Seorang lagi pegawai kanan ATM disiasat SPRM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera (ATM) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkait perolehan dalam pasukan itu.

SPRM ketika ini sudah mula menjalankan siasatan terhadap individu berusia 50-an itu, dan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Selasa lalu, bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.

Seorang daripada isterinya pula direman enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya turut ditahan SPRM.

Ada beberapa lagi individu lain dalam ATM yang mungkin dipanggil membantu siasatan pembabitan mereka dalam perolehan pasukan, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap pegawai kanan lain dalam ATM.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut dan memaklumkan siasatan bertujuan memastikan keadilan ditegakkan.

“Saya minta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan