Agensi
Bangkok: Pekerja wanita yang melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah rumah kosong di Thailand, baru-baru ini, berdepan pengalaman menakutkan apabila tengkorak manusia jatuh dari siling, lapor VN Express.
Pihak polis berkata, tengkorak itu mungkin milik seorang pekerja migran Kemboja yang hilang dua tahun lalu.
Menurut media sama, penemuan itu berlaku pada 6 Januari lalu di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Daerah Lam Luk Ka, Pathum Thani, Thailand.
Difahamkan, wanita itu sedang membersihkan serpihan dari lubang pada siling tingkat dua apabila tengkorak itu tiba-tiba jatuh.
Selepas pihak berkuasa dimaklumkan, pemeriksaan lebih teliti di ruang siling menemukan rangka lengkap berpakaian bersama pemotong dawai dan kad pengenalan milik seorang pekerja pembinaan Kemboja berusia 29 tahun.
Penyiasat percaya, lelaki itu mungkin terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri wayar elektrik dari kediaman yang sudah ditinggalkan selama beberapa tahun.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan itu memberitahu wartawan bahawa kecurian wayar adalah perkara biasa di rumah kosong itu.
Bagaimanapun, penduduk setempat mengimbas kembali bahawa keluarga lelaki yang hilang itu mencari dengan meluas sebelum akhirnya kembali ke Kemboja setelah gagal menemukannya.
Sementara itu, pekerja yang menemukan mayat berkata, rumah itu mengeluarkan bau kuat sejak kerja pengubahsuaian bermula bulan lalu, tetapi bau itu pada mulanya disangkakan adalah bangkai haiwan.
Susulan itu, mayat itu sudah dihantar ke Institut Forensik Pusat Thailand untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti.
Pihak berkuasa berkata, mereka berusaha menghubungi keluarga lelaki itu sementara siasatan diteruskan.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan