Bernama
Kejadian di Jalan Gemencheh pagi tadi turut menyebabkan anak lelaki mereka berusia empat tahun mengalami kecederaan.

Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera dalam nahas dua kenderaan. (Gambar Facebook)
TAMPIN: Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gemencheh di sini hari ini.
Ketua Polis Tampin, Amiruddien Sariman, berkata dalam kejadian pada 10.55 pagi itu, wanita berusia 26 tahun yang juga penumpang hadapan kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 27 tahun yang memandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gemencheh.
Beliau berkata kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gemencheh ke Bukit Rokan manakala Perodua Bezza dari Bukit Rokan menghala ke Gemencheh.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan.
“Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia manakala anak lelaki berusia empat tahun cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amiruddien berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-441 2502 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan