"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Polis siasat dakwaan dua warga emas di pusat jagaan cedera, diikat

Zuliaty Zulkiffli
POLIS melakukan pemeriksaan di sebuah pusat jagaan warga emas berikutan kejadian dua warga emas yang cedera dan lebam serta diikat pada katil. FOTO Ihsan Keluarga
SUNGAI PETANI: Polis sedang menyiasat dakwaan dua warga emas cedera didakwa diikat pada katil serta mengalami lebam, di sebuah pusat jagaan warga emas di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dua laporan yang diterima pihaknya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Satu kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala satu lagi masih dalam siasatan.

“Polis sedang mengumpul keterangan dan bukti bagi mengenal pasti kejadian sebenar,” katanya hari ini.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa mendakwa, ibunya yang berusia 76 tahun yang turut menghidap demensia dihantar ke pusat jagaan itu pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia dimaklumkan oleh pihak pengurusan wanita terbabit terjatuh dari katil sehari kemudian.

Katanya, ketika melawat mangsa, dia mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan kecederaan pada badan ibunya.

“Dalam lawatan seterusnya, lebam pada badan ibu bukan sahaja tidak hilang, malah semakin bertambah.

“Kami juga pernah melihat tangan dan kaki ibu diikat pada palang katil besi.

“Pihak pusat jagaan memaklumkan tindakan itu dilakukan kerana ibu kerap bangun sendiri dari katil dan mereka mahu mengelakkan kemalangan,” katanya.

Individu terbabit mendakwa, disebabkan bimbang dengan keselamatan ibunya selain tidak mampu menjelaskan punca kecederaan dialami menyebabkan mereka sekeluarga mengambil keputusan membawa wanita itu keluar dari pusat jagaan berkenaan pada bulan yang sama.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa mendakwa, bapa saudaranya berusia 69 tahun yang ditempatkan di pusat jagaan sama pada September 2024 turut mengalami nasib yang sama.

Dakwanya, selepas beberapa bulan berada di pusat jagaan itu, mereka mendapati mangsa mempunyai banyak kesan lebam dan luka sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Bapa saudara mendakwa pernah dipukul dan dicubit oleh penjaga selain diikat pada katil pada waktu malam.

“Disebabkan pengalaman itu, dia mengalami trauma dan sehingga kini masih menjalani rawatan serta mengambil ubat di bawah pemantauan doktor,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha pusat jagaan berkenaan menafikan berlaku sebarang penderaan terhadap penghuni.

Katanya, pusat jagaan itu sentiasa menerima kunjungan pelawat dan badan kebajikan yang boleh menjadi saksi bahawa kebajikan penghuni sentiasa dijaga.

“Tindakan mengikat penghuni tertentu hanya dilakukan secara berkala menggunakan kain selepas mendapat persetujuan keluarga.

“Ia terutama warga emas yang mempunyai masalah pergerakan tetapi sering cuba bangun sendiri sehingga berisiko terjatuh, ” katanya

Anggota polis disyaki menghina ketika melancong di China disiasat

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap seorang anggotanya yang disyaki menghina masyarakat tempatan ketika melancong ke China, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, selain pelanggaran tatatertib, siasatan turut meliputi sebarang kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sekiranya terdapat unsur berkenaan.

“Kita telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggota yang berkenaan. Bukan sahaja daripada sudut tatatertib, jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Pesara Polis Malaysia (RESPA) Kali Ke-42 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Khalid mengingatkan semua pegawai dan anggota PDRM supaya sentiasa menjaga tatasusila, disiplin serta imej pasukan, sama ada ketika bertugas di dalam mahupun di luar negara.

“Sebagai anggota beruniform, kita terikat dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform,” ujarnya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang keputusan atau tindakan lanjut diambil terhadap anggota terbabit.

Sebelum ini, kecoh di media sosial susulan video tular memaparkan beberapa wanita berkelakuan dan mengeluarkan perkataan tidak senonoh sambil menutup hidung seolah-olah menyindir masyarakat tempat di negara tersebut.

Video tersebut yang turut mendapat liputan di luar negara menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai tindakan yang memalukan. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Penunggang cedera rempuh pintu hospital, positif dadah

Bernama

Mangsa yang cedera dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.
Penunggang positif dadah rempuh pintu unit kecemasan hospital fb pic 23626
Lelaki itu dipercayai dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan HSNZ sebelum hilang kawalan dan merempuh pintu kaca di zon hijau hospital. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas merempuh pintu kaca Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan HSNZ, sebelum hilang kawalan dan merempuh pintu kaca di zon hijau hospital.

Mangsa yang cedera di kedua-dua tangan dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.

“Mangsa dibawa menjalani ujian air kencing kerana tingkah lakunya yang mencurigakan,” menurut kenyataan.

Lelaki itu masih ditahan di wad HSNZ untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan.

Suami parah dilibas isteri dengan pisau

Rudi Affendi Khalik
Sumber: Astro AWANI
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. - Foto PDRM
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki parah selepas dilibas isterinya dengan pisau dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Taman Unigardens, di sini, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan berasal dari Sri Aman, datang ke rumah sewa yang didiami isterinya selepas mereka tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara pasangan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu mangsa kerana isterinya dikatakan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Dalam pertengkaran itu, mangsa telah memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri ke dalam rumah sambil dikejar mangsa.

Dalam usaha menghalang mangsa daripada menghampirinya, wanita itu mencapai sebilah pisau dan melibas ke arah suaminya, sebelum terkena pada bahagian perut.

Menyedari kecederaan serius yang dialami mangsa, suspek segera membawa suaminya ke Hospital IJN Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Barry berkata, suspek turut menerima rawatan di hospital yang sama akibat kecederaan di kepala sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atas arahan polis, susulan laporan yang dibuat oleh pembantu perubatan kira-kira jam 6.50 petang.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Mangsa telah menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia enam, tujuh dan 11 tahun yang kini tinggal bersama ibu suspek di Sri Aman.

Dua lelaki parah ditetak angkara salah faham di kelab hiburan

KOSMO!
Dennis (kanan) menunjukkan gambar suspek lelaki yang terlibat dalam kes serangan terhadap dua lelaki tempatan di sebuah tokong di Jelutong, Ahad lalu.
GEORGE TOWN – Dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan parah dipercayai akibat salah faham dalam kejadian pergaduhan di sebuah tokong di Jelutong di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa utama seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa telah diekori sekumpulan suspek selepas berlaku pertengkaran di sebuah pusat hiburan sebelum diserang di kawasan tokong berkenaan.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 64 tahun yang dipercayai penjaga tokong berkenaan, turut menjadi mangsa selepas cuba meleraikan serangan tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara salah seorang mangsa dan suspek di lokasi berbeza sebelum serangan berlaku.

“Dalam kejadian itu, mangsa pertama mengalami kecederaan parah termasuk putus jari telunjuk, manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada jari kelingking selepas cuba menghentikan serangan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari yang sama di sekitar daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.

“Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Polis turut mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Kita juga sedang meneliti latar belakang kumpulan ini termasuk kemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme. Jika terdapat elemen tersebut, polis akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah parang, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal, sebuah kereta dan topi keledar.

“Hasil semakan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun ujian saringan air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.

“Mahkamah Majistret George Town telah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.Waktu & Kalendar

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Gurauan bawa padah, pelajar Tingkatan Empat lecur ditekap mata pisau panas

Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Niat sekadar bergurau membawa padah apabila seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mengalami kecederaan pada lengan kiri selepas ditekap dengan mata pisau yang dipanaskan oleh rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari pada 15 Jun lalu itu dipercayai berlaku ketika pelajar daripada beberapa kelas digabungkan untuk mengikuti mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata siasatan mendapati suspek yang juga pelajar berusia 16 tahun dipercayai mengambil mata pisau jenis ‘blade’ yang disimpan di dalam almari kelas sebelum mengasahnya pada lantai sehingga menjadi panas.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak menarik lengan kiri mangsa dan menekapkan mata pisau berkenaan pada lengan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka melecet berukuran kira-kira empat sentimeter kali satu sentimeter pada lengan kiri.

“Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru kelas sebelum pulang ke rumah dan menceritakannya kepada ibunya,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Menurut Ahmad Mohsin, pihak sekolah menerima aduan daripada waris mangsa pada keesokan harinya sebelum menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu, namun mendakwa tindakannya dilakukan sekadar untuk bergurau.

“Siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang pertengkaran atau perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian kecemasan MERS 999 pada 16 Jun lalu sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas sebilah pisau utiliti berwarna perak sepanjang kira-kira 19 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Gara-gara dituduh curi telefon, lelaki putus jari diserang parang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah diserang sebilah parang oleh sekumpulan individu di sebuah tokong di Jelutong, Georgetown kelmarin, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung kecurian sebuah telefon bimbit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Dennis Lim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila timbul pertikaian antara mangsa berusia 31 tahun dengan sekumpulan lelaki di sebuah kelab, kira-kira 4 pagi.

Menurutnya, mangsa kononnya didakwa mengambil telefon bimbit milik seorang daripada suspek, namun siasatan awal mendapati ia sebenarnya tidak diambil oleh mangsa.

Katanya, selepas perselisihan itu, mangsa dipercayai diekori ke sebuah tokong di Jelutong sebelum diserang kira-kira tujuh individu.

“Seorang penjaga tokong berusia 64 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang dalam kejadian berkenaan.

“Kejadian menyebabkan mangsa putus jari telunjuk manakala penjaga tokong terbabit putus jari kelingking,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, polis kemudiannya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebilah parang, pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal dan sebuah kereta bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B akta sama.

“Kita turut mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Polis juga sedang menyiasat kemungkinan pembabitan suspek dalam kegiatan gengsterisme dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan,” katanya.

Dr Marzuki dakwa mesyuarat PN putus tidak sertai PRN Johor, NS dan Melaka

BORHAN AHMAD

Bekas pegawai kanan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa, mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) semalam memutuskan PN tidak akan menyertai pilihan raya negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ia dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Namun begitu, ia bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi Facebook beliau, Dr Marzuki Mohamad memaparkan dua kenyataan berbeza yang dikeluarkan selepas mesyuarat PN malam tadi.

Satu yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin yang memaklumkan, PN tidak akan menyertai PRN di ketiga-tiga negeri itu.

“Mesyuarat telah membuat ketetapan bahawa Perikatan Nasional tidak akan menyertai pilihan raya negeri Johor, pilihan raya Negeri Sembilan dan pilihan raya negeri Melaka yang akan datang,” kata Takiyudin dalam kenyataan yang disiarkan oleh Marzuki itu.

Satu lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memaklumkan PN akan memuktamadkan agihan kerusi untuk PRN Johor.

Bagaimanapun, yang mana sahih akan ditentukan oleh “Ayatollah”, kata Marzuki.
“Ada dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN malam ini.

“Kedua-dua kenyataan ini bercanggah.

“Apa pun jangan terburu-buru buat andaian.

“Kita tunggu kenyataan Ayatollah.

“Baru muktamad,” tulis Dr Marzuki menerusi Facebook beliau.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Mahiaddin ketika menjadi perdana menteri itu memaparkan kedua-dua kenyataan tersebut di dalam kenyataan beliau itu.
(Sidang media PN tanpa penyertaan pemimpin Bersatu)
Namun begitu, menerusi Facebook Dr Ahmad Samsuri, hanya tertera kenyataan beliau sebagai Pengerusi PN sahaja manakala tiada kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh Takiyuddin selaku Setiausaha Agung PN.

Dalam sidang medianya malam tadi juga, Dr Samsuri hanya membacakan kenyataan yang dibuat oleh beliau iaitu keanggotaan dan PRN Johor.

Menurut beliau, PN akan menyertai PRN Johor dan agihan kerusi akan dibincangkan dalam satu jawatankuasa khas.

Samsuri juga memaklumkan JK itu akan disertai oleh dua wakil setiap parti dan akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Sanusi Md Nor, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Kemalangan maut babitkan 6 kenderaan di Kulai (Video)

MOHD SHARKAWI LONDING
KEADAAN kemalangan di Kilometer 31.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Kulai hari ini. Foto Facebook THIS IS JOHOR
KULAI – Satu kemalangan ngeri dilaporkan berlaku di Kilometer 31.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kulai hari ini membabitkan empat kenderaan berat dan dua buah kereta.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan kedua-dua arah laluan terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan operasi menyelamat, pemadaman kebakaran serta kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Difahamkan, anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran dan mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Tangkap layar video tular keadaan kemalangan di Kilometer 31.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Kulai hari ini.

Menurut maklumat awal yang diperoleh, tiga mangsa difahamkan terlibat maut dalam kejadian itu, namun jumlah sebenar mangsa serta punca kemalangan masih belum disahkan pihak berkuasa.

Orang ramai dinasihatkan mengelakkan laluan tersebut dan menggunakan jalan alternatif sementara operasi di lokasi diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Populariti: KJ jauh tinggalkan Anwar, Zahid

Malaysiakini 
story-image
Dapatan firma kaji selidik Merdeka Center mengenai sokongan pengundi – yang bocor – menunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berdepan masa depan yang suram manakala timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, mengalami nasib lebih lebih buruk.

Maklumat itu juga menunjukkan bekas ahli politik yang terbuang dari partinya sendiri – sebelum dia kembali pada pertengahan April lalu – Khairy Jamaluddin berada di tempat paling popular.

Menurut dapatan Merdeka Center, 62 peratus orang Melayu yang terlibat dalam kaji selidik itu berpuas hati dengan Khairy, diikuti Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (49 peratus) manakala Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, di tempat ketiga dengan dibezakan hanya 1 peratus.

Responden meletakkan Anwar di tempat keempat dengan 45 peratus. Presiden PKR dan Pengerusi PH itu bagaimanapun lebih diterima dan popular berbanding Presiden PAS, Abdu Hadi Awang, yang berada di belakangnya dengan 412 peratus.

Menyusul di tempat keenam ialah bekas menteri ekonomi dan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (36 peratus). Tempat terakhir ialah Ahamd Zahid (31 peratus).

Dapatan itu adalah sebahagian daripada kajian Merdeka Center bertajuk: “Tinjauan Pendapat Awam Kebangsaan: Persepsi Terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa”.

Ia dijalankan antara 12 Mac dan 9 April lalu.

Bagaimanapun setakat ini yang terdedah hanya slaid mengenai keputusan tahap sokongan orang Melayu saja. Tiada maklumat atau dapatan lain yang dikeluarkan termasuk saiz sampel dan sentimen komuniti lain.

Berbeza dari dapatan 2025

Malaysiakini telah menghubungi Merdeka Center untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai perkara ini, dan difahamkan bahawa slaid berkenaan terbocor.

Selain rating kelulusan, slaid tersebut juga memperincikan kedudukan rasa tidak puas hati responden dengan Ahmad Zahid berada di tempat teratas dengan 60 peratus, manakala Anwar tidak jauh di belakang pada tahap 51 peratus.

Rafizi dan Abdul Hadi masing-masing mencatatkan 48 dan 43 peratus.

Ahmad Samsuri dan dan Khairy pula mencatat rasa tidak puas hati responden pada tahap yang sama iaitu 26 peratus.

Bagi Anwar, dapatan terkini itu mungkin menghantar petanda buruk. Penilaian sokongan terhadap Anwar pada Mei tahun lalu adalah 55 peratus secara keseluruhan, manakala rasa tida puas hati terhadapnya berada pada 36 peratus.

Tiada pecahan etnik yang dikeluarkan untuk penilaian kelulusan tahun lepas.
Tinjauan 2025 itu menunjukkan hanya 37 peratus orang Melayu merasakan negara sedang menuju ke arah yang betul di bawah pimpinan kerajaan sekarang, manakala 55 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Bagi Ahmad Zahid pula, tahap sokongan yang rendah daripada penyokong teras Umno boleh menghalang aspirasi yang didedahkannya baru-baru ini bahawa dia ingin menjadi perdana menteri.

Sementara itu, pembangkang kelihatan sedang menyambut baik dapatan tersebut dengan laman web rasmi PAS, Harakahdaily, menerbitkan semula rencana yang ditulis kakitangan Universiti Utara Malaysia, Afifi Abdul Razak, mengenai dapatan tersebut.

Usah nafikan bakat lain

Menurutnya Ahmad Samsuri menerima sokongan jauh lebih tinggi berbanding Anwar dan Ahmad Zahid dan PAS menganggapnya sebagai "mesej politik yang penting" kepada PN – ketika gabungan itu sendiri berdepan dengan kemelut dalaman.

Dalam tulisannya, Afifi menyatakan, walaupun Muhyiddin mencatatkan kadar sokongan yang sedikit lebih tinggi berbanding Ahmad Samsuri, bekas perdana menteri itu ada kelemahan berbanding Naib Presiden PAS berkenaan, iaitu kadar rasa tidak puas hati lebih tinggi.

Pemuda PAS Selangor pula berpendapat negara ini perlukan seorang pemimpin yang lebih ‘bising’ dalam bekerja berbanding ‘bising’ melalui kata-kata.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata dalam sistem demokrasi berparlimen, kepimpinan tidak boleh dibina atas kultus individu atau persepsi bahawa negara akan lumpuh tanpa seseorang.

Katanya institusi yang kukuh sentiasa lebih penting berbanding kebergantungan kepada seorang tokoh.

“Sebelum Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri, Malaysia dipimpin oleh pelbagai tokoh dengan latar belakang, gaya dan kekuatan yang berbeza.

“Setiap era melahirkan pemimpin yang sesuai dengan cabaran zamannya.

“Justeru, tidak wajar kita menafikan kewujudan ramai lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin negara,” katanya.

Lelaki berpakaian ‘askar Jepun’, miliki senjata tiruan disiasat

HARRITH HISHAM
Tangkap layar seorang lelaki berpakaian menyerupai pasukan keselamatan serta memegang senjata disyaki tiruan dalam kejadian di Kepong baru-baru ini.
GOMBAK – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan video tular yang memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata disyaki tiruan di sekitar Taman Bukit Desa, Kepong, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.31 petang semalam.

Menurutnya, laporan tersebut diterima anggota Kaunter Aduan Balai Polis Desa Jaya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak selepas video berkenaan tular di aplikasi WhatsApp.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian askar, kelasi atau askar udara. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana kesalahan memiliki dan mengimport senjata tiruan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak menerusi 03-61262222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan seorang lelaki memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan berjalan sambil membawa senjata disyaki tiruan. – KOSMO! ONLINE

Didera kekasih selama 3 tahun kepala gadis bernanah, mata buta

KOSMO
Melanie menunjukkan gambar mangsa yang dikurung dan didera oleh kekasihnya selama tiga tahun. - KOMPAS
JAKARTA – Polis di Bandung, wilayah Jawa Barat memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas mendera dan mengurung kekasihnya selama tiga tahun di rumah sewa suspek, lapor laman berita Detik. 

Penderaan yang dilakukan oleh suspek dikenali sebagai TH terhadap mangsa, YTR, 29,  dilaporkan kepada pihak berkuasa, baru-baru ini. 

YTR mengalami cedera parah termasuk gangguan penglihatan, bibir sumbing, sukar bercakap dan ketidakupayaan untuk berjalan. 

Kakak mangsa, Melanie Silviani berkata, adiknya masih dirawat di Hospital Hasan Sadikin.

“Luka di muka dan kepala mangsa baru sahaja dibersihkan kerana terdapat nanah. Dia kini boleh berkomunikasi tetapi suaranya tidak jelas,” kata Melanie. 

Apabila ditanya tentang perkataan pertama yang dinyatakan oleh mangsa, Melanie berkata YTR memohon maaf. 

“Apabila doktor bertanya tentang punca kecederaannya, YTR mula menangis dan mengatakan dia terjatuh di dalam bilik mandi. Tidak lama kemudian, dia mengaku diseksa oleh teman lelakinya. 

“Pada mulanya dia tidak jujur. Mangsa diberitahu sekiranya penderaan tersebut diketahui oleh orang lain, dia akan dipukul dengan teruk,” tambah Melanie. 

Melanie menggesa pihak berkuasa untuk menangkap pelaku dengan segera dan memberikan hukuman yang setimpal. – AGENSI

Bersatu-PH bekerjasama jika Muhyiddin berundur?

Azmin boleh jadi jambatan Bersatu-PH jika Muhyiddin berundur, kata penganalisis

FMT Reporters

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata Azmin Ali boleh muncul tokoh utama Bersatu jika wujud desakan menggantikan pimpinan bagi rundingan jajaran politik baharu.

Azmin Ali boleh jadi penghubung Bersatu-PH berdasarkan jaringan politik dan rekod beliau dalam rundingan antara blok, menurut penganalisis.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berpotensi menjadi ‘penghubung’ mengembalikan semula kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi penganalisis berpandangan ia sukar dilakukan jika Muhyiddin Yassin terus menentukan hala tujunya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata kedudukan Bersatu yang semakin terhimpit susulan krisis Perikatan Nasional (PN) menyaksikan kerjasamanya dengan PAS terputus mungkin memaksa parti itu mencari hala tuju baharu untuk kelangsungan politiknya.

Menurut penganalisis dari Global Asia Consulting itu, Bersatu mungkin terpaksa menilai semula kepimpinannya dan mencari tokoh yang mampu berunding pembentukan jajaran politik baharu menjelang PRN dan PRU16.

PRN terdekat adalah pilihan raya di Johor pada 11 Julai depan dan 1 Ogos di Negeri Sembilan.

Zaharuddin berkata jaringan politik Azmin dan rekod beliau dalam rundingan antara blok menjadikannya antara pemimpin yang boleh memainkan peranan itu, khususnya jika Bersatu mahu membuka semula ruang dengan PH.

“Jika ‘survival’ menuntut Bersatu berunding semula dengan musuh lama termasuk PH, Azmin mempunyai ‘lesen besar’ melakukannya demi menyelamatkan parti,” katanya kepada FMT sambil merujuk jawatan timbalan presiden PKR pernah disandang Azmin selama 10 tahun.

Azmin dipecat PKR enam tahun lalu susulan ‘Langkah Sheraton’, menyaksikan Bersatu keluar dari kerjasama dengan PH yang pada PRU14 berlangsung Mac 2018 menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Zaharuddin berkata berbeza dengan Hamzah Zainudin yang dipecat dalam konflik kepimpinan parti, bekas menteri besar Selangor itu pula tidak semestinya perlu melancarkan pemberontakan dalaman untuk muncul tokoh utama dalam Bersatu, menggantikan Muhyiddin.

Sebaliknya, beliau berkata perubahan itu boleh berlaku secara semula jadi sekiranya tekanan terhadap kelangsungan parti semakin memuncak, terutama selepas Bersatu kehilangan sokongan jentera PAS.

“Beliau tidak perlu mencabar secara bersemuka, tetapi beliau boleh mengambil alih secara ‘default’,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kerjasama dengan parti lain termasuk PH antara pilihan terbaik Bersatu untuk meneruskan kelangsungan politiknya ialah bekerjasama dengan parti lain, termasuk PH.

Menurutnya, PH juga boleh memanfaatkan Bersatu untuk meluaskan tarikan kepada sebahagian pengundi Melayu.

“Tetapi sejarah PH dengan Muhyiddin amat gelap sekali dan menutup pintu hatinya untuk bekerjasama,” katanya.

Muhyiddin dan Azmin sebelum ini menafikan Bersatu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan PH yang disifatkan sebagai tuduhan liar tidak berasas serta berniat jahat.

Muhyiddin, bekas pengerusi PN sebaliknya menegaskan Bersatu akan kekal dalam PN sampai bila-bila di sebalik krisis melanda gabungan itu menyaksikan Azmin dihentikan sebagai timbalan setiausaha agung.

Parti Hamzah kini komponen PN, Bersatu kekal dalam gabungan

N Faisal Ghazali

Ketika debaran mengenai nasib Bersatu dalam PN semakin memuncak malam tadi, mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu berakhir dengan kedudukan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak dibincangkan.

Puluhan wartawan yang menunggu menyaksikan bekas perdana menteri dan bekas Pengerusi PN itu hadir di Ibu Pejabat PAS – yang kini kekal bersikeras dengan Bersatu – bersama beberapa pemimpin kanannya.

Sebaliknya Bersatu kekal di dalam PN yang kini dikuasai PAS.

Pada masa sama, salah satu punca kemarahan PAS kepada Bersatu dapat dirungkai dalam mesyuarat berkenaan. Dua parti baru diterima menjadi komponen BN, termasuk yang diambil alih oleh satu lagi seteru Bersatu – kumpulan Hamzah Zainudin.

Ditemui media selepas mesyuarat berakhir di tengah Kuala Lumpur tengah malam tadi, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kedudukan Bersatu dalam gabungan tersebut tidak dibincangkan.

Sebaliknya, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS itu memberitahu dua parti diterima masuk oleh PN iaitu Parti Cinta Malaysia dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti untuk menjadi parti anggota PN yang baru,” katanya.

Parti Cinta Malaysia merupakan nama asal pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa pemimpin Gerakan yang tidak berpuas hati dengan pemimpin atasan mereka selepas PRU 2008.

PRU ke-12 itu menyaksikan Gerakan dikalahkan di Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat mereka sejak 1969.

Wawasan, Pejuang tak terlibat

Terkini Parti Cinta Malaysia diambil alih oleh kumpulan ahli politik yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan menjenamakannya semula sebagai Parti Wawasan Negara.

Menurut Hamzah, nama parti itu diilhamkan sendiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Pejuang pula ditubuhkan oleh bekas pengasas bersama Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, selepas disingkirkan oleh parti tersebut. Bagaimanapun Pejuang kini tidak lagi dipimpin oleh Mahathir, sebaliknya anak bekas perdana menteri dua kali itu, Mukhriz.

Sebelum ini isu kemasukan parti baru ke dalam PN merupakan antara sebab hubungan PAS dan Bersatu bermasalah. Bersatu bertegas mahu PN menjalin kerjasama pilihan raya dulu dengan parti tersebut dan bukannya menjadi komponen mereka.

PAS pula benar-benar mahukan agar parti terbabit diterima menjadi sebahagian daripada PN.

Untuk rekod mengikut Perlembagaan PN, penyertaan atau penyingkiran sesebuah parti perlukan konsensus semua.

Penyertaan kedua-dua parti itu menjadikan PN kini dianggotai enam komponen. Selain PAS dan Bersatu, anggota sedia ada PN ialah Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Muhyiddin pula ketika temui media sebaik keluar dari mesyuarat tersebut turut memaklumkan kedudukan Bersatu tetap seperti sedia ada.

Malah dia mengulangi penegasan bahawa Bersatu akan tetap bertahan di sebalik tekanan yang dikenakan ke atas mereka.

“Bersatu akan kekal dan abadi sampai bila-bila,” katanya ringkas.

Dia juga mengesahkan kedudukan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan.

Sementara itu pada sidang media sama, Ahmad Samsuri berkata, PN akan membincangkan pengagihan kerusi untuk PRN Johor hari ini melalui jawatankuasa rundingan diketuai ketua pengarah pilihan raya mereka, Muhammad Sanusi Md Nor.

Baca PN lucutkan jawatan Radzi, Azmin

Untuk rekod Sanusi baru saja dilantik menduduki jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, digugurkan pada 17 Jun lalu.

Menurut Ahmad Samsuri, sebuah jawatankuasa diwakili dua pemimpin dari setiap parti komponen akan membincangkan isu pengagihan kerusi.

“PN bersetuju memuktamadkan (agihan) melalui jawatankuasa rundingan kerusi dalam kadar segera.

“Insya-Allah mesyuarat esok akan selesaikan segera,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman menambah, perbincangan itu tidak disertai wakil Pejuang dan Wawasan.

Curi minyak enjin di stesen minyak, dua suspek ditahan

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Kuala Langat: Polis menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes kecurian minyak enjin motosikal di sebuah stesen minyak di Kanchong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang daripada wanita berusia 31 tahun.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan seorang lelaki mengambil tiga botol minyak enjin motosikal bersaiz satu liter dan keluar dari premis tanpa melakukan pembayaran.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai cermin mata hitam, baju lengan pendek dan seluar jean mengambil minyak dari rak jualan.

"Dia kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta curi jenis Perodua Myvi," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mohd Akmalrizal berkata, bertindak atas maklumat polis berjaya menahan dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an di medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Katanya, seorang lagi suspek masih bebas dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan" katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

PRN Johor: Pengundi 21-39 tahun jadi penentu

Pengundi 21-39 tahun kunci PRN Johor, parti perlu tawar dasar nyata, kata penganalisis

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Kelompok pengundi berusia 21 hingga 39 tahun mewakili lebih 1.13 juta daripada 2.72 juta pemilih pada PRN Johor yang menjadikan blok itu antara sasaran penting parti politik, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata berdasarkan angka itu, parti perlu menawarkan dasar benar-benar menyentuh keperluan pengundi kelompok itu yang berada dalam fasa kehidupan menuntut kestabilan ekonomi, pekerjaan, perumahan dan komitmen keluarga.

Menurutnya, walaupun Undi18 penting kerana membawa pengundi baharu ke dalam sistem politik tetapi jumlah pemilih berusia 18 hingga 20 tahun hanya 165,386 orang atau kira-kira 6.1%.

“Jika parti terlalu menumpukan kandungan TikTok, Instagram atau retorik anak muda tanpa menawarkan penyelesaian kepada masalah kehidupan sebenar golongan 21 hingga 39 tahun, mereka berisiko kehilangan kumpulan pengundi terbesar di Johor.

“Isu kos sara hidup, gaji, rumah mampu milik, pekerjaan stabil dan kos membesarkan keluarga lebih dekat dengan kehidupan pengundi berbanding kempen media sosial semata-mata,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Tawfik berkata sentimen Melayu, agama dan identiti kaum masih tidak boleh diketepikan, terutama di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu.

“Politik identiti masih membentuk kesetiaan parti dan tingkah laku mengundi.

“Namun dalam keadaan ekonomi mencabar, sentimen itu sahaja mungkin tidak cukup menjamin kemenangan tanpa tawaran dasar yang menyentuh kehidupan rakyat,” katanya.

Mengikut senarai daftar pemilih akan digunakan pada PRN Johor 11 Julai depan, pengundi berusia 30-39 tahun berjumlah 587,888 pengundi diikuti 544,657 (21-29), 492,922 (40-49), 393,780 (50-59), 308,313 (60-69), 172,402 (70-79), 165,386 (18-20), 50,441 (80-89) dan 12,137 (90 ke atas).

Sementara itu, Ariff Aizudin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata isu kos sara hidup belum tentu menjadi naratif utama kempen, khususnya bagi Barisan Nasional (BN) yang sudah lama mentadbir Johor.

Beliau berkata, jika isu kos sara hidup dimainkan secara agresif, ia boleh membuka ruang kepada serangan balas terhadap rekod pentadbiran sendiri.

Sebaliknya, katanya, naratif kedudukan Melayu-Islam dan gambaran ancaman DAP berkemungkinan terus digunakan sebagai bahan kempen, terutama untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

“Apa yang paling baik adalah memainkan isu kedudukan Melayu-Islam dan menakutkan pengundi dengan naratif seperti ‘hantu DAP’.

“Ia sering digambarkan sebagai ancaman kepada struktur kuasa Melayu-Islam,” katanya.

Arif juga berkata, dalam sistem pilihan raya ‘first-past-the-post’, mana-mana segmen pengundi berpotensi menjadi penentu terutama di kerusi yang menyaksikan persaingan sengit.

Katanya, kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh satu kelompok umur sahaja kerana kelebihan satu undi pun boleh mengubah keputusan.

“Dalam sistem ini, apa jua segmen, tidak kira umur atau demografi lain, berpotensi mencatatkan perubahan pada saat akhir,” katanya.

Penunggang motosikal dilanggar dan penumpangnya yang terbaring ditendang

Sudah dilanggar, ditendang pula

ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR – Seorang penunggang motosikal bukan sahaja dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), malah turut ditendang penumpangnya ketika terbaring di atas jalan dalam kejadian di Kilometer 44.5 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu kini disiasat polis susulan rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu pada pukul 10.34 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV yang berada di lorong kanan tiba-tiba mengubah haluan ke kiri sebelum melanggar motosikal yang dinaiki mangsa.

“Kenderaan itu turut melanggar sebuah lagi kereta dan kemalangan menyebabkan penunggang serta pembonceng motosikal terjatuh.

“Hasil siasatan rakaman video yang tular memaparkan aksi penumpang SUV itu menendang penunggang motosikal yang terbaring,” katanya, malam ini. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Samun barang kemas 6 warga emas, 3 didakwa

Bernama

KOTA BHARU: Tiga penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan samun barang kemas milik enam warga emas sejak hampir dua tahun lepas.

Ridhuan Mohamed, 44, dan Mohd Suhairey Omar, 42, didakwa bersama-sama melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Aazizah Ujud, 77, di depan sebuah rumah di Cabang 3 Syed Kuning, Kadok, Ketereh, di sini pada 3.15 petang, 12 Mei lepas.

Mereka turut berdepan dengan dua pertuduhan sama melibatkan Halimah Senik, 62, dan Siti Meriam Daud, 77, masing-masing di depan rumah di Kampung Che Wal, Kuala Krai pada 2.30 petang, 18 Jun 2025 dan di Kampung Permatang Piah Pak Badol, Bachok pada 1 tengah hari, 8 Jan tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ridhuan dan seorang lagi lelaki, Mohd Khairul Azwan Abdullah, 43, turut didakwa atas tiga pertuduhan rompakan berkumpulan membabitkan barang kemas milik Halimah Yusof, 84, Aminah Yusoff, 73, dan Latifah @ Azizah Yusof, 79.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Bukit Bator Gunong, Bachok pada 5 Feb 2025 dan 13 Jan tahun ini, serta di Kampung Lepan Kandis, Pulai Chondong dekat Machang pada 9 Sept 2024, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nik Habri Muhamad tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, seorang pembuat biskut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melupuskan harta curi, iaitu beberapa biji manik emas milik Aazizah yang diketahui harta curi berkaitan kes samun di sebuah kedai emas di Machang pada 11.30 pagi, 13 Mei 2025.

Majistret Rais Imran Hamid kemudian membenarkan Nik Faizah Nik Musa, 33, diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nadzir Abdullah mencadangkan jaminan RM10,000, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Alini Ahamad Kamil memohon ikat jamin rendah kerana anak guamnya sudah berpisah dengan suami dan menanggung tiga anak berusia tiga hingga lima tahun.

Messi, Mbappe buru sejarah Piala Dunia

AFP

Los Angeles: Lionel Messi hanya memerlukan satu lagi gol untuk muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia apabila juara bertahan, Argentina berdepan Austria dalam aksi Kumpulan J di Dallas, awal pagi nanti.

Bintang berusia 39 tahun yang menyambut hari lahirnya pada Rabu lalu menyamai rekod 16 gol milik legenda Jerman, Miroslav Klose selepas meledak hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi pembukaan.

Kapten Argentina itu dilihat menitiskan air mata selepas menjaringkan gol pertama dan kemudian diketahui bapanya sedang menjalani proses pemulihan akibat masalah kesihatan yang tidak didedahkan.

Walaupun berdepan situasi peribadi yang sukar serta baru pulih daripada kecederaan hamstring, kehadiran Messi terus menjadi sumber inspirasi buat rakan sepasukan.

"Jika ada yang beranggapan pasukan ini lebih baik tanpa Leo, perlawanan ini membuktikan Leo adalah pemain paling penting buat kami," kata pemain tengah, Alexis Mac Allister selepas kemenangan ke atas Algeria.

Argentina mampu mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan Austria dan bakal muncul juara kumpulan sekiranya Jordan gagal mengatasi Algeria dalam satu lagi aksi Kumpulan J.

Sementara itu, penyerang Perancis, Kylian Mbappe bakal membuat penampilan ke-100 bersama negaranya apabila bertemu Iraq di Philadelphia.

"Tiada yang lebih besar daripada angka 100. Ia satu angka bersejarah dan peluang mencapainya di pentas Piala Dunia menjadikan perlawanan ini sangat istimewa buat saya," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu kini berkongsi kedudukan dengan legenda Jerman Barat, Gerd Mueller, dengan 14 gol Piala Dunia selepas menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan I.

Naib juara 2022 itu dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Iraq dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati, meskipun ramalan ribut petir di Philadelphia berpotensi mengganggu perlawanan.

Norway dan penyerang sensasi mereka, Erling Haaland, yang meledak dua gol ketika membelasah Iraq 4-1, turut berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya sekiranya menewaskan Senegal di New Jersey dan Perancis mengatasi Iraq.

Dalam perkembangan lain, pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck, terpaksa melupakan baki saingan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri ketika membantu pasukannya menewaskan Ivory Coast 2-1, Sabtu lalu.
-hmetro

Wawasan, Pejuang diterima masuk PN

Faiz Zainudin dan Fatin Ahmad Darji

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pejuang diterima masuk sebagai parti komponen.

Pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat tergempar majlis tertinggi PN malam tadi, dihadiri pemimpin PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti untuk menjadi parti anggota PN yang baharu,” katanya pada sidang media, seusai mesyuarat di ibu pejabat PAS yang berlangsung selama dua jam.

Parti Cinta Malaysia, yang permohonan untuk menyertai PN diterima malam tadi, dijenamakan semula sebagai Wawasan selepas diambil alih oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin serta penyokong beliau.

Pejuang ditubuhkan oleh bekas pengasas Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, selepas keahlian beliau dan penyokong dipecat Bersatu. Ia kini dipimpin oleh anaknya, Mukhriz.

Dalam pada itu, Samsuri mengumumkan agihan kerusi bagi PRN Johor akan dibincangkan esok, diketuai oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor.

Penggunaan lambang pada PRN kelak juga belum dibincangkan, katanya.

Sanusi menggalas jawatan tersebut selepas Samsuri menghentikan khidmat pemimpin Bersatu, Radzi Jidin, pada 17 Jun lalu, dalam suatu ‘penstrukturan semula’ pentadbiran PN bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Radzi adalah pemangku timbalan presiden Bersatu.

Bersatu masih PN

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu pemberita bahawa mesyuarat malam tadi tidak membincangkan keahlian partinya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di ibu pejabat PAS bagi mesyuarat tergempar MT PN.
Mesyuarat diadakan ketika kerjasama PAS dan Bersatu telah tamat, berlatarkan kemelut antara kedua-dua parti.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat hanya membincangkan keahlian parti baharu yang mahu menyertai PN.

“Tak bincang keahlian Bersatu. Tunggu kenyataan,” katanya ketika ditemui.

Sebelum mesyuarat, Muhyiddin menegaskan Bersatu akan kekal dalam PN ‘sampai bila-bila’.

Selain itu, PAS sebelum ini mengumumkan ia menyokong Wawasan untuk menyertai PN.

Terdahulu, sekumpulan penyokong PAS berhimpun di luar ibu pejabat ketika ketibaan pemimpin-pemimpin parti komponen PN.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden beritahu hadirin memsyuarat pemimpin-pemimpin PN malam ini akan berlangsung secara tenang, memandangkan perbezaan antara mereka hanyalah ‘pendirian politik’.

Samsuri malam tadi berkata mesyuarat berlangsung secara harmoni, dan kedudukan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan.

“Suasana yang sangat harmoni. Perbincangan masing-masing boleh mengutarakan pandangan masing-masing dengan bebas. Tidak ada sekatan. Boleh bersuara dengan apa juga cara sekalipun,” katanya.

PH umum senarai penuh 56 calon bagi PRN Johor

Alyaa Alhadjri

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan senarai 56 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang terdiri daripada penyandang serta muka baru daripada PKR, DAP dan Amanah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, membuat pengumuman tersebut dalam satu majlis di Tangkak, Johor malam tadi.

Satu-satunya penyandang dari PKR, Arthur Chiong, akan mempertahankan kerusi Bukit Batu.

Seramai 19 calon lain yang dinamakan termasuk bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang akan bertanding di Puteri Wangsa, serta bekas Adun Semerah, Khuzzan Abu Bakar yang akan bertanding semula di kerusi yang dimenanginya pada 2018.

PKR turut meletakkan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di kerusi Senggarang.

Senarai penuh 17 calon DAP yang diumumkan malam ini turut menyaksikan gabungan penyandang dan muka baru.

Antara muka baru yang diumumkan termasuk calon Paloh, Dr Ruban Arumugam.

Sebelum ini, parti itu mengumumkan lima calon iaitu peguam Chu Poh Yee (Mengkibol), Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram), Ketua Pemuda DAP Johor, Lee Wern Yiing (Johor Jaya), bekas penyandang Wong Bor Yang (Senai) serta pembantu khas Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Mohamad Shafwan Ani (Bukit Permai).

Sementara itu, berbeza dengan spekulasi sebelum ini, Ketua Amanah Johor Aminolhuda Hassan tidak tersenarai dalam senarai 19 calon parti itu.

Sebaliknya, Naib Ketua Amanah Johor, Zuhan Zain diumumkan sebagai calon PH bagi Mahkota, manakala bekas dun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad bertanding semula di kerusi yang dimenanginya pada 2018.

Ahli Parlimen Pulai dari Amanah, Suhaizan Kaiat akan bertanding di kerusi Larkin, manakala satu-satunya penyandang daripada parti itu, Nazri Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Simpang Jeram.

Amanah turut menampilkan muka baru, antaranya peguam Norhafiz Roslan yang diletakkan di kerusi Machap yang kini disandang Menteri Besar sementara Onn Hafiz Ghazi, serta calon Cina pertama Amanah, Teo Siew Hui di kerusi DUN Permas.

Terengganu: Abang ditahan, disyaki noda adik perempuan sejak enam tahun lalu

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Polis hari ini menahan lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai menodai adik perempuannya sendiri sejak enam tahun lalu.

Penahanan itu susulan laporan dibuat mangsa yang berusia 16 tahun pada 12.51 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam laporannya mangsa mendakwa kali terakhir menjadi mangsa amang seksual fizikal abangnya kira-kira 9 malam Ahad (21 Jun).

Katanya, mangsa juga memaklumkan suspek telah beberapa kali merogolnya sejak mangsa berusia 10 tahun.

"Susulan itu tangkapan ke atas suspek dibuat dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Untuk rekod katanya, sebanyak 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan seksual dibuka sejak 1 Jun lalu.

PH umum Maszlee bertanding di kerusi Puteri Wangsa

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) malam ini mengumumkan barisan calonnya bagi PRN Johor bulan depan, antaranya menampilkan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar dan Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad.

Maszlee akan bertanding di kerusi Puteri Wangsa, manakala Onn dinamakan sebagai calon di Senggarang dan Faezuddin akan bertanding di Kempas.

Barisan calon diumumkan oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Bulan lepas, PH berkata ia akan bertanding 56 kerusi pada PRN Johor, sebagai respons terhadap keputusan Barisan Nasional untuk juga meletakkan calon di setiap kerusi.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, dengan penamaan calon pada 27 Jun. Undian awal akan dijalankan pada 7 Julai.

Mohamed Salah cipta sejarah

Reuters
Mahmoud Trezeguet dari Mesir meraikan gol ketiganya bersama Mohamed Salah dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang New Zealand di BC Place, Vancouver, Kanada. - Foto Reuters.
Mahmoud Trezeguet dari Mesir meraikan gol ketiganya bersama Mohamed Salah dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang New Zealand di BC Place, Vancouver, Kanada. - Foto Reuters.
Vancouver: Mohamed Salah sekali lagi membuktikan statusnya sebagai ikon bola sepak Mesir apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi jaringan ketika membantu negaranya mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan Piala Dunia.

Kejayaan menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G di Vancouver itu turut meletakkan Mesir di tangga teratas kumpulan dengan empat mata daripada dua perlawanan.

Selepas seri 1-1 dengan Belgium dalam aksi pembukaan, skuad kendalian Hossam Hassan bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan bersejarah yang mampu mengubah perjalanan mereka di pentas dunia.

Salah yang kini berusia 34 tahun terus menjadi nadi serangan Mesir meskipun tidak lagi berada di kemuncak prestasinya selepas menamatkan sembilan musim bersama Liverpool.

Jurulatih Mesir sekali lagi meletakkan Salah di posisi lebih tengah di belakang penyerang Omar Marmoush dalam formasi 4-2-3-1 dan percaturan itu membuahkan hasil.

Mesir dikejutkan dengan gol pembukaan New Zealand, namun berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Mostafa Zico pada minit ke-58.

Sembilan minit kemudian, Salah mempamerkan sentuhan kelasnya apabila melakukan gerakan satu dua bersama Zico sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk meletakkan Mesir di depan.

Kapten Mesir itu kemudian menjadi arkitek gol ketiga apabila sepakan penjuru yang diambilnya disudahkan Mahmoud Trezeguet untuk mengesahkan kemenangan.

"Kami boleh mencipta sejarah dan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

"Dalam beberapa tahun akan datang, orang ramai akan mengingati ini sebagai antara pencapaian terbaik kami," kata Salah.

Beliau turut memuji sokongan luar biasa penyokong Mesir yang membanjiri Stadium BC Place dengan warna merah.

"Rasanya seperti kami bermain di Mesir.Semua orang gembira dan teruja. Suasananya sangat hebat," katanya.

Salah menamatkan perlawanan sebagai pemain terbaik dengan lima percubaan ke arah gol selain terus menambah sumbangan kepada tiga penglibatan gol dalam dua perlawanan setakat ini.

Mesir yang sebelum ini gagal melepasi pusingan pertama dalam penampilan Piala Dunia pada 1934, 1990 dan 2018 kini berada di landasan terbaik untuk melakar sejarah baharu apabila bakal bertemu Iran dalam aksi terakhir kumpulan di Seattle.
-hmetro 

Lagi pelajar jatuh bangunan

KOSMO!
Khairudin (dua dari kanan) hadir ke HRPB Ipoh bagi menziarahi pelajar yang dilaporkan terjatuh dari bangunan dalam sebuah sekolah di Ipoh, hari ini.
IPOH – Seorang pelajar lelaki tingkatan satu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari bangunan dalam sebuah sekolah menengah, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya memaklumkan bahawa pelajar itu kini mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Menurut beliau, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.30 petang sebelum bergegas ke Jabatan Kecemasan HRPB.

“Pada pukul 4.30 petang, saya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. Selepas selesai mesyuarat, saya terus ke HRPB untuk mendapatkan maklumat awal berhubung insiden yang berlaku pada tengah hari tadi,” katanya.

Khairudin berkata, beliau yang ditemani Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad turut berkesempatan bertemu ibu bapa pelajar terbabit di hospital.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah diarahkan untuk menyediakan laporan penuh berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Lelaki direman bantu siasatan kes seksual terhadap anak kandung

Nurul Fatihah Sulaini

SETIU: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kesalahan seksual terhadap anak kandungnya di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang.

Katanya, penahanan suspek itu dibuat susulan satu laporan polis oleh anak perempuannya yang berusia 15 tahun pada jam 3.54 petang, 15 Jun lalu.

“Berdasarkan laporan itu, ketika mangsa bersama adik perempuannya berada di rumah, bapa mangsa memanggil mangsa masuk ke dalam bilik tidurnya pada kira-kira jam 12 tengah hari pada 29 Mei lalu.

“Semasa berada di dalam bilik tidur, bapa mangsa melakukan perbuatan seksual kepada mangsa. Bapa mangsa berpesan kepada supaya tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, mangsa mengalami kemurungan dan trauma akibat daripada kejadian itu.

“Bapa mangsa melakukan perbuatan terkutuk ini kepada mangsa sejak mangsa berumur enam tahun lagi.

“Susulan itu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu membuat tangkapan terhadap lelaki itu untuk siasatan lanjut pada 20 Jun,” katanya.

Katanya, permohonan reman pertama di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dipohon di hadapan Majistret Setiu pada 21 Jun.

“Reman dibenarkan selama tujuh hari bermula 21 Junsehingga 27 Jun. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya.

Harga minyak melambung lepas Iran tutup Hormuz semula

Malaysiakini

Harga minyak meningkat pada Isnin selepas penghantaran melalui Selat Hormuz bergerak perlahan sementara rundingan antara pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam mesyuarat pertama mereka di bawah perjanjian damai sementara bermula dengan hambar.

Menurut Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak 54 sen atau 0.67 peratus kepada $81.11 setong pada 0030 GMT, selepas mencecah paras tertinggi $82.30 pada permulaan dagangan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate AS berada pada $78.62 setong, naik $2.02, atau 2.64 peratus menjelang tamat tempoh kontrak lewat pada hari Isnin. Kontrak Ogos yang lebih aktif meningkat $1.43 kepada $77.28 setong. Tiada harga penutup di pasaran AS pada hari Jumaat berikutan cuti umum.

Data perkapalan menunjukkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara semalam selepas Iran mengumumkan bahawa ia sekali lagi menutup laluan perairan berkenaan dengan alasan Israel dan AS melanggar perjanjian damai sementara.

"Jangkaan pasaran bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula ternyata terlalu awal," kata Ketua Penyelidikan Tenaga MST Marquee, Saul Kavonic.

"Iran berkemungkinan akan terus mencari alasan untuk menghalang aliran perkapalan melalui selat itu kerana ia kekal sebagai satu-satunya alat tekanan yang dimiliki mereka menjelang tempoh pertengahan perjanjian, dan mereka tidak mungkin melepaskannya begitu sahaja."

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump mengancam untuk menyambung semula serangan ke atas Iran ketika Naib Presiden JD Vance bertemu dengan pegawai Iran pada Ahad untuk rundingan pertama di bawah perjanjian damai sementara, manakala Tehran menyatakan AS gagal memenuhi komitmennya untuk menghentikan pertempuran di Lubnan.

Serangan Israel di Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang pada hari Sabtu, kata agensi berita rasmi Lubnan NNA, sehari selepas gencatan senjata dengan Hezbollah berkuat kuasa, yang bertujuan untuk menghentikan keganasan yang semakin meningkat selama berbulan-bulan.

Situasi di Lubnan terus menimbulkan ancaman berterusan yang serius kepada kedua-dua gencatan senjata dan pembukaan semula Selat, kata penganalisis pasaran IG Tony Sycamore dalam satu nota.

Namun begitu, harga minyak jatuh lebih 8 peratus minggu lepas disebabkan jangkaan lebih banyak bekalan daripada pelepasan kargo yang terkandas di Teluk serta kemungkinan penarikan balik sekatan AS terhadap minyak Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian AS-Iran.

Lebih 25 juta tong minyak Iran melepasi garisan sekatan maya sejak Isnin, kata ketua Syarikat Minyak Kebangsaan Iran, Hamid Bovard, kepada TV kerajaan pada Ahad.

Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq menawarkan lebih banyak bekalan minyak kepada pelanggan sepanjang minggu lalu.

Iraq merancang untuk memulihkan pengeluaran minyak mentah secara beransur-ansur kepada antara 4.2 juta dan 4.3 juta tong sehari, kata timbalan menteri minyak Iraq untuk urusan huluan dalam satu kenyataan semalam.

Samseng jalanan digempur polis, 7 motosikal disita

HARRITH HISHAM
Antara individu yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi motosikal di Kampung Seri Aman, semalam. FOTO IHSAN PDRM
SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 76 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi motosikal di Jalan Jurutera, Kampung Seri Aman di sini, semalam.Berita Dunia

Operasi bermula kira-kira pukul 5.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan kerjasama Balai Polis Bukit Puchong. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seramai 85 individu dan 53 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan. 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 76 keping saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Selain itu, tujuh motosikal turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius sebarang bentuk aktiviti samseng jalanan dan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengakibatkan kemalangan serta kehilangan nyawa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kedah: Pasangan dicekup berkhalwat dalam tandas surau, baru kenal seminggu

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Remaja perempuan dan pasangannya yang dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam tandas sebuah surau kampung di Kilang Lama. FOTO IHSAN PADK
Remaja perempuan dan pasangannya yang dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam tandas sebuah surau kampung di Kilang Lama. FOTO IHSAN PADK
Kulim: Baru seminggu berkenalan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sudah berani melakukan maksiat sebelum dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya dalam tandas sebuah surau di sebuah kampung di Kilang Lama, di sini, awal pagi tadi.

Remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan berkenalan ketika berkerja di gerai nasi lemak yang sama.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung tangkapan khalwat itu daripada penduduk kampung terbabit pada jam 1.30 pagi tadi.

Menurutnya, ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua mereka dalam keadaan berpakaian tidak lengkap.

"Lelaki berkenaan berusia 18 tahun dan berasal dari Sungai Kob, Karangan dan bekerja berniaga nasi lemak.

"Hasil soal siasat yang dilakukan mendapati, dia dan pasangannya itu baru seminggu berkenalan di tempat kerja yang sama.

"Remaja perempuan itu pula berasal dari Changlun, tinggal bersama ibu saudaranya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anwar Sharifuddin berkata, orang awam yang berniaga di kawasan berhampiran sering ternampak pasangan itu masuk ke surau berkenaan hampir tiga kali sekitar lewat pagi.

Beliau berkata, mereka mengesyaki pasangan terbabit melakukan maksiat dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati pasangan terbabit berada di dalam tandas surau berkenaan berdua-duaan.

"Orang awam kemudian memanggil pengerusi surau berkenaan dan memaklumkan kepada pejabat agama untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau mahram dan disyaki berkhalwat, " katanya.

Anwar Sharifuddin berkata, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

5 lelaki ditahan bantu siasatan kehilangan 2 sepupu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lima lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kehilangan dua sepupu remaja perempuan yang ditemui selamat di Machang selepas dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Machang, Azuhar Md Nor, berkata semua suspek ditahan di Machang petang semalam.

Katanya, semua mereka kini direman selepas polis memperoleh perintah itu di Mahkamah Majistret Machang pagi tadi.

“Dua daripada suspek direman selama lima hari, manakala tiga lagi yang merupakan rakan kepada dua suspek utama direman dua hari.

“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya, menurut Berita Harian.

Terdahulu dilaporkan, dua sepupu terbabit, Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, ditemui di sebuah inap desa di Machang kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka.

Keluarga kedua-dua remaja itu membuat laporan polis secara berasingan pada Jumaat selepas mereka gagal pulang ke rumah selepas keluar ke Kota Bharu.

Mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.