadian berlaku di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sg Gawi-Aring (Bukit Kawah), 5.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu,  Superintendan Sharudin Abdul Wahab,mengesahkan kejadian.

Katanya, pemandu MPV dikenali sebagai Hassan Shazali, 52, merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumahnya di Gua Musang, Kelantan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke arah Gua Musang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa melalui jalan yang telah ditutup akibat tanah runtuh dan kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki,” katanya.

Akibat kejadian itu pemandu dan penumpang MPV Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin sekolah dari Kampung Rahmat RKT Kesedar Lebir, Gua Musang, tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan telah ditutup kepada semua kenderaan, kawasan itu juga merupakan kawasan tanah runtuh dan kejadian berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.

Sharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tahniah!!! Parlimen ‘wrapped up’! MP Pas ini direkod paling kerap guna bahasa kasar

SITI NUR ZAWANI

Sidang Dewan Rakyat melabuhkan tirainya semalam dengan 15 Rang Undang-undang diluluskan dalam tempoh 35 hari ini.

Portal Lumi News tampil dengan wrapped up sidang Parlimen kali ini, memaparkan beberapa sorotan menarik sepanjang sesi berlangsung.

Antara yang mencuri perhatian ialah Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (Pas) direkodkan sebagai paling kerap menggunakan bahasa tidak wajar dalam Dewan Rakyat. 

Beliau mencatatkan 63 kali penggunaan perkataan berunsur kasar seperti babi, menipu dan bohong.
Turut menjadi tumpuan ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mengetuai senarai sebagai individu paling banyak berucap sebanyak 8,562 kali dalam 180 sesi. 

Menjadikannya “certified yapper” seperti yang digambarkan oleh laporan tersebut.

Lumi News turut menyenaraikan sorotan paling “havoc” sepanjang sidang Parlimen tahun ini, termasuk insiden pada 13 Ogos 2025 yang dianggap sebagai paling dramatik.

Pada hari itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, digantung 10 hari selepas didakwa mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, untuk bertarung satu lawan satu di dalam dewan. 

Kekecohan bermula apabila blok kerajaan dan pembangkang bertikam lidah, dipercayai tercetus susulan pantun Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menjelaskan kononnya Kuala Lumpur menjadi ‘bermasalah’ kerana DAP, PH dan sekutunya.

Sementara itu, Lumi juga melaporkan data purata umur Ahli Parlimen Malaysia ialah 56 tahun, manakala hanya 0.9 peratus daripada keseluruhan MP berumur 30 tahun ke bawah.

5 hari bersama jasad anak, wanita buta merangkak keluar untuk dapatkan bantuan

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak lima hari lalu di Kota Samarahan. FOTO Ihsan Pembaca.
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia sejak lima hari lalu di Kota Samarahan. FOTO Ihsan Pembaca.
Kuching: Wanita warga emas yang cacat penglihatan terpaksa merangkak keluar dari rumah ke Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan bagi mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, sebelum itu anak wanita terbabit yang berusia 48 tahun mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.

Menurutnya, wanita berusia 69 tahun menyedari anaknya sudah meninggal dunia, namun tidak berupaya berbuat apa-apa, selain berharap ada yang datang membantu.

"Bagaimanapun, bau mayat yang semakin kuat semalam, menyebabkan si ibu tidak lagi mampu bertahan dan mengumpulkan seluruh tenaga untuk merangkak keluar dari rumah dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter.

"Wanita itu merangkak dalam keadaan lemah sehingga tiba di tepi jalan besar pada awal pagi hari ini, sebelum ditemui orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Damataries berkata, pasukan polis bersama unit forensik yang tiba di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia lima hari dan tidak mengesan sebarang unsur jenayah.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai serangan jantung selepas tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Kedah: Ahli Parlimen Padang Serai sahkan ditahan SPRM, akan didakwa Isnin ini

Noorazura Abdul Rahman
Azman menyatakan bersedia hadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini. – Foto fail NSTP
ALOR SETAR: Ahli Parlimen Padang Serai mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Datuk Azman Nasrudin bagaimanapun mempersoalkan tindakan menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.

Katanya, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro namun menerima arahan mengejut pagi semalam untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara.

“Setibanya di lokasi, saya dimaklumkan bukan lagi dipanggil untuk memberi keterangan, sebaliknya akan didakwa di mahkamah.

“Pertukaran status ini terlalu drastik. Saya percaya ada unsur tekanan politik untuk menjatuhkan imej saya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Beliau mendakwa turut dimaklumkan, dua lagi individu akan dituduh bersama beliau di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini.

Azman menjelaskan walaupun tidak bersetuju dengan cara penahanan itu dibuat, beliau tetap akan hadir pada jam 8.30 pagi untuk mendengar pertuduhan dan mempertahankan dirinya di mahkamah.

“Saya bersedia hadapi tuduhan ini. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Azman mendakwa tindakan terhadapnya berlaku hanya beberapa hari selepas beliau mengulas isu integriti membabitkan setiausaha politik Perdana Menteri.

“Selepas saya bangkitkan perkara itu, saya pula yang ditahan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan seorang ahli Parlimen susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu, dengan siasatan membabitkan 15 saksi yang sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes projek ternakan lembu berkenaan.

Lelaki misteri LRT Bangsar serang wanita

HALISYA ISMA ZULKURNAIN
Tangkap layar hantaran pengguna Threads memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing cuba membuka pintu keretanya di Stesen LRT Bangsar, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA – Seorang wanita cemas selepas seorang lelaki warga asing cuba menyerangnya ketika menunggu tunangnya di dalam kereta di Stesen LRT Bangsar, Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut hantaran pengguna Threads, wanita tersebut turut berkongsi beberapa rakaman video lelaki berkenaan cuba membuka pintu keretanya, meskipun sudah membunyikan hon berkali-kali bagi menghalang dan menyuruh lelaki itu berhenti menyerangnya.

“Tolong hati-hati sekiranya nampak lelaki ini. Lelaki ini cuba masuk kereta saya ketika saya menunggu tunang saya.

“Walaupun sudah membunyikan hon kereta beberapa kali dan menjerit, lelaki itu tetap menyerang sehingga tunang saya sampai,” katanya.

Video berdurasi 21 saat itu turut memaparkan tunangnya marah dengan tindakan lelaki tersebut sebelum beredar meninggalkan kawasan berkenaan.

Difahamkan, wanita tersebut sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan menasihatkan agar orang ramai di sekitar Bangsar berwaspada dengan lelaki tersebut.

Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bimbang akan berlaku situasi lebih membahayakan orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam.

“Semalam, saya jumpa lelaki ini juga. Saya tengah menghisap rokok dan dia (lelaki) minta sebatang rokok,” komen @Roll9949.

“Saya pernah nampak dia (lelaki) tak pakai seluar atau seluar pendek di Stesen LRT Bangsar sekitar pukul 9 malam,” komen @Ryujee_.  –KOSMO! ONLINE

Penuntut Politeknik Merlimau ditemui meninggal dunia dalam rumah sewa

Meor Riduwan Meor Ahmad

JASIN: Penuntut tahun akhir Politeknik Merlimau ditemui tidak sedarkan diri di rumah sewanya di Taman Merlimau Emas, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kematian Mohamad Zul Hakimi Abdul Rahman, 19, iaitu penuntut tahun tiga diploma elektrikal disahkan petugas perubatan Klinik Kesihatan Sungai Rambai.

Katanya, sebelum itu, kira-kira jam 12 tengah hari, rakan serumah mangsa menemuinya terbaring di hadapan bilik tidur dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.

“Rakan serumah memaklumkan mangsa tinggal bersama 14 orang di rumah sewa berkenaan.

“Siasatan awal tidak menemui kesan jenayah pada tubuh mangsa dan dia juga disahkan tiada rekod penyakit kronik.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Lelaki ditahan paksa kekasih gugur kandungan

Malaysiakini 

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki memaksa kekasihnya mengambil ubat bagi menggugurkan kandungan di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Hospital Sungai Buloh kelmarin (3 Dis).

“Susulan pengambilan ubat itu, wanita warga tempatan berusia 19 tahun telah melahirkan bayi secara pramatang pada usia kandungan lapan bulan di sebuah klinik swasta di Rawang pada Selasa lepas (2 Dis),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata remaja perempuan itu bersama bayinya kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, namun bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi pramatang serta kekurangan oksigen ke otak.

Katanya suspek lelaki itu kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan, manakala wanita terbabit turut disiasat sebagai suspek dalam kes tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Insp S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

Dalam kes berasingan, lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang mengakibatkan kematian di Selayang Baru, Batu Caves, pada Selasa lepas.

Noor Ariffin berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada isteri mangsa yang memaklumkan pergaduhan berkenaan berlaku antara suaminya dan adik lelaki mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada 5.32 petang hari yang sama.

“Susulan kejadian itu, polis menahan lima lelaki berusia 22 hingga 43 tahun, manakala 13 lagi suspek sedang dikesan,” katanya sambil menambah semua yang ditahan kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mazlan Ali di talian 013-2734070 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262222, katanya.

- Bernama

Kedah: Projek lembu, SPRM berkas wakil rakyat PN

Malaysiakini 
story-image
SPRM Kedah menahan Anggota Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin petang semalam bagi tujuan pertuduhan melibatkan usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, siasatan dibuat sejak Februari melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.

"Kertas siasatan telah dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari 2025  dan siasatan telah dijalankan yang mana 15 orang  saksi telah dirakam percakapan. 

Sumber mendakwa suspek didakwa menyalahgunakan jawatan semasa menjadi exco pertanian negeri.

Difahamkan SPRM membebaskannya dengan bon peribadi setelah diambil keterangan.

Dia diberikan notis kepada untuk hadir di Mahkamah Alor Setar pada hari Isnin ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut ketika dihubungi.

Katanya individu tersebut dirakam percakapan bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan dilepaskan dengan jaminan.

Malaysiakini telah menghubungi rakil rakyat PN itu dan menunggu maklum balasnya.

Aset RM1.3 juta milik pelakon dirampas

KOSMO
Nana menutup mukanya semasa ditahan polis. - Matichon
BANGKOK – Seorang pelakon Thai, Rybena ‘Nana’ Intachai ditahan polis berhubung satu skandal penipuan, dengan aset miliknya bernilai kira-kira 10 juta baht (RM1.3 juta) turut dirampas, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Pegawai polis menahan Nana di rumahnya di Phra Khanong, Bangkok semalam dan menggeledah hartanah itu sebelum merampas beberapa barang milik aktres tersebut. Ia termasuk sebuah kereta Mini Cooper Aceman ‘hatchback’ putih, tujuh telefon bimbit, dua beg berjenama, 11 barang koleksi mainan seni, kira-kira 50 barang kemas, jam tangan dan aksesori lain.

Polis juga menemukan dompet kripto lejar yang digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dengan selamat, tetapi tidak mendedahkan nilai aset digital dikaitkan dengan peranti itu.

Akhbar ThaiRath melaporkan, Nana dibawa ke Bahagian Pembanterasan Jenayah untuk disoal siasat sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Polis ketika sidang akhbar berkata, seramai 17 mangsa termasuk rakan karib Nana, telah memfailkan aduan sejak pertengahan November lalu. 

Pegawai berkata, ganti rugi yang disahkan kini berjumlah sekitar 195 juta baht (RM25 juta), lebih rendah daripada angka yang dilaporkan secara meluas iaitu 400 juta baht (RM51 juta).

Menurut penyiasat, Nana didakwa memujuk mangsa untuk melabur dengannya dalam beberapa skim. 

Ia termasuk menawarkan pinjaman sebagai pertukaran untuk pulangan bulanan sebanyak empat hingga tujuh peratus, pelaburan saham palsu, usaha niaga restoran dan projek gelanggang bola keranjang.

Salah seorang rakan karibnya, pelakon terkenal Janie Tienphosuwan, kerugian sekitar 3 juta baht (RM385,000) selepas melabur dalam sebuah restoran di Amerika Syarikat yang tidak wujud.

Nana menafikan semua pertuduhan serta memberitahu pegawai bahawa dia tidak menyedari tindakannya adalah menyalahi undang-undang. 

Dia berkata, dirinya hanya meminjam wang untuk menyokong perniagaannya dan percaya dia akan dapat membayar balik semua individu tersebut. – AGENSI 

Dua kereta ‘ditelan’ lubang benam ketika hujan lebat

KOSMO!
DUA buah kereta 'ditelan' lubang benam. - Foto VnExpress
HANOI – Sebuah lubang benam terbentuk secara tiba-tiba di Jalan Nguyen Cong Tru berhampiran sebuah tapak pembinaan di pusat bandar Da Nang, Vietnam semalam, lapor portal berita VnExpress.

Kejadian menyebabkan dua kereta ‘ditelan’ lubang tersebut dan seorang lelaki cedera di kaki.

Lubang benam itu terbentuk ketika hujan lebat. 

Sekumpulan jurutera dan pekerja yang sedang minum kopi berhampiran kawasan tersebut menyedari pagar kepingan logam memisahkan tapak pembinaan daripada jalan mula condong.

Salah seorang jurutera berlari untuk memeriksanya, namun jalan itu tiba-tiba runtuh, ‘menarik’ dia dan dua kereta yang diparkir ke dalam lubang.

“Jurutera itu tersepit di bawah sebuah kereta dan tidak dapat keluar,” kata pemilik sebuah kedai akuarium berdekatan.

“Sebuah kren dibawa dari tapak pembinaan untuk mengangkat kenderaan yang terjatuh dan menyelamatkan mangsa,” tambahnya.

Penduduk  berkata,  mereka mendengar bunyi dentuman kuat sebelum  jalan runtuh.

Air daripada paip yang pecah di lokasi kejadian menghakis tanah di sekeliling, menyebabkan permukaan jalan runtuh.

Punca terperinci mendapan sedang disiasat pihak berkuasa. – AGENSI

Bung Moktar meninggal dunia

Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, sebentar tadi.

Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.

Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelaki Ketua UMNO Sabah berkenaan, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya, sebentar tadi.

"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran terbabit.

Terdahulu awal malam tadi, Harian Metro melaporkan Bung Moktar dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini, pada tengah hari. Perkara itu disahkan Naim Kurniawan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca bapanya dimasukkan ke hospital. Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan bapanya itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital, di Kota Kinabalu jam 1.46 pagi tadi. - Foto fail NSTP
Setakat ini tiada kenyataan rasmi mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bung Moktar.

Namun satu laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meluangkan masa menziarahi Bung Moktar di hospital berkenaan pada jam 11.30 malam tadi. Beliau berada di situ kira-kira 20 minit.

Allahyarham Bung Moktar dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.

Kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.

Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.

Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.

Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Kajang: Kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini ditemukan tidak sedarkan diri, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui di Sungai Kantan, di sini, jam 7.47 malam tadi.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, di sini, pada 10 malam tadi ketika sedang mendapatkan rawatan.

"Seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga abang kanak-kanak berkenaan dan turut dihanyutkan arus ketika kejadian masih belum ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Kanak-kanak, remaja hanyut dibawa arus ketika ambil bola

HARRITH HISHAM
Anggota bomba sedang melakukan operasi pencarian seorang kanak-kanak dan remaja yang hanyut dibawa arus.
KAJANG – Seorang kanak-kanak dan remaja lelaki dilaporkan hanyut dibawa air ketika mengambil bola di dalam longkang dalam kejadian di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 6.32 petang.

Katanya, mangsa membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan remaja lelaki berusia 14 tahun.

“Maklumat daripada pemanggil memaklumkan terdapat dua individu iaitu remaja dan kanak-kanak lelaki sudah hanyut dibawa air semasa sedang mengambil bola di dalam longkang.

“Ketika ini, kerja pencarian sedang di lakukan di kawasan longkang utama,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang. – KOSMO! ONLINE

Bunuh bekas isteri, muat naik gambar di status WhatsApp

Agensi
LELAKI membunuh isteri dan berswafoto sebelum dimuatnaik di status WhatsApp. FOTO Agensi.
LELAKI membunuh isteri dan berswafoto sebelum dimuatnaik di status WhatsApp. FOTO Agensi.
Chennai: Seorang wanita dari Tirunelveli dengan dibunuh dengan kejam oleh bekas suami di sebuah asrama wanita di Coimbatore pada Ahad.

Jenayah itu mencetuskan kemarahan berhubung peningkatan kes keganasan terhadap wanita di Tamil Nadu, lapor NDTV.com

Sripriya, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Coimbatore, sudah berpisah daripada suaminya, Balamurugan.

Lelaki itu tiba di asrama itu untuk berjumpanya pada petang Ahad, dengan sebilah sabit yang disorokkan di dalam pakaiannya.

Menurut penyiasat, pertengkaran tercetus antara mereka sejurus selepas pertemuan itu.

Dalam serangan mengejut, Balamurugan didakwa mengeluarkan sabit dan menetak Sripriya hingga maut di dalam asrama.

Mengejutkan, polis berkata dia kemudian mengambil swafoto bersama mayat isterinya dan memuat naiknya sebagai status WhatsApp, sambil mendakwa wanita itu 'mengkhianatinya'.

Penghuni asrama berlari keluar ketakutan ketika serangan berlaku.

Balamurugan, bagaimanapun, kekal di tempat kejadian sehingga polis tiba.

Dia ditangkap serta-merta, dan senjata turut dirampas.

Siasatan awal menunjukkan dia mengesyaki bekas isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Pembunuhan itu menghangatkan perdebatan politik di Tamil Nadu mengenai keselamatan wanita.

Pihak pembangkang menuduh kerajaan DMK yang memerintah gagal menjaga undang-undang dan ketenteraman, serta gagal melindungi wanita, dengan merujuk kepada peningkatan jenayah kejam dan kesalahan seksual.

Namun, kerajaan DMK dan polis negeri menegaskan insiden ini adalah kes terpencil yang berpunca daripada permusuhan peribadi, sambil menegaskan tindakan segera diambil dalam setiap kes bagi memastikan keadilan dipercepatkan dan hukuman maksimum dikenakan.

Bung Moktar dalam keadaan kritikal

Jason Santos

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Namun, sumber yang maklum dengan situasi itu berkata Adun Lamag itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat kerana komplikasi yang melibatkan paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.

Dia difahamkan dimasukkan ke Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu.

Kekeliruan timbul seketika pada malam Selasa apabila Umno Sabah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Bung berada dalam keadaan stabil, sebelum menarik baliknya beberapa saat kemudian.

Tiada penjelasan susulan, dan keluarganya masih belum mengeluarkan maklumat terkini.

Namun, anak lelakinya, Naim Kurniawan, mengesahkan dengan FMT bahawa Bung berada dalam keadaan kritikal.

Para pemimpin politik di seluruh Sabah sedang mendoakan kesembuhannya.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata dia mendoakan kesihatan Bung dan kekuatan untuk keluarganya.

“Saya mendoakan agar YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.

"Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, insha Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala," katanya melalui Facebook.

Pemimpin Warisan, Yusof Apdal, juga berkongsi sentimen yang sama ketika para pemimpin menunggu perkembangan selanjutnya mengenai keadaan Bung.

Banjir kilat KL: Jalan Tun Razak ke WTC banjir, air tahap pinggang

KOSMO!
Beberapa kawasan di hadapan bangunan JKR di Titiwangsa, Kuala Lumpur dinaiki air ketika ini
KUALA LUMPUR – Hujan lebat kira-kira sejam petang tadi sudah cukup untuk menenggelamkan beberapa kawasan utama di ibu kota apabila banjir kilat setinggi pinggang dilaporkan di sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak hingga ke WTC Kuala Lumpur.

Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial mendapati limpahan air terjadi begitu pantas, menyebabkan jalan utama menuju Titiwangsa dan kawasan sekitar sesak teruk serta sukar dilalui.

Lebih mencemaskan, satu siaran langsung di TikTok menunjukkan sungai berhadapan bangunan Plaza Permata, Titiwangsa pecah, menyebabkan air mengalir deras ke kawasan sekitar walaupun hujan telah reda.
“Hujan satu jam dari pukul 5 hingga 6 petang tadi menyebabkan tebing sungai pecah. Beberapa kedai makan dan warung di hadapan bangunan JKR tenggelam. Kami terpaksa bermalam di pejabat malam ini, jalan pun jem teruk,” kata seorang pengguna TikTok.

Difahamkan banyak kenderaan sudah hanyut dan tenggelam akibat arus deras, manakala laluan utama menuju Ampang turut lumpuh dengan trafik sangat perlahan.

Keadaan banjir ketika ini masih dipantau pihak berkuasa.— KOSMO! ONLINE

Lelaki maut dipercayai dibunuh abang kandung

Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Lelaki ditemukan maut dalam bilik tidur rumahnya di Bandar Karamunting, di sini, dipercayai ditetak abang kandung dalam kejadian Ahad lalu.

Susulan itu polis menahan suspek berusia 44 tahun beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, penahanan suspek pada jam 8.45 malam membawa kepada penemuan seluar berlumuran darah dan tiga bilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Terdahulu katanya, kejadian disedari ibu mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang dan menyedari pintu bilik anaknya terhalang, sebelum melihat tubuh lelaki berusia 43 tahun itu berlumuran darah.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, belakang telinga, perut serta tangan akibat senjata tajam.

“Bedah siasat dijalankan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.

George berkata, siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah mental, tidak bekerja dan tinggal bersama keluarganya di rumah berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pas ‘u-turn’ isu undang-undang banteras LGBT

Harapandaily
Pendirian seorang pemimpin Pas berhubung peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan seksual songsang, dilihat sudah ‘u-turn’ apabila bercanggah dengan kenyataannya sendiri ketika berada dalam kerajaan pada 2021.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani aktiviti LGBT, dan apa yang diperlukan hanyalah penguatkuasaan lebih tegas.

Walau bagaimanapun, Marzuk semalam menegaskan bahawa undang-undang lapuk sebagai punca pihak berkuasa gagal mendakwa suspek yang ditahan dalam satu serbuan besar-besaran di Chow Kit baru-baru ini.

“Kegagalan pihak berkuasa mendakwa individu yang ditahan bukan terletak pada polis sahaja, tetapi pada undang-undang yang ketinggalan zaman kerana digubal pada era pramerdeka.

“Pihak pendakwa raya perlu memberi panduan kepada polis mengenai bentuk pertuduhan yang boleh digunakan terhadap suspek yang ditahan tetapi gagal direman,” kata Marzuk pada sidang media di lobi Parlimen.

Rata-rata netizen mengecam sikap pemimpin Pas yang kerap mengeluarkan kenyataan berbeza ketika berada dalam kerajaan berbanding sewaktu menjadi pembangkang.

“Konsep golongan seperti ini: saya boleh, tetapi orang lain tidak boleh.

“Hukum pula seolah-olah boleh diubah-ubah mengikut selera sendiri.

“YB Pas semua level dam aji kedai kopi. Isu-isu perlu berfikir memang mereka tak mampu nak ulas dengan baik.

“Penasihat depa sendiri dah kata dulu… Melayu mudah lupa,” demikian reaksi yang dikongsikan orang ramai di media sosial.

Bapa dilarang bawa pulang jasad anak kalau tiada van jenazah

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang bapa yang baru kehilangan bayi berusia lima hari akibat komplikasi jantung meluahkan rasa kesal kerana berdepan kesukaran untuk menuntut jenazah anaknya di Unit Forensik di sebuah hospital selepas dimaklumkan bahawa waris hanya dibenarkan membawa pulang jenazah menggunakan van jenazah.

Menurut hantaran di Facebook Mr Wan Cai Official, dia dihubungi si bapa yang memohon nasihat dan bantuan mendapatkan khidmat van jenazah untuk membawa pulang jenazah ke kampung halaman.

Bagaimanapun dia menjelaskan kepada bapa tersebut bahawa bagi kes jenazah bayi berusia bawah dua tahun, adalah lebih sesuai jika jenazah dipangku dan dibawa dengan kenderaan sendiri kerana saiz tubuh yang kecil menyebabkan penggunaan pengusung atau keranda menjadi kurang stabil.

“Beberapa minit kemudian, si bapa menghubungi saya semula. Beliau memaklumkan bahawa staf forensik hospital telah menetapkan syarat bahawa jenazah hanya boleh dituntut sekiranya waris menyediakan van jenazah.

“Saya meminta agar telefon diserahkan kepada staf yang bertugas untuk mendapatkan penjelasan secara langsung. Seorang staf lelaki kemudian telah bercakap dengan saya dan menegaskan bahawa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi tersebut dibawa menggunakan kenderaan persendirian atas alasan ia adalah berisiko,” katanya.

Katanya, petugas tersebut bagaimanapun tidak dapat menyatakan apakah jenis risiko yang dihadapi dan mengulangi bahawa arahan tersebut adalah merupakan arahan hospital.

“Adalah tidak wajar untuk menyusahkan waris yang sedang berduka dengan syarat yang tidak munasabah. Saya mengingatkan staf tersebut agar tidak mencampuri urusan pengurusan jenazah yang bukan dalam bidang kuasa hospital.

“Si bapa memaklumkan bahawa staf berkenaan masih berkeras mewajibkan penggunaan van jenazah. Tindakan staf tersebut menimbulkan kemarahan saya kerana ia memberikan tekanan emosi yang tidak perlu kepada waris,” katanya.

Katanya, dia kemudian mengarahkan si bapa untuk memaklumkan kepada staf tersebut bahawa pihaknya akan menghubungi pihak pengarah hospital dan membuat aduan.

“Tidak lama kemudian, si bapa memberitahu beliau telah dibenarkan menuntut jenazah dan membawanya pulang menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan perasaan kesal dengan sikap petugas yang tidak memudahkan urusan waris selain ada yang menggesa agar pihak hospital lebih peka mengenai perkara demikian.

“Jangan biarkan perkara ini..buat aduan sispa terus, email ke pengarah hospital. Dapatkan penjelasan dari pihak hospital, jika tiada tindakan dan makluman ke peringkat atasan, perkara ni tak akan selesai. Nanti mereka buat pula pada orang lain,” kata Sadako.

“Ejen van jenazah ke? Tak pernah jadi kewajipan pun sebelum-sebelum ni?,” soal Izzat.

“Macam-macam kerenah, sepatutnya dipermudahkan urusan bagi menyegerakan proses yang sepatutnya bukan melambatkan, cukup-cukuplah..proses pengurusan jenazah tak kira usia adalah fardu kifayah…apa pun semoga lepas ini tak berlaku lagi,” kata Nizam. – KOSMO! ONLINE

Banjir Hulu Langat: Jalan ‘bertukar’ jadi sungai

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Jalan utama di Kampung Sungai Seri, Hulu Langat ditenggelami banjir susulan hujan sejak awal pagi – FOTO NSTP
HULU LANGAT: Beberapa kawasan di sekitar Kampung Sungai Serai di sini, lumpuh apabila jalan utama dianggarkan sejauh satu kilometer (KM) bertukar menjadi sungai susulan banjir di sini, awal pagi hari ini.

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati, air masih tinggi di perkampungan itu dianggarkan sedalam satu meter (m) di sesetengah kawasan.

Laluan terjejas ditutup oleh pihak polis dan hanya jentera berat sahaja dibenarkan melalui kawasan itu.

Sebilangan kecil penduduk dilihat kekal di rumah atau kedai masing-masing yang terletak di sepanjang jalan berkenaan.

Walaupun kediaman dan kedai mereka ditenggelami air, rata-rata penduduk dilihat tenang menghadapi musibah itu, mungkin sudah terbiasa berikutan kawasan berkenaan sering dinaiki air.

Hanya kenderaan berat Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu meredah banjir.

Penduduk kampung yang terperangkap dibawa keluar menggunakan jentera APM, JBPM dan lori milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut dilihat membawa orang awam.

Mangsa, Farouk Jelani, 73, berkata dia bersama isteri dan seorang cucu diarahkan berpindah kira-kira jam 10 pagi hari ini.

“Hujan dari awal pagi tadi, saya tak pasti jam berapa sebab saya tak sihat jadi banyak tidur sahaja.

“Kalau saya berdaya, saya mahu tolong mangsa banjir ini, tetapi sakit, jadi bila pihak berkuasa arahkan pindah kita ikut sahaja.

“Saya dah duduk sini lebih 30 tahun, dan seingat saya ini kali kedua kami kena pindah, sebelum ini air kerap naik tapi tak perlu pindah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sungai Seri, di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Wan Muhammad Hidayat, 30, terpaksa meminta bantuan APM bagi menjemput anaknya di sekolah tadika selepas dimaklumkan oleh guru bahawa kawasan sekitar dinaiki air.

“Pagi tadi semasa hantar anak, jalan masih boleh dilalui tetapi dalam pukul 9 tadi cikgu telefon minta ambil anak saya.

“Saya dan isteri cuba menaiki kenderaan pacuan empat roda tetapi tidak lepas, mujur ada lori APM tumpangkan kami,” katanya.

Jurutera perisian komputer itu berkata, sejak menetap di kawasan itu empat tahun lalu laluan masuk ke kediaman sering dinaiki air walaupun hujan tidak begitu lebat.

Justeru dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir berkenaan.

“Minggu ini sahaja dua kali air naik tutup jalan, jadi saya harapkan ada penyelesaian masalah ini daripada pihak berwajib.

“Mungkin boleh jalankan kerja mendalamkan sungai dan bersihkan longkang yang tersumbat,” katanya.

Tinjauan wartawan setakat 12.25 tengah hari mendapati air di jalan yang terjejas semakin surut.

Kelantan: Lelaki didakwa lakukan amang seksual mangsa banjir di PPS ada rekod kes rogol

Sinar Harian
Nik Mohammad Ilfam (tengah) tiba di Mahkamah Kota Bharu dari Bachok pada Khamis.
KOTA BHARU: Seorang penggangur yang masih dibicarakan berkait kesalahan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan ketika berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semasa banjir.

Tertuduh, Nik Mohammad Ilfam Mohammad Noor, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbaharu itu dibacakan di hadapan Hakim, Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, Nik Mohammad Ilfam didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah PPS di Jelawat, Bachok pada jam 11 pagi, 26 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding berkenaan, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan terhadap Nik Mohammad Ilfam kerana dakwaan serius yang dihadapi.

“Tertuduh juga dituduh atas kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada tahun lepas.

“Dia dalam tempoh jaminan mahkamah dan kes rogol tersebut masih dalam perbicaraan,” katanya.

Kes ditetapkan pada 8 Disember ini bagi sebutan semula dan lantikan peguam. - Sinar Harian

Kelantan: Guru mengaji didakwa buat panggilan video lucah dengan anak murid

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KOTA BHARU – Seorang guru al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuat panggilan video kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada Mac hingga Jun lalu.

Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Pemuda itu didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan mangsa berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini pada 13 Mac hingga 11 Mei lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 27 akta tersebut.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Huzaifah didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 11 tahun sembilan bulan di lokasi sama pada pukul 4.18 pagi, 21 Jun dan 6.01 petang, 26 Jun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta sama. Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan guru al-Quran, manakala mangsa adalah anak muridnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohd. Naqib Mohamad Noor diikat jamindan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Warga India dituduh miliki pistol

Noorazura Abdul Rahman
Mohd Haseen ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan memilik sepucuk pistol tanpa kebenaran sah. – FOTO: NSTP
SUNGAI PETANI: Seorang jurukimpal warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong, bulan lalu.

Mohd Haseen, 38, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang berkenaan kira-kira jam 6.45 petang pada 13 November lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh memahami prosiding.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lelaki warga India selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi di Jalan Semeling, Bedong, pada 11 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata pemeriksaan menemui kotak biru berisi kelopak peluru dan peluru di dalam bilik asrama tertuduh kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)

Guru mengaku tak salah cuba bunuh isteri

FMT Reporters

Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hanis Sofea Hamdanmenggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.
 
Seorang guru, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan cuba membunuh isterinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, dalam kejadian pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, lapor Sinar Harian.

Hakim sebelum itu memaklumkan tertuduh layak dibicara selepas mahkamah menerima laporan lengkap psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta yang merawatnya.

Menurutnya, laporan itu menyatakan dia sesuai untuk menghadapi prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira keselamatan mangsa yang juga isteri tertuduh.

Peguam tertuduh, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dengan alasan anak guam mereka masih berkhidmat sebagai guru dan ditahan hampir tiga bulan sekali gus berisiko hilang pekerjaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 6 Januari depan.