Tun Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ tinggalkan keluarga

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Mukhriz pada Istiadat Pengebumian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA
PUTRAJAYA – Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali disifatkan seakan sudah bersedia untuk meninggalkan keluarga apabila memaklumkan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung perkara itu.

Mukhriz berkata, semalam, beliau sempat bersama Tun Dr Siti Hasmah di Institut Jantung Negara (IJN) dan mendapati bondanya berada dalam keadaan ceria meskipun sedang menerima rawatan.

Katanya, pada pertemuan itu, Tun Dr Siti Hasmah turut memberitahu bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka sekeluarga.

“Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya tetapi perasaannya sangat ceria, walaupun begitu dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua. Jadi, nampaknya dia dah bertawakal,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau menerima makluman daripada pihak hospital pagi tadi bahawa Tun Dr Siti Hasmah mengalami masalah jantung kira-kira pukul 8 pagi sebelum bergegas ke IJN.

Katanya, ketika tiba, pasukan pakar IJN sedang melakukan CPR terhadap bondanya sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).

“Pada pukul 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi dan kalau jantung tak terus berfungsi maka tindakan CPR itu akan dihentikan.

“Kita waktu itu dah faham maksud doktor itu dan tepat pada pukul 9.30 pagi beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz memohon orang ramai bersama-sama mendoakan agar segala dosa Allahyarahm diampunkan, segala amal ibadahnya diterima dan ditempatkan bersama golongan Muslimin di syurga Firdaus.

“Saya minta tolong sangat-sangat mungkin kita sama-sama doakan agar Almarhumah diampuni segala dosa, diterima segala kebaikan amal ibadahnya dan ditempatkan bersama para Muslimin di syurga Firdaus, Insya-Allah. Amin,” katanya.

Mukhriz turut memaklumkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berada di IJN ketika Tun Hasmah menghembuskan nafas terakhir. – KOSMO! ONLINE

2 ditahan bawa 690kg ketum dalam Alphard

Bernama

IPOH: Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai membawa 690kg daun ketum bernilai RM27,600 menggunakan sebuah kenderaan mewah di Kilometer 371 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Muallim Khalid Mohamad berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira 2 pagi oleh sepasukan anggota Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Kedua-duanya dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan daun ketum untuk pasaran tempatan, tambahnya.

“Hasil pemeriksaan terhadap Toyota Alphard itu menemukan 69 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat kira-kira 690kg dengan anggaran nilai pasaran RM27,600,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas Toyota Alphard berkenaan bersama satu unit alat kawalan jauh kenderaan bagi membantu siasatan.

Khalid berkata, semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod berkaitan dadah serta satu rekod jenayah.

Kedua-duanya kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Wanita terperangkap hampir sejam dalam lif ditemukan dalam keadaan lemah

Poliana Ronnie Sidom
Wanita ditemui lemah dan separa sedar selepas dipercayai terperangkap hampir sejam dalam lif, di Sandakan.- Foto JBPM
SANDAKAN: Seorang wanita ditemui dalam keadaan lemah dan separa sedar dipercayai selepas terperangkap hampir sejam dalam lif di Kondominium Sri Indah, di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai menaiki lif berkenaan sebelum terperangkap akibat gangguan bekalan elektrik dalam kejadian jam 7.07 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.04 malam dan menghantar enam anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pihak penyelenggara lif bangunan berjaya membuka pintu lif semasa pasukan bomba tiba di lokasi.

“Mangsa ditemukan terbaring dalam lif di tingkat lima bangunan itu dalam keadaan lemah dan separa sedar.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada perubatan untuk dibawa ke Hospital Duchess of Kent bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Jimmy berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.35 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

Lima rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Jakarta

Safeek Affendy Razali

JAKARTA: Lima rakyat Malaysia ditahan Badan Reserse Kriminal (BARESKRIM) Polis Republik Indonesia (POLRI) Jumaat lalu, selepas disyaki menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan di bahagian dalam kasut masing-masing.

Kelima-lima suspek ditahan petugas Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan AirAsia QZ201.

Pengarah Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Republik Indonesia, Ir Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk putih yang disembunyikan di bahagian insole kasut.

“Setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram setiap bungkusan.

“Keseluruhannya ditemukan 10 bungkusan dengan berat lima kilogram,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi CNN Indonesia hari ini.

Kelima suspek itu dikenal pasti sebagai Mohamad Zulhusni, 49; Nur Aisyah, 25; Emmanuel, 24; Prince Alvin Robin, 22; dan Muhammad Adam, 21.

Hasil soal siasat mendapati mereka dipercayai dikawal seorang individu yang menggunakan nama panggilan ‘Madam’ menerusi aplikasi Telegram.

Sejurus tiba di Jakarta, mereka diarahkan menuju ke sebuah hotel di Harmoni, Jakarta Pusat sebelum semua kasut yang mengandungi serbuk etomidate dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian berwarna merah.

Beg itu kemudian akan diserahkan kepada seorang lelaki warga China, Wu Song, 25, di lobi hotel berkenaan.

Susulan maklumat itu, pasukan gabungan BARESKRIM POLRI kemudian menahan Wu Song dan menemui kunci sebuah unit apartmen di Mediterania Marina Residence, Jakarta Utara, dalam pemeriksaan.

Hasil pengembangan siasatan ke unit apartmen itu membawa kepada penemuan makmal rahsia yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan pod vape mengandungi etomidate.

Polis turut merampas pelbagai bahan mentah dan peralatan pemasangan pod vape antaranya 16 jeriken cecair perisa berkapasiti lima liter setiap satu, lima botol cecair berkapasiti satu liter, 21,000 pod vape kosong dan 15,000 penutup silikon pod vape.

Turut dirampas 800 batang pipet plastik serta 4,715 bekas pod pelbagai perisa.

Eko berkata, Wu Song dipercayai berada di Indonesia sejak September lalu dan menetap di apartmen berkenaan, selain mengaku menerima arahan menerusi kumpulan komunikasi aplikasi ‘Signal’ untuk merekodkan stok barangan.

Polis menganggarkan nilai bahan mentah dan peralatan pemasangan vape etomidate yang dirampas mencecah Rp127.5 bilion (kira-kira RM33.8 juta).

Kejayaan mematahkan aktiviti penyeludupan itu, sekali gus dapat menghalang pengedaran kira-kira 42,500 pod dan menyelamatkan sekitar 21,250 orang daripada bahaya penyalahgunaan narkotik.

Semua suspek disiasat mengikut peruntukan undang-undang narkotik Indonesia, termasuk Seksyen 119(2) dan Seksyen 132(1) Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik.

Wanita maut dipercayai terjatuh dari bangunan

Juwan Riduan
Wanita berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Penampang. – Foto tular
PENAMPANG: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 38 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di atas jalan di bahagian belakang bangunan berkenaan pada jam 12.36 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan pada jam 1.05 tengah hari.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes yang juga Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215.

Suami isteri maut dalam nahas 2 kenderaan di Tampin

Bernama

Kejadian di Jalan Gemencheh pagi tadi turut menyebabkan anak lelaki mereka berusia empat tahun mengalami kecederaan.
Crash Suami isteri maut, anak parah tampin
Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera dalam nahas dua kenderaan. (Gambar Facebook)
TAMPIN: Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gemencheh di sini hari ini.

Ketua Polis Tampin, Amiruddien Sariman, berkata dalam kejadian pada 10.55 pagi itu, wanita berusia 26 tahun yang juga penumpang hadapan kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 27 tahun yang memandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gemencheh.

Beliau berkata kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gemencheh ke Bukit Rokan manakala Perodua Bezza dari Bukit Rokan menghala ke Gemencheh.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan.

“Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia manakala anak lelaki berusia empat tahun cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amiruddien berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-441 2502 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Ustazah tidak mengaku amang seksual pelajar lelaki 16 tahun

KOSMO!
HASLINA (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 16 tahun pada 2024.
IPOH – Seorang guru agama sebuah sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh, Haslina Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi maksud seksual di dalam bilik di sebuah sekolah menengah di Halaman Ampang Mewah, Ipoh, dalam daerah Kinta, antara November dan Disember 2024.

Pertuduhan terhadap dua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh namun peguam, Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Menurut Amira Sofea, wanita itu mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun yang mana dua daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Anak guam saya sudah berkahwin namun suaminya yang mempunyai masalah kesihatan, tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Mohon mahkamah menetapkan jaminan minimum yang tidak membebankannya.

“Selain itu, anak guam saya turut bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Hakim Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Karenah warga asing: 13 warga asing ditahan, menyamar polis Jepun

Syafiq Akhir
am@hmetro.com.my
MOHD Alwi menunjukkan 13 warga asing yang menyamar sebagai polis Jepun dalam serbuan yang dilakukan di tiga unit Condominium Timur Perdana, pada Khamis lalu. FOTO Syafiq Akhir
MOHD Alwi menunjukkan 13 warga asing yang menyamar sebagai polis Jepun dalam serbuan yang dilakukan di tiga unit Condominium Timur Perdana, pada Khamis lalu. FOTO Syafiq Akhir
Kampar: Taktik 13 warga asing menyamar sebagai polis Jepun bagi memperdaya mangsa di negara matahari terbit itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kondominium di sini yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan jam 9 pagi itu dilakukan ke atas tiga unit kediaman di Condominium Timur Perdana, di sini.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 57 tahun terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga Jepun, berserta empat lelaki warga China.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Ogos lalu. Modus operandi mereka adalah menyasarkan mangsa di Jepun dengan menyamar sebagai pegawai polis.

"Suspek dipercayai menerima bayaran dalam bentuk komisen berdasarkan penipuan yang berjaya dilakukan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata, hasil siasatan turut mendapati sebahagian daripada suspek pernah bekerja dan berpangkalan di Kemboja menjalankan kegiatan sama, sebelum masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan.

Menurutnya, susulan serbuan di ketiga-tiga premis berkenaan, polis merampas pelbagai barangan dan kelengkapan operasi dianggarkan bernilai RM20,000.

"Antara yang dirampas adalah tiga lencana polis Jepun, tiga set pemegang kad berlogo polis Jepun, tiga set pakaian berserta jaket serta satu set skrip penipuan berbahasa Jepun.

"Turut dirampas, dua komputer riba, 18 telefon bimbit, dua tablet dan sebuah mesin router internet," katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis kini bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi meneliti status kemasukan serta pas lawatan semua suspek yang ditahan.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, kaedah operasi, aliran kewangan serta individu lain yang mungkin terbabit," katanya.

Dr Hasmah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara - PM

Malaysiakini

Kerajaan memutuskan untuk memberi taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Dr Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini memaklumkan dia mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Malek Razak Sulaiman untuk membantu pengurusan dan melaksanakan istiadat berkenaan.

"Bagi pihak Kerajaan Madani dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di IJN pagi tadi. Negara tetap mengenang susuk keibuan dan menghargai jasa Allahyarham.

"Saya mengarahkan KSN dan PAT untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham," katanya.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga atas pemergian Siti Hasmah.

"Ingatan dan doa saya bersama serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pagi ini pada usia 100 tahun.

Warga emas maut disyaki ditikam anak sendiri hingga mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita yang dipercayai menikam ibunya hingga maut dalam kejadian di Kampar, Perak, semalam.

Mangsa berusia 70 tahun ditemukan mati di lokasi kejadian dengan kesan tikaman di dada, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin berkata, laporan kes itu diterima daripada menantu mangsa sebelum suspek berusia 49 tahun ditahan tidak lama selepas kejadian.

Katanya, mangsa dikatakan baru sahaja diambil pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah dan berada dalam keadaan terlantar.

“Pihak polis dimaklumkan ketika kejadian hanya suspek dan mangsa berada dalam rumah sebelum wanita itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian dada.

“Siasatan awal dijalankan polis mendapati suspek mempunyai rekod psikiatri,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan laporan lanjut daripada pihak hospital berhubung keadaan kesihatan mental suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek direman sehingga 4 Oktober bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

'Atuk’ 90 tahun juara bina badan

KOSMO!
PADA usia 90 tahun Kanazawa masih aktif dalam sukan bina badan. - AGENSI
TOKYO – Seorang warga emas, Toshisuke Kanazawa di Hiroshima yang baru sahaja merayakan ulang tahun kelahirannya yang ke-90 telah berjaya memenangi satu lagi pertandingan utama bina badan, lapor saluran berita The Guardian.

Kejayaan menewaskan tujuh peserta lain dalam kategori 85 tahun ke atas di Kejohanan Bina Badan Masters Jepun itu menandakan gelaran kebangsaan dia yang ke-19.

Tegasnya, kejayaanya itu bukanlah yang terakhir buat dirinya dan dia masih belum 

Dilahirkan di wilayah Shimane pada tahun 1936, Kanazawa pada asalnya merupakan atlet renang bagi acara 1,500 meter gaya bebas. 

Namun, masalah otot yang dialami telah meranapkan impian Olimpiknya, sekali gus mendorong beliau mengalihkan fokus ke arena bina badan profesional.

Usahanya membuahkan hasil apabila dia merangkul gelaran Mister Jepun pada usia 24 tahun, sebelum mengulanginya tiga tahun kemudian. 

Dia juga pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan Mr Universe 1967 di Montreal, bersaing di pentas yang sama dengan Arnold Schwarzenegger dan juara ketika itu, Sergio Oliva.

Sejak mencecah usia 80 tahun, Kanazawa telah meraih enam kejohanan World Masters.  – AGENSI

Negeri Sembilan tidak berkerajaan?

Mohsin Abdullah

Tanpa barisan exco baharu, timbul persoalan sampai bila pentadbiran Negeri Sembilan boleh terus berada dalam keadaan tergantung.

Ringkasnya pada 20 Sept lalu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri atau Exco berkuat kuasa serta-merta.

Empat hari kemudiannya, pembatalan itu diwartakan.

Oleh kerana Menteri Besar Ismail Lasim tidak mempersembahkan barisan exco yang baharu (sebagai ganti) seperti diperintah Yang Dipertuan Besar semasa membatalkan barisan yang terdahulu – Negeri Sembilan tidak ada seorang pun exco sehingga artikel ini ditulis.

Ertinya Ismail ketua kerajaan tanpa kerajaan. Umpama nakhoda kapal tanpa kelasi. Bolehkah nakhoda bersendirian membawa kapal belayar merentasi lautan sambil bertarung pelbagai cabaran – ditiup badai di atas laut bergelora?

Kalau tidak ada cabaran sekali pun, bolehkah kapal digerakkan in the first place? Tanpa anak kapal? Kalau serah senarai baru exco seperti yang diperintah, taklah begini jadinya. Assuming cadangan MB diperkenan baginda. Sekarang sampai bila begini?

Umum tahu keadaan ini ialah akibat krisis yang berlarutan. Persoalan paling penting sekarang – apa jalan ke hadapan?

Apabila Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengulas krisis berkenaan berdasarkan bacaan perundangan dan perlembagaan ada pihak menyelar. Dengan keras memberitahu beliau jangan masuk campur urusan Negeri Sembilan.

Beberapa pakar undang-undang perlembagaan bagaimanapun berbeda pandangan. Bagi mereka adalah tidak wajar menuduh peguam negara campur tangan krisis dalaman Negeri Sembilan kerana beliau adalah penasihat undang undang tertinggi negara.

Saya setuju. Jika penasihat undang-undang tertinggi persekutuan tidak boleh ulas dan beri pandangan serta cadangan untuk menyelesaikan krisis yang bertambah parah, siapa yang boleh?

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga diberi amaran oleh pihak yang mendakwa undang dan pemimpin adat Negeri Sembilan – jangan masuk campur.

Seperti yang saya tulis pada artikel terdahulu seorang pedana menteri wajib tahu apa yang sedang berlaku dan bagaimana ia dapat diatasi. Jika ketua kerajaan persekutuan tidak boleh melakukan apa-apa dan dituduh masuk campur, siapa yang boleh?

Apa pun semalam akhbar The Star menyiarkan laporan dengan tajuk “Anwar firm on not interfering in Negeri royal row”. Perdana menteri dipetik berkata beliau tidak akan mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tetapi berpendapat apa-apa pertikaian berhubung institusi raja mesti diatasi berdasarkan perlembangaan dan undang-undang.

Benar Negeri Sembilan ada perlembangaannya sendiri (seperti negeri-negeri lain di negara ini) dan adat pepatih yang unik seharusnya dihormati.

Namun ia tetap sebuah negeri dalam Malaysia sekali gus dirangkul Perlembagaan Persekutuan.

Saya mengaku sering bermain di minda adakah mungkin darurat diisytihar di Negeri Sembilan membolehkan federal goverment to run things at least sampai krisis diselesaikan? Atau kemungkinan PRN diadakan sekali lagi? Cuma letting my imagination to run wild.

Jumaat lalu saya dapati satu opinion piece siaran FMT yang amat menarik. Ia saranan dibuat oleh bekas hakim Hamid Sultan Abu Backer. Beliau mencadangkan isu Negeri Sembilan dibawa terus ke Mahkamah Persekutuan meski pun “pada masa ini satu-satunya laluan yang tersedia ialah semakan kehakiman”.

Bagaimanapun kata Hamid mekanisme itu menuntut semua pihak yang berlitigasi selesaikan terlebih dahulu proses rayuan yang panjang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum sampai ke Mahkamah Persekutuan.

Maka semakan kehakiman dilihat tidak sesuai untuk krisis perlembangaan (which is what it is in Negeri Sembilan – a constitutional crisis) yang memerlukan tindakan segera.

“Untuk memintas keperlahanan sistematik ini, Mahkamah Persekutuan mesti menggunakan kuasa ‘suo motu’ agar suatu keputusan yang muktamad dapat diberikan secara pantas,” kata Hamid.

Campur tangan ‘suo motu’ menurut beliau bertindak sebagai semakan berbentuk inquisitorial yang diaktifkan oleh jurisprudens sumpah atau Oath of Office jurisprudence.

Jujur saya akui ini kali pertama saya mendengar istilah ‘suo moto’. Untuk tahu lebih lanjut sila baca penulisan Hamid di FMT, tiga hari lalu yang bertajuk ‘‘Suo motu’ cara lebih pantas selesaikan kebuntuan di Negeri Sembilan’.

Walaupun telah bersara, beliau tetap ‘a learned judge’.

Akhir kalam, saya menegaskan krisis Negeri Sembilan semakin parah kerana pihak yang buat pertikaian sudah awal-awal made up their minds lalu tidak beri ruang untuk perbincangan lanjut.

Sambil mendakwa bertindak berpandu undang-undang dan perlembagaan.

Inilah digunakan untuk menidakkan hujah pihak lawan berdasarkan intepretasi sendiri.

Bak kata seorang kawan anak jati Nogori: “Nismilan: Tafsirlah undang-undang ikut selero dan puak masing masing.”

Jelas si kawan sedih dan bosan krisis tak abih-abih.

Dua lelaki ditemukan maut di Alor Gajah

Farhana Yaacob

ALOR GAJAH: Seorang wanita berusia 38 tahun menemui tunangnya dalam keadaan tidak bernyawa di rumah lelaki itu di Simpang Ampat, di sini, kira-kira 11 pagi hari ini selepas gagal menghubunginya sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, wanita terbabit ke kediaman lelaki itu untuk mencarinya selepas gagal dihubungi.

“Sebaik tiba, wanita itu yang masuk (rumah) melalui tingkap, menemukan lelaki terbabit di dalam unit sebelum menghubungi ambulans.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mangsa yang bekerja di sebuah kilang dipercayai tinggal seorang diri di kediaman itu.

Dalam kejadian berasingan kira-kira 30 minit sebelum itu, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah rumah kedai terbiar di Cherana Putih, Taboh Naning.

Menurut Ahmad, mangsa yang berasal dari Simpang Ampat ditemukan orang awam yang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu. Pasukan forensik dan ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap kedua-dua mangsa tidak menemukan unsur jenayah, manakala tiada tanda pecah masuk dikesan di lokasi kejadian kedua.

“Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Dari bijih timah ke REE, adakah sejarah perebutan kekayaan akan berulang?

Harapandaily

OLEH LIYANA MARZUKI

Malaysia ini kaya. Kaya dengan hasil bumi. Kalau dulu kita ada bijih timah, hari ini kita ada pula REE yakni Rare Earth Elements atau Nadir Bumi. 

Nilainya bukan kecil. Di seluruh negara, potensi sumber ini dianggarkan bernilai ratusan bilion ringgit. Bagi kita orang biasa, kita boleh bertanya.

Hasil bumi ini sebenarnya milik siapa? Dan siapa yang berhak mendapat manfaat daripadanya? Emas, bijih timah, balak dan sekarang REE.

Dahulu sistem pemerintahan kita berbeza. Tanah Melayu diperintah melalui sistem beraja dan masyarakat feudal. 

Kuasa politik, tanah dan kekayaan memang banyak tertumpu kepada Raja, pembesar dan bangsawan. Tetapi negara kita sudah berubah.

Kita bukan lagi hidup dalam zaman Raja Mutlak.

Kita hidup dalam sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi. Ada undang-undang. Ada Kerajaan Negeri. Ada prosedur dan tatakelola.

Sebab itu, siapa pun yang mahu mengusahakan hasil bumi sama ada orang biasa, politikus, pembesar, bangsawan atau kerabat, mereka harus tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Tak boleh sesuka hati korek tanah dan ambil hasilnya. Ada kelulusan yang perlu diperoleh. Ada syarat perlombongan. 

Ada isu pemilikan dan penggunaan tanah. Ada keperluan alam sekitar. Di samping permit, royalti, premium atau hasil yang perlu dibayar mengikut undang-undang. 

Sebabnya hasil bumi bukan sekadar peluang membuat keuntungan. Ia adalah kekayaan negeri yang sepatutnya turut memberi manfaat kepada rakyat.

Itulah bezanya sistem moden dengan sistem feudal.

Sebab itu saya tertarik dengan pendedahan berhubung REE di Negeri Sembilan.

Menurut carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diterbitkan oleh Nokta.my, terdapat maklumat korporat yang mengaitkan Undang Johol dan mantan Undang Jelebu dengan syarikat yang dikatakan mempunyai kepentingan berkaitan REE.

Bagi saya, seseorang pembesar, kerabat atau bangsawan nak berniaga, berniagalah. Tiada masalah. 

Kita pun sedia maklum dari dulu lagi ada pembesar, kerabat dan bangsawan Melayu yang terlibat dalam dunia perniagaan. Mereka tubuh syarikat, bina konglomerat dan berniaga seperti orang lain.

Antah dan Gamuda contohnya. Berpuluh tahun sudah ada. Hidup dan berjaya. Kita orang biasa ok sahaja. Pembesar, kerabat atau bangsawan nak berniaga, itu bukan isunya.

Yang menarik perhatian saya dalam carian SSM ini ialah alamatnya. Menurut carian yang diterbitkan itu, alamat Balai Undang dinyatakan sebagai alamat pengarah syarikat berkenaan.

Kalau rekod SSM itu tepat, bagi saya ini menimbulkan persoalan yang wajar dijelaskan.

Sebabnya Balai Undang bukan kediaman persendirian. Ia merupakan tempat yang dikaitkan dengan kedudukan dan urusan rasmi seseorang Undang.

Jarang kita tahu atau lihat, Raja atau kerabat gunakan Istana sebagai alamat urusan komersial mereka ya. Tetapi Undang boleh guna? Apa bezanya mereka? 

Kemudian berlegar pula satu surat yang dikatakan dikeluarkan oleh seorang Undang kepada sebuah syarikat berhubung urusan REE.

Saya tidak boleh mengesahkan sendiri ketulenan surat tersebut. Sebab itu saya tidak mahu menghukum sesiapa berdasarkan satu surat yang berlegar di media sosial.

Tetapi kalau surat itu benar dan sahih, kandungannya wajar diteliti dan dijelaskan oleh pihak berkuasa.

Benarkah urusan pemilikan atau aktiviti perlombongan REE boleh dilakukan melalui Undang tanpa melalui proses Kerajaan Negeri?

Apakah kuasa undang-undang yang membolehkan perkara tersebut?

Adakah semua kelulusan, permit, syarat alam sekitar, royalti dan hasil negeri tetap perlu dipatuhi?

Dan paling penting siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat daripada hasil REE tersebut?

Ini soalan yang wajar ditanya. Bukan soal dengki kepada orang kaya.

Ramai yang tak ada masalah orang kaya menjadi lebih kaya. Kerabat nak berniaga, berniagalah. Bangsawan nak berniaga, berniagalah.

Pembesar nak berniaga, berniagalah. Politikus atau orang biasa pun sama. Tetapi apabila perniagaan menyentuh hasil bumi milik negeri, standardnya mesti berbeza.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang memegang kedudukan institusi atau adat.

Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin penting pemisahan antara jawatan, institusi dan kepentingan peribadi perlu jelas.

Bukan sahaja untuk melindungi rakyat. Tetapi untuk melindungi kehormatan institusi itu sendiri.

Dulu, bijih timah merupakan antara kekayaan yang membentuk politik, kuasa dan perebutan kepentingan di Tanah Melayu.

Hari ini kita mempunyai REE yang nilainya berbilion ringgit. Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, persoalan yang timbul patut dijawab secara terbuka.

REE ini milik siapa? Siapa yang melombong? Siapa yang meluluskan? Berapa yang negeri akan dapat? Dan akhirnya, siapa yang bertanggungjawab pastikan ia selamat dan menjaga anak watan?

Kalau semuanya dibuat mengikut undang-undang, bagus. Tunjukkan. Namun kalau ada yang tidak kena, perlulah disiasat.

Dulu, hasil bumi pernah membentuk sejarah Tanah Melayu. Bijih timah membawa kekayaan. Dengan kekayaan datang kepentingan. Dengan kepentingan datang perebutan kuasa.

Hari ini, kita ada REE. Nilainya bukan lagi jutaan. Tetapi berbilion ringgit. Dan bila saya melihat apa yang mula muncul mengenai REE di Negeri Sembilan, saya jadi teringat sejarah lama.

Sebab dalam sejarah, perebutan kuasa jarang sekali berlaku kerana kuasa semata-mata. Ia selalunya berlegar sekitar harta benda. 

Kita tengok ke mana perginya episod ini. Adakah sejarah perebutan kuasa × wang akan berulang kembali?

Terkini Wanita maut, kereta terjunam ke sungai di Kulai

Jassmine Shadiqe
Kenderaan dipandu wanita yang terbabas dan terjunam ke sungai di Kulai. – Foto Bomba
KULAI: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh paip air utama sebelum terbabas dan terjunam ke sungai di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, awal pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa berusia 21 tahun itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menuju ke Skudai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.49 pagi.

“Kereta mangsa merempuh paip air utama di bahu jalan sebelum terbabas dan terjunam ke sungai.

“Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, mendapati kenderaan berkenaan tenggelam kira-kira tiga meter di dalam air serta hanyut sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi terjunam.

“Pasukan penyelamat mengikat kenderaan pada sebatang pokok sebelum mangsa dikesan dan dikeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.

Mat rempit berlanggar sesama sendiri ketika berlumba

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Tangkap layar video tular penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan akibat berlanggar sesama sendiri di Kuantan.
KUANTAN – Gara-gara merempit beberapa penunggang motosikal terlibat dalam kejadian kemalangan akibat berlanggar sesama sendiri.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku malam semalam di daerah ini.

Bagaimanapun setakat ini tiada laporan mengenai keadaan mangsa yang terlibat.

Berdasarkan video berdurasi 20 saat yang tular dalam Facebook menyaksikan, sekumpulan penunggang motosikal berlumba di kedua-dua belah jalan.

Susulan itu, rata-rata netizen menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perlakuan itu yang turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

Seorang pengguna Facebook Radzi Daud berkata, “wow.. best… tengok free.. sikitnya motor… ramai-ramai jatuh lagi best.. meriah. Ajak parent korang skali,” katanya

Seorang lagi pengguna Facebook, Rasul Yee berkata, “nasihat pun tak jalan. Biar kawan dia yang urus kan jenazah, innalillahi wainnailaihi raji’un,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Disyaki amang seksual 3 pelajar, bekas mudir direman 5 hari

Bernama

DUNGUN: Bekas mudir sebuah maahad tahfiz di daerah ini direman lima hari bagi membantu siasatan dakwaan amang seksual tiga pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dari April hingga September 2025.

Ketua Polis Dungun, Nik Ab Halim Nik Mat, berkata perintah reman mulai hari ini sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Ng Yan Ni selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Dungun.

Beliau berkata, permohonan reman itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dijalankan.

Menurutnya, lelaki berusia 26 tahun itu yang kini guru sambilan hafazan di sebuah sekolah agama di daerah itu ditahan di kediamannya di Paka kira-kira 11 malam tadi.

“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian itu semalam dan siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa merupakan bekas pelajar maahad berkenaan pada 2025.”

Bapa ditahan disyaki campak dua anak dari balkoni tingkat enam

Bernama-KYODO

Gifu, Jepun: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan pada Sabtu kerana disyaki mencampakkan dua anak perempuannya dari balkoni pangsapuri tingkat enam di Wilayah Gifu, tengah Jepun, lapor Kyodo News memetik polis.

Polis tiba di lokasi selepas isteri lelaki berkenaan menghubungi talian kecemasan lewat malam Jumaat dan melaporkan bahawa suaminya bertindak ganas.

Anggota polis sempat menyediakan tilam keselamatan bagi mengurangkan impak jatuh kedua-dua kanak-kanak berusia empat tahun dan setahun itu.

Kedua-duanya berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital dan dipercayai tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Tomokazu Miura, seorang pekerja sambilan ditahan di tempat kejadian kerana disyaki cuba membunuh.

Menurut polis, suspek tinggal bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Polis mengarahkan Miura keluar dari pangsapuri selepas menerima panggilan kecemasan daripada isterinya.

Polis menyerbu masuk ke pangsapuri berkenaan pada awal pagi Sabtu, selepas suspek enggan mematuhi arahan itu.

Miura dipercayai mencampakkan kedua-dua anak perempuannya dari balkoni ketika kejadian itu berlaku.

Polis berkata suspek berdiam diri ketika disoal siasat.

500 tetamu majlis tahlil bawa pulang kipas ‘berdiri’

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan tetamu membawa pulang bakul berisi makanan dan sebuah kipas angin. - TikTok 
JAKARTA – Sebuah majlis tahlil di Lamongan, wilayah Jawa Timur menjadi sensasi internet apabila tetamu menerima kipas angin ‘berdiri’ sebagai buah tangan, lapor laman berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @nunuelcidi menunjukkan majlis tersebut dihadiri oleh  beratus-ratus orang. 

Perakam video dikenali sebagai Nunu berkata, majlis yang dihadiri seramai 500 orang itu diadakan di kediaman milik penduduk bernama Hj. Norwati, baru-baru ini. 

“Tetamu dijamu  pelbagai hidangan termasuk kuih-muih, buah, nasi beserta lauk dan aiskrim atau lebih dikenali sebagai ais podeng,” kata Nunu. 

“Selepas selesai tahlil dan solat berjemaah, setiap tetamu menerima sebuah bakul berisi kek coklat, pelbagai snek dan susu kotak. 

“Selain makanan, penganjur turut memberikan kipas kepada tetamu. Semua tetamu membawa pulang kipas yang masih dibalut dengan plastik,” tambahnya. – AGENSI

Pemandu lori kencing tepi tol disaman

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan pemandu lori itu disaman kerana memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk membuang air kecil. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang pemandu lori disaman selepas memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran sebuah tol di Sumatera kerana tidak tahan untuk membuang air kecil, lapor laman berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Tol Betung-Tempino-Jambi, baru-baru ini.

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @galihlinggau menunjukkan anggota peronda lebuh raya menyaman pemandu terbabit. 

“Perjalanan ke kawasan rehat dan rawat (R&R). Saya tidak dapat menahan dan hampir terkencing. Jadi, saya berhenti di tepi jalan selama dua minit sebelum Pasukan Peronda Lebuh Raya (PJR) muncul,” kata pemilik akaun. 

Pemandu berkenaan memberitahu bahawa dia hanya membuang air kecil tetapi alasan tersebut tidak diterima, menyebabkan dirinya disaman. 

Pemandu dilarang memberhentikan kenderaan di tepi tol untuk sama ada berehat, tidur, makan, mengambil atau menurunkan penumpang serta membuang air kecil. – AGENSI

Cemas!! Wanita diragut ketika melintas jalan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular kejadian ragut di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih.
TANGKAP layar video tular kejadian ragut di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih.
Kajang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tiba-tiba beg tangannya diragut dalam kejadian di hadapan pasar pagi Kampung Baru Semenyih, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 54 tahun sedang melintas jalan sebelum dihampiri lelaki yang menunggang motosikal.

"Penunggang terbabit disyaki meragut beg tangan milik mangsa yang mengandungi telefon, wang tunai dan dokumen pengenalan diri.

"Mangsa yang juga warga tempatan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan berhubung kejadian itu pada 1.28 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

​Terdahulu, tular klip video rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan mangsa melintas dan berhenti di tengah jalan bagi memberi laluan kepada motosikal suspek, namun suspek dilihat menarik beg tangan wanita itu lalu memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Naazron berkata, usaha mengesan suspek giat dilaksana bagi siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

​Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 atau mana-mana balai polis terdekat.

Wanita bersalin dalam kereta api, penumpang cemas

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan kakitangan KRL membantu wanita itu bersalin di dalam tren. - TikTok 
JAKARTA – Penumpang sebuah tren Kereta Rel Listrik (KRL) di Tangerang Selatan, wilayah Banten berdepan detik cemas apabila seorang wanita bersalin di dalam kereta api itu. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan beberapa kakitangan KRL segera bertindak balas dan membantu wanita terbabit. 

Sebilangan penumpang menyaksikan proses bersalin itu dengan cemas, manakala sebilangan lagi cuba memberikan sokongan moral. 

Wanita berkenaan melahirkan seorang bayi dengan selamat tidak lama kemudian. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 185,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Ibu hamil yang sanggup naik tren memang hebat,” kata seorang netizen. 

“Semoga si ibu dan bayinya sihat sentiasa,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

13 maut pesawat tentera terhempas di kawasan perumahan

KOSMO
BANGKAI pesawat dijilat api selepas terhempas di kawasan perumahan di DRC kelmarin. - AGENSI
KINSHASA – Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tiga pegawai tentera terbunuh selepas pesawat dinaiki mereka terhempas dan terbakar semasa mendarat cemas di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor akhbar The Sun UK. 

esawat tentera itu dilaporkan menuju ke ibu negara DRC, Kinshasa sebelum mengalami masalah teknikal, menyebabkan juruterbang terpaksa mendarat cemas. 

“Tanpa landasan pendaratan di Kenge, pesawat ini terhempas di kawasan perumahan,” kata Naib Gabenor Kwango, Remy Saki Bokinda.

Penumpang yang menaiki pesawat termasuk Jeneral Likulia Bakumi, ketua auditor tentera, seorang mejar, kapten, anggota tentera dan orang awam.

“Kesemua penumpang yang berada di dalam pesawat terkorban. 

“Kira-kira 12 mayat rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti, manakala mayat juruterbang ditemukan di luar pesawat,” tambah Bokinda. 

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas, demikian menurut kenyataan kerajaan. – AGENSI

Polis parah diserang 2 warga Myanmar mabuk

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius selepas diserang dua warga Myanmar ketika menjalankan tugas di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata dua suspek lelaki berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang itu dipercayai mabuk ketika kejadian serta mengganggu ketenteraman awam apabila memainkan muzik dengan kuat di tepi jalan.

“Selepas ditegur, kedua-dua suspek marah sebelum menyerang anggota polis terbabit. Akibat serangan itu, mangsa cedera di kepala dan beberapa bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan di hospital,” katanya menurut Berita Harian.

Pemeriksaan di Hospital Lipis mengesahkan Koperal Nik Mohd Farid Nik Pa patah tulang hidung, tulang di pipi kiri berhampiran bawah mata dan tulang di bawah mata kiri, lebam serta pendarahan di sekeliling mata kiri.

Difahamkan, dua suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan tiada senjata digunakan dalam serangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam sedang bertugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bunuh 16 orang, lelaki sembunyi di hutan elak dicekup

Harian Metro
Sao Paulo: Seorang lelaki yang didakwa membunuh 16 orang di kawasan terpencil di Brazil mengelak daripada ditangkap dengan bersembunyi di dalam hutan.

Polis berkata, Jorlan Lopes da Silva, 33, sering bersembunyi di dalam kawasan belukar tebal dan tinggal di kem buatan sendiri.

Pembunuhan yang dikaitkan dengan da Silva berlaku dalam tempoh tiga bulan lalu di kawasan terpencil Mulungu di negeri Paraiba, timur laut Brazil.

Lelaki itu diberi julukan "nyamuk" oleh penduduk tempatan kerana susuk tubuhnya yang kurus.

"Itulah yang membolehkannya melarikan diri daripada ditangkap selama bertahun-tahun.

"Jorlan tinggal sebahagian besarnya di dalam hutan, sebab itulah sangat sukar untuk menemuinya dan mengaitkannya dengan jenayah yang pada mulanya kelihatan tidak berkaitan," kata penyiasat Douglas Garcia.

Katanya, polis akhirnya melihat kaitan antara da Silva dengan jenayah lain selepas dia menembak mati seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di kawasan umum.

Penyiasat itu berkata pembunuh bersiri itu mendakwa dia hanya menyerang penjenayah, tetapi bukti menunjukkan sebaliknya.

Setakat ini, identiti mangsa dan butiran mengenai kematian mereka dirahsiakan supaya pihak pendakwaan dapat menjalankan tugas mereka.

Pelajar sekolah sukan maut, keluarga dakwa dipukul di asrama

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meninggal dunia semalam, dengan keluarganya mendakwa mangsa dipukul.

Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian itu dan berkata kes masih dalam siasatan, lapor Sinar Harian.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban,” katanya.

Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa pelajar berkenaan dipukul ketika berada di asrama sekolah berkenaan.

Seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu saudara mangsa turut berkata keluarganya dimaklumkan mengenai kematian itu selepas ibu mangsa menghubunginya.

Wanita berkenaan turut mendakwa seorang pelajar Tingkatan Empat ditahan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa mangsa dipukul serta mengenai penahanan seorang pelajar belum disahkan polis.

Kenapa Sanusi, panglima perang PAS naik angin dengan Umno

‘Jangan pergunakan saya’, Sanusi beritahu Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, memberitahu Umno supaya jangan mempergunakan dirinya untuk kepentingan Umno, ketika semua parti bersiap sedia untuk PRN Melaka.

Sehari selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, dilapor berkata rundingan bagi membentuk kerjasama politik masih belum bermula, Sanusi mengingatkan pihak-pihak yang hendak berpakat dengan PAS bahawa ‘kami tak bodoh’.

“Kami pun pandailah. Betul, kami ikhlas, tapi kami tak bodoh,” katanya lapor Kedah Online, dalam hantaran yang dikongsi Sanusi di Facebook beliau.

“Jangan pergunakan saya untuk kepentingan parti anda, tetapi kita sama-sama ikhlas untuk jalin kerjasama tanpa ada agenda tersembunyi.”

Sanusi juga berkata parti yang mahu bekerjasama dengan PAS perlu bersedia melakukan pengorbanan.

Pada 27 Ogos lalu, Rauf mengumumkan BN akan mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini pada PRN kelak.

Bernama memetik beliau sebagai berkata semua kerusi itu tidak akan dikompromi dan merupakan syarat paling utama yang perlu dipatuhi mana-mana pihak jika mahu mengadakan kerjasama dengan BN.

Semalam, Sinar Harian memetik Rauf sebagai berkata 21 kerusi itu “hak kita, yang lain kita boleh berunding”.

Sebelum pembubaran, BN menduduki 20 kerusi manakala Perikatan Nasional tiga kerusi.

Polis buru lelaki pukul penumpang wanita dalam tren LRT

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul seorang penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian 22 September lalu, mangsa berusia 45 tahun itu berdepan detik cemas apabila mendakwa secara tiba-tiba diserang oleh suspek yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada mangsa jam 6.35 petang, hari yang sama.

“Susulan daripada laporan yang diterima, satu kertas siasatan sudah dibuka dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terbabit, selain mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

‘Suo motu’ cara lebih pantas selesaikan kebuntuan di Negeri Sembilan

Hamid Sultan Abu Backer

Pendekatan 'suo motu' adalah lebih baik berbanding pengisytiharan darurat atau penubuhan tribunal.

Mengisytiharkan darurat atau menubuhkan tribunal untuk menyelesaikan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan merupakan jalan yang tidak berperlembagaan untuk memintas kebuntuan, memandangkan Mahkamah Persekutuan memiliki kuasa kehakiman yang berperlembagaan untuk menangani krisis sedemikian melalui perintah dan arahan ‘suo motu’ (atas usul sendiri).

Menurut Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja (Raja-Raja Melayu) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi pertikaian perlembagaan atau perkara berkaitan salah laku perlembagaan.

Pada masa ini, satu-satunya laluan yang tersedia ialah semakan kehakiman.

Malangnya, mekanisme ini sememangnya tidak sesuai untuk krisis perlembagaan yang memerlukan tindakan segera kerana ia menghendaki pihak-pihak yang berlitigasi selesaikan terlebih dahulu proses rayuan yang panjang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum tiba di Mahkamah Persekutuan.

Untuk memintas keperlahanan sistemik ini, Mahkamah Persekutuan mesti menggunakan kuasa ‘suo motu’ agar suatu keputusan yang muktamad dapat diberikan secara pantas.

Walaupun Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKNS) Negeri Sembilan membenarkan raja merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi secara terus, mekanisme ini mempunyai kekangan: raja tidak boleh secara bebas memulakan rujukan tersebut tanpa nasihat eksekutif.

Tambahan pula, rujukan perlembagaan biasa masih perlu melalui sifat tatacara undang-undang yang adversarial dan perlahan.

Sebaliknya, campur tangan ‘suo motu’ bertindak sebagai semakan berbentuk inquisitorial yang diaktifkan oleh jurisprudens sumpah jawatan (Oath of Office jurisprudence).

Ini memberikan hakim kuasa yang sah di sisi perlembagaan untuk bertindak serta-merta demi kepentingan keadilan perlembagaan (constitutional justice) dan kedaulatan undang-undang.

Pertikaian perlembagaan yang sedang berlaku dalam lingkungan kerabat diraja Negeri Sembilan — yang mempertembungkan kuasa adat para Undang dengan majlis Yang Dipertuan Besar serta pihak-pihak lain dalam kerajaan dan ahli politik — merupakan suatu ancaman yang kuat terhadap kedaulatan undang-undang dan belum pernah berlaku.

Jika tidak ditangani, ia berisiko memecahbelahkan jentera perlembagaan negeri, serta menjejaskan penghormatan terhadap Raja-Raja Melayu selaras Rukun Negara.

Dalam menangani krisis perlembagaan ini, dua langkah politik yang banyak dibincangkan ialah pengisytiharan darurat atau penubuhan tribunal ad hoc.

Pada pandangan saya, kedua-duanya mesti ditolak dengan tegas sebagai jalan pintas yang tidak berperlembagaan dan tidak produktif, yang akan mengakibatkan kelewatan, sekali gus mengancam keselamatan negara serta mandat perlembagaan.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi pertikaian perlembagaan membabitkan dirinya sendiri atau mengawasi kes salah laku perlembagaan.

Eksekutif negeri yang dipilih juga tidak berupaya menyelesaikan perkara ini melalui dekri pentadbiran.

Pada masa yang sama, bergantung kepada mekanisme undang-undang biasa akan merumitkan usaha mencapai penyelesaian segera:

Perangkap semakan kehakiman

Laluan semakan kehakiman standard sememangnya tidak sesuai untuk krisis perlembagaan yang berkembang dengan pantas.

Pihak-pihak yang berlitigasi terpaksa menghabiskan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun melalui proses rayuan berperingkat melalui Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum perkara itu akhirnya tiba di mahkamah tertinggi.

Keterbatasan Perkara 34 UUTKNS

Walaupun Perkara 34 UUTKNS membenarkan persoalan perlembagaan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan, mekanisme tersebut sangat terbatas.

Raja tidak boleh bertindak secara bebas di bawah peruntukan ini; baginda tetap terikat dengan nasihat eksekutif.

Sifat adversarial yang perlahan

Andai kata rujukan rasmi berjaya dibuat, ia masih perlu melalui tatacara adversarial tradisional yang perlahan.

Negeri tidak mampu menunggu litigasi yang berpanjangan ketika nasib pentadbirannya terkatung-katung.

Penyelesaian: kuasa kehakiman dan campur tangan ‘suo motu’

Untuk memintas kebuntuan sistemik ini, Mahkamah Persekutuan mesti bangkit kepada kedudukan perlembagaannya dengan menggunakan bidang kuasa ‘suo motu’ yang dimilikinya — kuasa untuk bertindak atas usul atau inisiatif sendiri.

Mandat sumpah jawatan

Seperti yang telah berulang kali dihujahkan, sumpah jawatan hakim yang diperuntukkan oleh Perlembagaan — untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan — bukanlah suatu formaliti pasif dan bersifat upacara semata-mata.

Ia merupakan perisai undang-undang yang proaktif. Apabila kerangka perlembagaan dipertikaikan atau terjejas akibat pelaksanaan kuasa secara sewenang-wenang, mahkamah atasan mempunyai hak serta-merta dan kewajipan mutlak di sisi perlembagaan untuk campur tangan.

Kuasa inquisitorial mengatasi keperlahanan adversarial

Dengan menggunakan Kuasa Kehakiman Perlembagaan (yang terbit secara dinamik daripada Perkara 121(1) yang dibaca bersama sumpah kehakiman), mahkamah tertinggi boleh beralih daripada menjadi pengadil adversarial yang pasif kepada badan semakan inquisitorial.

Ini memberikan Mahkamah Persekutuan kuasa yang sah untuk mengeluarkan perintah dan arahan ‘suo motu’ secara serta-merta dan dipercepatkan kepada pihak-pihak yang terlibat.

Penyelesaian serta-merta

Berbanding menunggu konsensus politik atau membiarkan sistem perundangan melepasi proses yang rumit dan panjang, campur tangan ‘suo motu’ memintas kerenah tatacara.

Ia membolehkan mahkamah tertinggi dengan serta-merta mengambil maklum tentang kebuntuan tersebut, memanggil pihak-pihak yang berkaitan, dan memberikan keputusan yang muktamad serta mengikat demi kepentingan awam.

Kesimpulan

Mahkamah Persekutuan tidak perlu berselindung di sebalik doktrin kekangan kehakiman apabila asas tadbir urus perlembagaan berada dalam keadaan terancam.

Peguam negara, yang menjaga kepentingan awam, harus segera memfailkan permohonan kepada mahkamah tertinggi untuk mencetuskan mekanisme pantas ini.

Dengan melaksanakan dinamisme kehakiman berbanding memainkan peranan pemerhati pasif, menyaksikan sandiwara yang belum pernah berlaku ini; Mahkamah Persekutuan boleh menyelesaikan krisis Negeri Sembilan serta-merta, memulihkan kejelasan mutlak dan memelihara keharmonian negara.
-FMT

NKVE sesak, pokok tumbang halang laluan

KOSMO!
Keadaan pokok tumbang yang berlaku di Jalan Duta NKVE petang ini.
PETALING JAYA – Pengguna jalan raya berdepan kesesakan susulan kejadian pokok tumbang berikutan hujan lebat di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, petang ini.

Menerusi perkongsian video di media sosial, sebuah pokok besar dilihat tumbang ke arah lebuh raya sehingga menghalang dua lorong laluan.

Difahamkan, kejadian itu menjejaskan laluan dari arah pusat bandar ke Sungai Buloh.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.

Sementara itu, Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan dan tindakan lanjut daripda pihak bomba berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

SPRM akan serah notis arah Saravanan, ahli keluarga isytihar harta

Mohamad Fadli dan Tamil Thendral Annadurai

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas menteri sumber manusia M Saravanan, isteri dan tiga anaknya untuk mengisytiharkan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata notis akan diserahkan kepada timbalan presiden MIC itu dan ahli keluarganya Isnin ini.

Beliau berkata, ia dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang memberikan tempoh 30 hari kepada individu terbabit membuat pengisytiharan harta.

“Pihak kami akan menyampaikan notis pengisytiharan harta kepada Saravanan, isteri dan tiga anak beliau.

“Mereka akan hadir di SPRM untuk menerima notis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Halim menambah, mengambil kira keadaan seorang lagi anak Saravanan yang kini belajar di London, SPRM akan memberikan masa mencukupi untuk dia memenuhi keperluan pengisytiharan itu.

Pada 28 Ogos lepas, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Beliau didakwa menerima wang daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim melalui Syed Amirul Syed Ahmad sebagai dorongan untuknya meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd, dalam kapasitinya sebagai menteri sumber manusia.

Hakim, Azura Alwi membenarkan jaminan RM450,000 dengan seorang penjamin dan tidak menyita pasport Saravanan. Bagaimanapun, dia diarahkan melapor diri kepada SPRM setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Mahkamah menetapkan 29 Sept untuk sebutan kes.

Sementara itu, Halim berkata, bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Rahim dan ahli keluarganya, termasuk anak-anak, masih belum mengisytiharkan harta kerana tempoh 30 hari yang diberikan belum berakhir.

Menurutnya, SPRM akan menunggu pengisytiharan dibuat selepas Azeez dan ahli keluarganya menerima notis pada 15 Sept lepas.

Dua warga Myanmar serang polis selepas ditegur muzik kuat

T N Alagesh

RAUB: D Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang, dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian jam 2.45 pagi. ua warga Myanmar ditahan selepas dipercayai menyerang seorang anggota polis yang menegur mereka kerana bermain muzik dengan kuat di tepi jalan di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah ladang, dipercayai dalam keadaan mabuk ketika kejadian jam 2.45 pagi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, anggota polis berpangkat koperal itu ke lokasi selepas menerima maklumat daripada penduduk kampung.

“Selepas ditegur, kedua-dua suspek naik marah sebelum menyerang anggota polis berkenaan.

“Akibat kejadian, mangsa bengkak pada kepala serta beberapa bahagian badan dan kini menerima rawatan di Hospital Raub,” katanya melalui kenyataan.

Azry berkata, dua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Gabungan NGO lafaz ikrar taat setia pada Tuanku Muhriz

Malaysiakini

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menyaksikan lafaz ikrar taat setia dan sokongan terhadap baginda, oleh Pengerusi Sekretariat Gabungan Islam Se-Malaysia Che Rus Husin di Masjid Jamek Bahau, di Jempol.

Ikrar itu dilafazkan Che Rus selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid itu, yang dihadiri Tuanku Muhriz bersama lebih 300 jemaah.

Keberangkatan baginda ke masjid itu turut diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Terdahulu, Tuanku Muhriz bersama dengan para jemaah mendengar khutbah bertajuk “Beruntunglah Orang Yang Menyucikan Jiwanya” dan solat jumaat diimamkan oleh Suhaimi Mohamad.

Ikrar taat setia dan sokongan kepada Tuanku Muhriz itu mewakili Gabungan Melayu Islam Malaysia serta lebih 30 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, menyatakan pendirian untuk terus menyokong baginda dalam menghadapi kemelut yang berlaku.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Che Rus berkata kemelut berkenaan telah berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, bukan sahaja di Negeri Sembilan malah di seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya berharap kemelut berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik mengikut adat dan undang-undang ditetapkan, demi memastikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.

- Bernama

Sudah-sudahlah manipulasi fakta, ahli akademik tegur ‘4 undang’

FMT Reporters

Peguam, Rosli Dahlan, menyifatkan teguran mereka terhadap perdana menteri sebagai 'menghairankan dan belum pernah berlaku'.
faisal tehrani n rosli dahlan collage
Faisal Tehrani dan Rosli Dahlan membidas kenyataan oleh Undang Johol, Tunku Besar Tampin dan tiga individu lain yang menegur perdana menteri kerana ‘campur tangan’ dalam perkara berkaitan bidang kuasa mereka.
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik dan seorang peguam membidas Undang Johol Muhammed Abdullah serta tiga lagi individu yang mendakwa diri mereka sebagai ketua adat Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau kerana menegaskan bahawa mereka mempunyai kuasa mutlak untuk melantik dan memecat pemerintah negeri.

Ahli akademik, Faizal Musa yang lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, menggesa keempat-empat individu itu “sudah-sudahlah memanipulasi fakta dan menunggang adat untuk sesenduk kuasa”.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan Mubarak Dohak dan Maarof Mat Arshad bahawa mereka masih Undang Sungai Ujong dan Jelebu, mengatakan kedua-duanya dipecat pada awal tahun ini.

“Oleh itu apa pun hujah mereka tidak relevan,” katanya kepada FMT. “Saya menyeru mereka redha dan ‘move on’, agar rakyat Negeri Sembilan dapat aman-aman saja meneruskan kehidupan.”

Terdahulu hari ini, empat-empat individu itu bersama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, dalam kenyataan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak campur tangan dalam urusan negeri, khususnya perkara berkaitan bidang kuasa perlembagaan mereka.

Mereka mendakwa Perkara 10 dan 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) memberikan mereka kuasa eksklusif untuk memilih dan menurunkan pemerintah negeri.

Abdul Rahim Yasin, yang mendakwa dirinya Undang Rembau, tidak pernah dilantik secara rasmi ke jawatan tersebut.

Peguam, Rosli Dahlan, menyifatkan kenyataan keempat-empat individu itu sebagai “menghairankan dan belum pernah berlaku dari segi bentuk dan isi”.

“Ini bukan sahaja memburukkan lagi krisis perlembagaan di Negeri Sembilan, malah memberi kesan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam, kerana seluruh negara berasa cemas dan keliru,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Beliau menggesa kerajaan persekutuan supaya bertegas terhadap ‘golongan anarkis ini’ demi memastikan undang-undang dan ketenteraman, keselamatan awam serta keselamatan negara terpelihara.