Wanita maut dipercayai terjatuh dari bangunan

Juwan Riduan
Wanita berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Penampang. – Foto tular
PENAMPANG: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 38 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di atas jalan di bahagian belakang bangunan berkenaan pada jam 12.36 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan pada jam 1.05 tengah hari.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes yang juga Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan