Lima rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Jakarta

Safeek Affendy Razali

JAKARTA: Lima rakyat Malaysia ditahan Badan Reserse Kriminal (BARESKRIM) Polis Republik Indonesia (POLRI) Jumaat lalu, selepas disyaki menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan di bahagian dalam kasut masing-masing.

Kelima-lima suspek ditahan petugas Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan AirAsia QZ201.

Pengarah Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Republik Indonesia, Ir Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk putih yang disembunyikan di bahagian insole kasut.

“Setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram setiap bungkusan.

“Keseluruhannya ditemukan 10 bungkusan dengan berat lima kilogram,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi CNN Indonesia hari ini.

Kelima suspek itu dikenal pasti sebagai Mohamad Zulhusni, 49; Nur Aisyah, 25; Emmanuel, 24; Prince Alvin Robin, 22; dan Muhammad Adam, 21.

Hasil soal siasat mendapati mereka dipercayai dikawal seorang individu yang menggunakan nama panggilan ‘Madam’ menerusi aplikasi Telegram.

Sejurus tiba di Jakarta, mereka diarahkan menuju ke sebuah hotel di Harmoni, Jakarta Pusat sebelum semua kasut yang mengandungi serbuk etomidate dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian berwarna merah.

Beg itu kemudian akan diserahkan kepada seorang lelaki warga China, Wu Song, 25, di lobi hotel berkenaan.

Susulan maklumat itu, pasukan gabungan BARESKRIM POLRI kemudian menahan Wu Song dan menemui kunci sebuah unit apartmen di Mediterania Marina Residence, Jakarta Utara, dalam pemeriksaan.

Hasil pengembangan siasatan ke unit apartmen itu membawa kepada penemuan makmal rahsia yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan pod vape mengandungi etomidate.

Polis turut merampas pelbagai bahan mentah dan peralatan pemasangan pod vape antaranya 16 jeriken cecair perisa berkapasiti lima liter setiap satu, lima botol cecair berkapasiti satu liter, 21,000 pod vape kosong dan 15,000 penutup silikon pod vape.

Turut dirampas 800 batang pipet plastik serta 4,715 bekas pod pelbagai perisa.

Eko berkata, Wu Song dipercayai berada di Indonesia sejak September lalu dan menetap di apartmen berkenaan, selain mengaku menerima arahan menerusi kumpulan komunikasi aplikasi ‘Signal’ untuk merekodkan stok barangan.

Polis menganggarkan nilai bahan mentah dan peralatan pemasangan vape etomidate yang dirampas mencecah Rp127.5 bilion (kira-kira RM33.8 juta).

Kejayaan mematahkan aktiviti penyeludupan itu, sekali gus dapat menghalang pengedaran kira-kira 42,500 pod dan menyelamatkan sekitar 21,250 orang daripada bahaya penyalahgunaan narkotik.

Semua suspek disiasat mengikut peruntukan undang-undang narkotik Indonesia, termasuk Seksyen 119(2) dan Seksyen 132(1) Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan