Didenda buat video AI duduk di atas ular gergasi

KOSMO!
SEORANG lelaki membuat video AI memaparkan dia duduk di atas ular gergasi. - Foto Polis Hanoi
HANOI – Seorang lelaki telah didenda kerana menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mencipta sebuah video palsu yang memaparkan dirinya duduk di atas seekor ular sawa gergasi di Vietnam, lapor portal berita VnExpress semalam.

Dalam video itu, dia digambarkan berbuat demikian di Tasik Hoan Kiem, Hanoi satu perbuatan yang menurut pihak berkuasa telah mencemarkan imej mercu tanda bersejarah di kawasan tersebut.

Menurut laporan akhbar Lao Dong, Bahagian Keselamatan Siber dan Pencegahan Jenayah Teknologi Tinggi Jabatan Polis Hanoi mengenal pasti individu tersebut sebagai seorang penduduk berusia 50 tahun dari kawasan kejiranan Thanh Xuan.

Dia didakwa atas kesalahan menyediakan dan menyebarkan maklumat palsu di media sosial selepas memuat naik kandungan tersebut bagi menarik perhatian warga maya di internet.

Video berjudul ‘Inilah keturunan Lac Long Quan’ itu menggunakan teknologi AI untuk menggambarkan lelaki berkenaan duduk di atas seekor ular besar yang berenang di perairan tasik ikonik tersebut.

Jumlah denda yang perlu dibayarnya bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut Radio Voice of Vietnam, semasa disoal siasat oleh pihak berkuasa, lelaki itu mengaku menghasilkan video tersebut menggunakan telefon bimbitnya semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan tanda suka di media sosial.

Selepas pengakuannya, dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama pada masa hadapan.

Berdasarkan peraturan Vietnam, individu yang menyediakan atau menyebarkan maklumat palsu, diputarbelitkan atau bersifat fitnah di media sosial boleh dikenakan denda antara 10 juta dong (RM1,600) hingga 20 juta dong (RM3,000). – AGENSI

Anggota lelaki cabul polis wanita

KOSMO!

SINGAPURA – Dalam keadaan mabuk selepas mengambil minuman beralkohol semasa majlis makan malam dan tarian berkaitan kerja, seorang anggota polis lelaki telah mencabul rakan setugas wanitanya, lapor portal berita Stomp semalam.

Pelaku turut menyerang seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF).

Dia telah mencium wanita itu tanpa persetujuannya dan turut bertanya sama ada mereka sepatutnya melakukan hubungan intim.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang identitinya tidak didedahkan itu kemudian dijatuhi hukuman penjara 11 minggu oleh sebuah mahkamah semalam.

Dia telah mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencabul dan satu pertuduhan menghina kesopanan orang lain.

Satu lagi pertuduhan serangan melibatkan anggota NSF yang ditendangnya pada bahagian kelangkang dan ditampar di dahi telah diambil kira semasa proses menjatuhkan hukuman.

Semalam, Pasukan Polis Singapura memberitahu akhbar The Straits Times bahawa pelaku telah digantung tugas. – AGENSI

Sultan Selangor usul wakil rakyat tinggal di sebelah ladang babi

Malaysiakini 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengusulkan agar wakil rakyat khususnya di Selangor menetap bersebelahan ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Dalam satu kenyataan dari Istana Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda memandang serius keputusan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di kawasan itu sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada tahun 2030.

"Berikutan daripada keputusan ini, Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.

"Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.

"Untuk itu, baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan mereka telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan.

“Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di negeri Selangor.

“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lalu, Bernama melaporkan bahawa kerajaan Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bermula 2029.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, berkata sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjung Sepat terus beroperasi di lokasi masing-masing.

Isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama apabila ladang ternakan babi didakwa sebagai punca pencemaran sungai di Kuala Langat.

Pada Oktober 2022, Bernama melaporkan Exco Selangor, Hee Loy Sian, berkata lapan ladang khinzir dikenal pasti sebagai punca pencemaran air di kawasan pantai Tanjung Sepat.

Unsur rasuah, konflik kepentingan

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin mempersoalkan apakah terdapat unsur rasuah mempengaruhi keputusan kerajaan negeri tersebut.

"Justeru, baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan," menurut kenyataan itu.

Baginda turut bertanya apakah kos projek Bukit Tagar itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa baginda tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.

"Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

"Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain," titah baginda.

Wan Saiful sangsi, minta ROS pantau mesyuarat MT PN

Malaysiakini 

Wan Saiful Wan Jan menyatakan keraguannya sama ada Muhyiddin Yassin dan “penjilat-penjilat” Presiden Bersatu itu akan mematuhi prosedur yang betul dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat daripada Bersatu tahun lalu itu berkata, dia menghantar surat rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya memantau perkembangan isu berkenaan bagi memastikan Bersatu mematuhi proses yang sewajarnya.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada Muhyiddin wajar menghadiri mesyuarat tersebut atau tidak memandangkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN dinyatakan berkuat kuasa mulai 1 Jan lalu.

“Kalau dia sepatutnya tidak hadir tetapi masih hadir, maka akan timbul persoalan – adakah mesyuarat itu sah.

“Mengesahkan peletakan jawatan pengerusi seharusnya menjadi agenda pertama mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.

“Kalau Muhyiddin masih nak hadir (dan) apabila peletakan jawatannya disahkan (dalam mesyuarat itu), sebelum masuk agenda kedua Muhyiddin perlu keluar mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia yang pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PN itu turut membangkitkan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan sekiranya Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi tersebut.

Hal itu kerana, kata Wan Saiful, agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang ialah menentukan pengerusi yang baru mereka.

Pada masa sama Wan Saiful mendakwa kem Muhyiddin kelihatan bersungguh-sungguh mahu bekas perdana menteri itu kekal berkuasa dan dibuktikan dengan beberapa pertemuan yang diatur sejak beberapa hari lalu.

Dia juga membangkitkan kemungkinan Muhyiddin mengubah pendirian mengenai peletakan jawatannya dengan menyatakan bahawa perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

Wan Saiful berkata demikian dipercayai merujuk kepada insiden pada Nov 2023 apabila Muhyiddin memberitahu dia tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti akan datang.

Tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menarik balik keputusan tersebut atas alasan dia mengambil kira permintaan isterinya, Noorainee Abdul Rahman, supaya memegang jawatan presiden sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, dan salah seorang naib presiden parti, Radzi Jidin, juga tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Hal itu kerana, menurut Wan Saiful, dia mendapat tahu yang Radzi juga sudah meletakkan jawatan. Bagaimanapun dakwaan bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu tidak dapat disahkan.

“Yang lebih baik ialah Timbalan Setiausaha Agung PN (Takiyuddin Hassan) mengeluarkan notis memanggil mesyuarat tanpa menjemput Azmin dan Radzi,” katanya.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Dis lalu susulan krisis pentadbiran kerajaan Perlis yang menyaksikan hubungan antara PAS dan Bersatu menjadi semakin tegang.

Kontroversi itu tercetus susulan satu ‘rampasan kuasa’ apabila lapan Adun – lima dari Bersatu dan tiga PAS — menarik sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Shukri Ramli.

Ketegangan tersebut menyebabkan PAS mengancam untuk bergerak secara bersendirian.

Namun, keadaan kembali reda apabila Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai ketua PN, sekali gus membuka laluan kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan gabungan itu.

Pengumuman Muhyiddin itu turut mencetuskan siri peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan Bersatu negeri, termasuk Azmin yang mengepalai Selangor, serta Ahmad Faizal Azumu (Perak).

Bagaimanapun, sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin berhak berada dalam Majlis Tertinggi PN.

AGC tutup kes Zahid: Ada yang 'busuk' di Putrajaya?

Malaysiakini 

Jabatan Peguam Negara (AGC) dituntut menjelaskan mengapa ia memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadap kes pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Gesaan itu dibuat memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid bagi 47 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Antara yang menuntut penjelasan ialah bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya yang mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan AGC itu.

“AGC membuat percubaan yang lemah dan menyedihkan untuk menjelaskan keputusan NFA. Namun, mereka langsung tidak menjelaskan mengapa satu kes yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sequerah sebagai mempunyai kes prima facie kini digugurkan.

“Adakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan timbalan perdana menteri?

"Adakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan sekutu politik penting kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim?

“Keseluruhan perkara ini 'berbau busuk sampai ke langit' (amat ketara). Ada sesuatu yang rotten (tidak kena) di Putrajaya,” kata peguam pengasas NGO Lawyers For Liberty itu melalui hantaran X hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata pengumuman AGC mengenai keputusan NFA terhadap Zahid tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Kenyataan AGC (yang jelas mengumumkan NFA) itu kekurangan kebenaran dan sekadar satu pernyataan umum bahawa ia kini berpuas hati perkara ini tidak wajar diteruskan.

“Dalam keadaan ini, AGC mesti menjelaskan mengapa ia kini berpendapat dapatan prima facie Mahkamah Tinggi terhadap Zahid tidak lagi mempunyai nilai, sedangkan dapatan itu dibuat berdasarkan bukti yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan sendiri di mahkamah.

“Dengan segala hormatnya, kegagalan AGC memberikan penjelasan yang memuaskan berkemungkinan akan terus menghakis keyakinan terhadapnya dan ini sesuatu yang tidak wajar,” katanya yang juga peguam pada satu kenyataan malam tadi.

Prima facie merupakan istilah Latin yang dalam konteks mahkamah bermaksud terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong sesuatu kes.

Pada Januari 2022, Hakim Colin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri dalam kes Yayasan Akalbudi selepas mendapati wujud kes prima facie.

Sequerah juga hakim sama yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah 1MDB pada akhir Disember lalu.

Walaupun pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid, namun mereka memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada April 2023, atas alasan siasatan lanjut diperlukan.

Kemudian, semalam, AGC mengumumkan hasil siasatan lanjut tersebut membawa kepada keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut,” menurut kenyataan AGC.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Rafique Rashid Ali yang juga pemimpin Pejuang (gambar bawah) turut mengemukakan persoalan sama berhubung kaitan antara kedudukan Zahid dan keputusan NFA tersebut.

Dia juga mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibiarkan untuk diputuskan oleh mahkamah.

“Sekarang Peguam Negara kata tiada kes. No Further Action(NFA) selepas 26 bulan. Maknanya tiada kes.

“Semuanya lepas Zahid jadi TPM pada PMX.

“Mengapa tidak bawa ke hadapan hakim yang sama?

"Bukankah lebih elok mahkamah yang tentukan? Rakyat melihat," katanya pada satu kenyataan, semalam.

Konon kutip derma untuk bina masjid, dapat duit beri pada isteri - SPRM

Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Muhaamad Hafis Nawawi; dan Suharmin Yusuf
am@hmetro.com.my

Putrajaya: "Ada yang kononnya kutip derma atau dana awam untuk mendirikan masjid, tetapi wang diperoleh sebaliknya diberikan kepada isteri. Ini amat menyedihkan, " kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, penyelewengan atau salah guna dana awam atas nama sumbangan kebajikan atau derma sesuatu yang amat menyedihkan.

Beliau mengulas pendedahan eksklusif Harian Metro hari ini berhubung sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'popular' berada dalam radar SPRM selepas dikesan mengumpul 'harta haram' hasil kutipan dana jutaan ringgit.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, ketiadaan undang-undang khusus bagi mengawal kutipan dana awam secara dalam talian dikenal pasti sebagai satu kelompangan serius yang membuka ruang kepada penyalahgunaan wang masyarakat melalui media sosial.

Katanya, sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang boleh mengekang aktiviti kutipan dana wang menggunakan konsep 'crowdfunding' yang semakin berleluasa.

"Ini sekarang memang tak ada undang-undang. Masalah ini ialah tentang kutipan wang melalui online payment (pembayaran dalam talian) dan sebagainya.

"Individu tertentu mencipta dan memanggilnya sebagai 'crowdfunding' tetapi setakat ini tiada undang-undang yang boleh mengekang walaupun ia dibuat secara terbuka," katanya dalam temubual ekslusif bersama Harian Metro di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kelmarin.

Azam berkata, media sosial hanya digunakan sebagai platform, namun ketiadaan undang-undang menyebabkan aktiviti kutipan dana awam dilakukan secara bebas.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya menggunakan tiga platform utama, sekali gus memudahkan kutipan dana dilakukan secara meluas dan berulang.

"Orang Malaysia ini kebanyakannya hanya surfing (melayari) tiga platform sahaja, iaitu Instagram, Facebook dan TikTok.

"Sebab itu kutipan dana awam banyak berlaku di situ, bila nampak sahaja terus masuk RM10, RM20.

"Selain media sosial, kutipan dana awam ini juga dibuat melalui WhatsApp. Saya sendiri terima WhatsApp yang menyatakan nama dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, walaupun analisis dilakukan terhadap beberapa organisasi, ketiadaan undang-undang khusus berkaitan crowdfunding terus menjadi kekangan utama.

Berhubung perkara itu, Azam menegaskan isu kutipan dana awam secara dalam talian tidak boleh dipikul oleh satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan pembabitan serta pemantauan bersama agensi berkaitan bagi memastikan wang masyarakat dilindungi daripada disalahgunakan.

"Agensi berkaitan yang sepatutnya melihat perkara ini dan menyelamatkan duit masyarakat, bukan semuanya diletakkan atas bahu saya (SPRM).

"Saya hanya boleh ambil tindakan berdasarkan realiti dan secara (real-time) masa nyata sahaja." katanya.

Menurutnya, sesiapa yang ingin mengutip dana awam perlu mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kementerian atau badan berwajib dan memastikan akaun kutipan adalah sah serta disahkan.

Katanya, hanya selepas mendapat kelulusan daripada pengawal selia, kutipan dana boleh dijalankan dengan sijil rasmi sebagai pengesahan.

Tengkorak manusia jatuh dari siling

Agensi

Bangkok: Pekerja wanita yang melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah rumah kosong di Thailand, baru-baru ini, berdepan pengalaman menakutkan apabila tengkorak manusia jatuh dari siling, lapor VN Express.

Pihak polis berkata, tengkorak itu mungkin milik seorang pekerja migran Kemboja yang hilang dua tahun lalu.

Menurut media sama, penemuan itu berlaku pada 6 Januari lalu di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Daerah Lam Luk Ka, Pathum Thani, Thailand.

Difahamkan, wanita itu sedang membersihkan serpihan dari lubang pada siling tingkat dua apabila tengkorak itu tiba-tiba jatuh.

Selepas pihak berkuasa dimaklumkan, pemeriksaan lebih teliti di ruang siling menemukan rangka lengkap berpakaian bersama pemotong dawai dan kad pengenalan milik seorang pekerja pembinaan Kemboja berusia 29 tahun.

Penyiasat percaya, lelaki itu mungkin terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri wayar elektrik dari kediaman yang sudah ditinggalkan selama beberapa tahun.

Dalam pada itu, penduduk di kawasan itu memberitahu wartawan bahawa kecurian wayar adalah perkara biasa di rumah kosong itu.

Bagaimanapun, penduduk setempat mengimbas kembali bahawa keluarga lelaki yang hilang itu mencari dengan meluas sebelum akhirnya kembali ke Kemboja setelah gagal menemukannya.

Sementara itu, pekerja yang menemukan mayat berkata, rumah itu mengeluarkan bau kuat sejak kerja pengubahsuaian bermula bulan lalu, tetapi bau itu pada mulanya disangkakan adalah bangkai haiwan.

Susulan itu, mayat itu sudah dihantar ke Institut Forensik Pusat Thailand untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti.

Pihak berkuasa berkata, mereka berusaha menghubungi keluarga lelaki itu sementara siasatan diteruskan.
-Hmetro 

Seorang lagi pegawai kanan ATM disiasat SPRM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lagi pegawai kanan Angkatan Tentera (ATM) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkait perolehan dalam pasukan itu.

SPRM ketika ini sudah mula menjalankan siasatan terhadap individu berusia 50-an itu, dan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Selasa lalu, bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.

Seorang daripada isterinya pula direman enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya turut ditahan SPRM.

Ada beberapa lagi individu lain dalam ATM yang mungkin dipanggil membantu siasatan pembabitan mereka dalam perolehan pasukan, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap pegawai kanan lain dalam ATM.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut dan memaklumkan siasatan bertujuan memastikan keadilan ditegakkan.

“Saya minta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

Akmal umum status jawatan dalam parti, kerajaan minggu depan

Malaysiakini 

Selepas dinafikan bakal berundur dari jawatannya, Dr Akmal Saleh terus bermain teka-teki mengenai kedudukannya dalam politik apabila memberi bayangan keputusan muktamad hanya akan dimaklumkan minggu depan.

Ketua Pemuda Umno Malaysia itu berkata, “demi penyatuan agama bangsa kita” dia akan meneruskan suara konvensyen sebelum ini ke Perhimpunan Agung Umno nanti.

Katanya ia adalah suara akar umbi yang disalurkan melalui cawangan dan bahagian parti tersebut.

“Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. Insya-Allah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung Umno (PAU) pula minggu depan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian demi penyatuan agama bangsa kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal yang juga exco Melaka menjelaskan dia tidak takut bersuara “mengenai perkara yang betul.”

Malahan, Akmal memberitahu dia menjadi pemimpin bukanlah kerana memburu jawatan atau gelaran.

“Insya-Allah kedudukan saya di dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan.

“Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Akmal sudah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia dan Adun Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan Umno, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin pemuda sayap parti itu menerusi mesej WhatsApp. Dia ketika itu masih berada di Shanghai, China.

Bagaimanapun Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin, kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa Akmal tidak meletakkan jawatannya seperti yang didakwa.

Sabtu lalu, Akmal yang mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda Umno menggerakkan ahli untuk menyokong gesaannya supaya Umno bergabung dengan PAS di blok pembangkang.

Difahamkan perkara itu turut dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno pada Isnin. Namun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan tersebut, sebaliknya menegaskan parti itu akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga PRU akan datang.

Susulan penolakan Ahmad Zahid kepada gesaan itu, Akmal memuat naik mesej bersifat sindiran mengenai “berundur”. Ia kemudian mengundang cabaran daripada pemimpin PH supaya dia benar-benar meletakkan jawatan.

Tunggang agama seleweng dana awam, 3 NGO berdepan tindakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya tiga NGO akan diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan melakukan penyelewengan kutipan dana awam berjumlah jutaan ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO terbabit.

“Dalam masa terdekat akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).

“Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menghulurkan bantuan diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur.

“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah. Contohnya mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.

“Namun (sifat pemurah) diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini (NGO) termasuk yayasan (disiasat SPRM) didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.

Azam turut mempersoalkan pihak yang seharusnya memantau kegiatan NGO dan yayasan tersebut.

“Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu pantau dan buka mata,” katanya.

Sebelum ini, SPRM pernah mengambil tindakan berkaitan dana derma membabitkan NGO kemanusiaan Syria dan Palestin kerana penyelewengan hampir RM100 juta.

Kes itu membabitkan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan peribadi, pembelian aset mewah, pembelian mata wang digital kripto, atau kegunaan selain objektif asal NGO.

Tindakan membabitkan pengerusi dan pegawai kewangan NGO itu  menerusi pembekuan akaun selain mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Penduduk terkejut langit bertukar merah jambu

KOSMO
Pemandangan langit bertukar warna merah jambu kelmarin. - Alamy
LONDON – Penduduk sebuah daerah di Britain digemparkan dengan pemandangan langit yang bertukar warna menjadi merah jambu, lapor akhbar The Sun UK. 

Kejadian berlaku di Birmingham, West Midlands malam kelmarin. 

Fenomena langit merah jambu itu mencetuskan pelbagai spekulasi dengan sebilangan pengguna media sosial mendakwa ia merupakan pancaran cahaya daripada matahari terbenam. 

Ada antara mereka mendakwa fenomena itu adalah aurora atau ‘Northern Lights’. 

Bagaimanapun, cahaya itu dilaporkan berasal daripada lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang di sebuah stadium bola sepak. 

Kelab Bola Sepak Birmingham City menyatakan bahawa lampu LED tersebut dinyalakan untuk membantu pertumbuhan rumput di sepanjang musim sejuk yang gelap. 

“Cahaya merah jambu itu berasal daripada lampu LED kami yang membantu rumput untuk cepat tumbuh dan ia bukannya aurora,” tulis hantaran itu. – AGENSI

Ada rancangan halang Dr Sam jadi pengerusi PN?

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, menjadi pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin Yassin kembali sebagai kemudi.

Sumber dalaman PN mendakwa, beberapa pemimpin Bersatu tidak selesa dengan idea seorang naib presiden parti menerajui gabungan pembangkang itu. Mereka berhujah bahawa PN sepatutnya dipimpin seorang presiden parti seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sumber ini, yang minta tidak dinamakan, berkata kebimbangan itu mungkin menyaksikan Bersatu mendesak presidennya, Muhyiddin, menuntut semula jawatan tersebut.

Bagi membolehkan perkara itu berlaku, pencalonan Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam mungkin perlu ditolak terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN, dan dibalas dengan satu usul menamakan Muhyiddin sebagai pengerusi, katanya.

“Beberapa pemimpin yang memihak kepada Muhyiddin mungkin membentangkan usul untuk mengeluarkan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dan Naib Presiden, Ronald Kiandee, daripada majlis tertinggi PN,” tambahnya.

Menurut sumber tersebut, ketiadaan Hamzah dan Kiandee boleh mengubah komposisi majlis itu lalu condong kepada Muhyiddin, sekali gus membuka laluan kepada undi majoriti yang menyokong Muhyiddin dilantik semula.

Ditanya sama ada langkah sedemikian boleh mengeruhkan lagi hubungan dengan PAS, sumber itu berkata pemimpin Bersatu yang terlibat ‘sudah tidak peduli lagi’.

PAS dilihat bertegas jawatan pengerusi PN harus dipegang oleh wakilnya susulan keputusan Muhyiddin meletak jawatan.

Peletakan jawatan Muhyiddin menyusuli ketegangan akibat kemelut di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Sumber itu turut membayangkan “setiap langkah yang diambil seolah-olah membawa Bersatu lebih dekat kepada Pakatan Harapan (PH)”.

Berkenaan motif di sebalik kerjasama itu, sumber itu mendakwa PH ‘memerlukan alternatif untuk menggantikan Umno’ dan Muhyiddin pula ‘terdesak untuk menggugurkan kesnya di mahkamah’.

Muhyiddin sedang berhadapan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan menerima hasil daripada aktiviti haram. Perbicaraannya dijadualkan pada Mac.

“Mana tahu, perbincangan antara kedua-dua pihak mungkin sudah pun bermula,” kata sumber itu.

Luculah alasan AGC tutup kes Zahid kata Hanipa Maidin

Malaysiakini 

Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin membidas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil keputusan tindakan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai “tidak masuk akal.”

"Saya mendapati justifikasi AGC itu, paling baik sekalipun, ia mengejutkan dan paling buruk, ia luculah.

"Diharapkan ini bukan satu komedi kesilapan yang bersifat sambil lewa seperti yang mungkin dijangka datang daripada sebuah agensi pendakwaan berprestij di negara ini," katanya pada satu kenyataan semalam.

Bekas ahli parlimen Sepang itu mengingatkan pasukan pendakwaan sebelum ini telah berjaya meyakinkan perbicaraan di mahkamah bahawa satu kes prima facie telah dibuktikan, sekali gus menyebabkan Zahid diarahkan membela diri.

“Prima facie”, istilah Latin yang bermaksud “berdasarkan tanggapan awal”, digunakan dalam mahkamah untuk menunjukkan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti awal yang mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.

Hanipa menegaskan alasan AGC hanya munasabah sekiranya Zahid tidak pernah diarahkan membela diri atas 47 pertuduhan jenayah yang dihadapinya berkaitan dakwaan penyalahgunaan RM27 juta dana Yayasan Akalbudi, sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh presiden Umno itu.

Sebagai tertuduh, kata Hanipa menjadi tanggungjawab Zahid untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap hujah pihak pendakwaan.

“Kenyataan AGC bahawa semakan terhadap bukti menunjukkan ia tidak mencukupi untuk menyokong pendakwaan adalah, dengan segala hormat, tidak masuk akal. Lebih teruk, ada yang berhujah bahawa justifikasi AGC itu berbau busuk setinggi langit.

“Kepada AGC, perlu diingatkan bahawa apabila pihak pendakwaan telah melepasi ambang yang diperlukan di peringkat pendakwaan, isu kekurangan bukti untuk meneruskan pendakwaan, dengan segala hormat, sepatutnya tidak timbul langsung,” katanya.

Beberapa peguam lain turut menyuarakan kebimbangan yang sama, termasuk Timbalan Setiausaha Agung DAP Ramkarpal Singh yang menyifatkan kenyataan AGC itu sebagai kurang tepat.

Pada Khamis (8 Jan), AGC memaklumkan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Zahid terhadap 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi, sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh presiden Umno itu.

Menurut AGC, semakan terhadap keseluruhan bahan dan bukti baru mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.

Pada Selasa, Zahid menegaskan semula bahawa Umno akan kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, yang mendorong Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mencadangkan bahawa “beban perundangan” Zahid telah mempengaruhi keputusan parti itu.

Pada Januari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Colin Lawrence Sequerah mengarahkan Zahid membela diri dalam kes Yayasan Akalbudi selepas mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan.

Walaupun berjaya membuktikan kes terhadap Zahid, pihak pendakwaan bagaimanapun memohon melepaskan tanpa membebaskan daripada pertuduhan (DNAA) pada April 2023, kononnya kerana siasatan lanjut diperlukan.

Tiga bulan selepas DNAA dikeluarkan, Badan Peguam Malaysia memfailkan cabaran undang-undang, menyatakan bahawa ia mencabar keputusan Peguam Negara untuk memohon pelepasan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab statutori badan tersebut untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Pada Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran Badan Peguam untuk meneruskan semakan kehakiman.

Hakim Mahkamah Sivil Amarjeet Singh memutuskan bahawa isu kuasa Peguam Negara untuk memulakan atau menghentikan prosiding jenayah lazimnya bukan perkara yang boleh diputuskan oleh mahkamah.

MN tak jadi, PN bergoncang: Pas alami dilema besar menuju PRU16

Harapandaily

Pas kini berdepan dilema politik yang besar apabila percubaan menghidupkan kembali kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO tidak menjadi kenyataan, sementara masa depan Perikatan Nasional (PN) pula dilihat semakin tidak menentu.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata situasi yang dihadapi Pas ketika ini ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran, merujuk kepada kegagalan usaha MN 2.0 serta krisis dalaman yang melanda PN.

Menurut beliau, secara tradisi Pas merupakan parti yang kuat di kawasan majoriti Melayu, khususnya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kawasan utara seperti Kedah, namun agak sukar menembusi kawasan Pantai Barat dan zon selatan negara.

Bagaimanapun, katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi keuntungan berganda kepada Pas apabila pembentukan PN bersama Bersatu membolehkan parti itu menembusi segmen pengundi yang sebelum ini gagal dicapai.

“Melalui jenama PN dan keyakinan pengundi Melayu terhadap calon Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas muncul sebagai parti tunggal yang memenangi kerusi Parlimen terbanyak dan mempunyai wakil paling ramai di Dewan Rakyat,” katanya.

Namun, Yusri berpendapat menuju PRU16 yang dijangka dalam tempoh dua tahun lagi, masa depan PN berada dalam keadaan tidak stabil susulan krisis dalaman Bersatu termasuk pertembungan dua kem kepimpinan serta ketegangan hubungan dengan Pas, khususnya selepas krisis politik di Perlis.

Beliau berkata, keadaan menjadi semakin rumit apabila wujud ura-ura kebangkitan semula kerjasama MN antara Pas dan UMNO, yang secara tidak langsung memburukkan hubungan Pas dengan Bersatu.

Menamatkan spekulasi

Ketegangan itu akhirnya, kata beliau, membawa kepada perletakan jawatan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin kanan lain daripada Bersatu.

Tambahnya, perkembangan itu turut disusuli pengumuman rasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa UMNO tidak akan menjalin kerjasama dengan Pas, sekali gus menamatkan spekulasi MN 2.0.

Penganalisis politik itu berpendapat, pada peringkat awal perletakan jawatan Muhyiddin dilihat membuka ruang luas untuk Pas mengambil alih kepimpinan PN.

Namun selepas itu, ujarnya, beberapa dilema besar mula timbul, khususnya berkaitan pemilihan figura yang sesuai untuk mempengerusikan gabungan tersebut.

“Secara konvensyen, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat calon paling layak.

“Namun timbul persoalan mengenai tahap kesihatan beliau serta keupayaannya meraih keyakinan awam untuk mengetuai gabungan besar seperti PN,” katanya.

Yusri berkata, antara nama lain yang sering disebut ialah Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, namun cadangan itu turut mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan parti komponen PN dan dalaman Pas sendiri.

Isu yang dibangkitkan termasuk kesesuaian pemimpin yang berada pada hierarki lebih rendah dalam parti untuk mengetuai gabungan besar, selain rekod penglibatan beliau dalam pentadbiran PN yang dianggap kurang menonjol selepas meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN pada Disember 2024.

“Bagi Pas mungkin ok, tapi bagi parti-parti lain mungkin agak janggal apabila presiden mereka terpaksa jadi timbalan kepada pengerusi yang lebih rendah hieraki dalam parti, yang tidak memiliki kuasa eksekutif secukupnya dalam parti sendiri,” kata beliau.

Wujud kelompok

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut menjelaskan bahawa wujud kelompok dalam Pas yang lebih cenderung melihat Presiden atau Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon lebih selari dengan prinsip kepimpinan parti.

“Bahkan ada pandangan menyatakan, sekiranya bukan dua figura ini, lebih baik jawatan Pengerusi PN dikekalkan kepada Bersatu,” katanya.

Beliau menambah, selain dilema politik besar, PN juga berdepan kekangan pentadbiran apabila perletakan jawatan Muhyiddin hanya sah selepas diluluskan Majlis Tertinggi PN, sedangkan Setiausaha Agung yang berperanan memanggil mesyuarat turut telah meletak jawatan.

“Persoalan sama ada mesyuarat dapat diadakan dan sama ada Majlis Tertinggi akan menerima perletakan jawatan tersebut turut menjadi perhatian banyak pihak,” katanya.

Menurut Dr Mohd Yusri, dalam sistem politik Malaysia, PN masih dilihat sebagai ‘kerajaan menunggu’, justeru sebarang perubahan dalam gabungan itu akan memberi kesan langsung kepada landskap politik negara.

“Sebab itu PN khususnya Pas dan Bersatu terus jadi sorotan utama lensa politik negara sehari dua ini,” kata Yusri lagi.

Pengerusi PN: Mesti Hadi, atau paling tidak Tuan Ibrahim - Zuhdi

Malaysiakini 

Ketika teka-teki siapa yang akan dilantik mengetuai PN belum terjawab, seorang tokoh berpengaruh dalam PAS menegaskan bahawa mereka tiada pilihan kecuali dua pimpinan utamanya yang diangkat ke jawatan tersebut.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata parti itu tidak boleh tidak untuk memilih ketetapan itu sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakan resolusi muktamar baru-baru ini.

Katanya, bakal Pengerusi PN yang perlu dicalonkan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri, atau paling tidak timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili PAS adalah satu percanggahan dengan prinsip politik PAS,” tegasnya dalam tulisan di media sosial hari ini.

Dia juga mengingatkan bahawa penanda aras seseorang ketua kerajaan bagi PAS ialah tokoh seperti Alahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

Muktamar PAS yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah pada Sept tahun lalu, katanya, jelasnya merumuskan satu resolusi bahawa PAS perlu memimpin PN.

Bekas setiausaha politik Tuan Ibrahim semasa dia menjadi menteri dulu mendakwa, ramai terlupa bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dan ia seharusnya diteruskan semasa parti itu mengetuai PN serta kerajaan pada suatu hari nanti.

“Ia selari dengan prinsip kepimpinan ulama. Resolusi muktamar bahawa PAS perlu memimpin PN harus dibaca sekali dengan resolusi muktamar berkaitan kepimpinan ulama yang telah dirumuskan sejak awal 1980-an lagi.

“Selepas itu, hampir setiap kali muktamar PAS akan ada penegasan-penegasan untuk memperkasakan kepimpinan ulama.

“Gagasan kepimpinan ulama yang didukung oleh PAS bukan sahaja merupakan satu dasar hukum tentang kepimpinan di dalam fiqh Islami, tetapi juga sudah menjadi prinsip politik yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya.

Golongan tak sabar ke Putrajaya

Sesiapa yang enggan menerima prinsip politik PAS itu, dakwa Mohd Zuhdi, akhirnya akan meninggalkan parti terbabit – sama seperti yang pernah dilakukan oleh kumpulan yang menubuhkan Amanah.

“Secara konvensyen, sesiapa yang menjadi Pengerusi PN, maka beliaulah bakal perdana menteri sekiranya PN menang kelak.

“Jika Pengerusi PN itu daripada PAS, maka Malaysia kelak akan mendapat perdana menteri dari kalangan golongan ulama. Para pendukung PAS yang sudah lama berkecimpung dengan aktivisme PAS, hasrat ini sudah tertanam lama,” jelasnya lagi.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas kemelut pentadbiran kerajaan Perlis yang sempat menyaksikan hubungan PAS dengan Bersatu semakin tegang.

Ia dibayangi kenyataan keras beberapa pemimpin PAS termasuk ketua pemudanya yang menggunakan perkataan “berambus” kepada pihak yang dianggap mengkhianati pentadbiran Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Walaupun Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, ia belum disahkan kerana mengikut perlembagaan parti itu, keputusan tersebut mesti disahkan oleh majlis tertinggi mereka.

Setakat ini MT PN belum bersidang untuk membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin.

Untuk rekod, di sebalik pengunduran itu, Muhyiddin masih kekal sebagai Presiden Bersatu, sekali gus meletakkan dia sebagai salah seorang anggota Majlis Tertinggi PN.

Mohd Zuhdi turut memberitahu pandangannya sempat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah ahli PAS.

“Mereka adalah golongan tergopoh-gapah, yang tidak sabar-sabar menyusuri lorong-lorong kompleks pentadbiran kerajaan di Putrajaya,” ujarnya merujuk kepada reaksi kepada temu bual dengan sebuah media tempatan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, memberikan reaksi berbeza pandangan dengan Mohd Zuhdi dalam hantaran hari ini.

Katanya, usul yang dibentangkan untuk PAS mengetuai PN adalah jelas lagi terang maksudnya, malah tiada keperluan untuk dibaca bersama dengan hal-hal lain.

Malah Nurul Islam turut mendakwa Mohd Zuhdi mengada-adakan sesuatu yang tidak ada.

“Sedangkan kepimpinan PAS pun boleh datang dari apa-apa latar belakang dan tiada prasyarat, takkan Pengerusi PN tiba-tiba ada prasyarat (iaitu) mesti ulama.

“Jangan mengadakan apa yang tiada Dr. Ikutlah keputusan pimpinan, tahan diri daripada mengeluarkan pandangan peribadi,” tulisnya.

Lelaki dipenjara 12 tahun, 9 sebatan kes rogol remaja wanita

Ersie Anjumin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, kerana merogol remaja perempuan berusia 17 tahun yang memberikannya makanan atas dasar simpati.

Tertuduh, Hazmi Abdul Gaffar, 51, yang turut didakwa melakukan serangan seksual menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa, mengaku bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Zaini Fishir.

Bagi pertuduhan pertama, Hazmi dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di tepi jalan berhampiran sebuah bangunan di Jalan Kepayan, kira-kira jam 7 malam, 22 Disember tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan kerana melakukan hubungan seksual menggunakan objek terhadap mangsa sama pada waktu dan lokasi yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak, bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selain dikenakan sembilan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa didekati tertuduh ketika sedang berjalan di jejambat pejalan kaki kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian.

Tertuduh memulakan perbualan dengan mendakwa mangsa mirip anaknya sebelum berkongsi masalah peribadi.

Apabila mangsa cuba beredar, tertuduh memegang tangannya dan meminta nombor telefon serta memaksa mangsa membuat panggilan ke telefon bimbitnya.

Kira-kira jam 7 malam hari sama, tertuduh menghubungi mangsa semula dan mendakwa tidak makan sepanjang hari sebelum meminta remaja itu membawakannya makanan.

Mangsa yang bersimpati kemudian membungkus makanan untuk bertemu tertuduh, namun dia diheret ke kawasan semak di lokasi kejadian.

Walaupun cuba melawan, mangsa gagal melepaskan diri selepas tertuduh mencekik serta menumbuk rusuk kirinya.

Tertuduh turut mengugut untuk membunuh keluarga mangsa sekiranya dia menjerit, menyebabkan remaja itu ketakutan dan berhenti melawan.

Selepas kejadian, tertuduh melepaskan mangsa dengan syarat tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa sambil mengulangi ugutan sama.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert.

“Kalau nak cari bini jangan cari macam Pas”

BORHAN AHMAD

Krisis yang berlaku di Perlis telah memberikan Pas imej buruk sehingga diumpamakan dalam pergaduhan rumah tangga.

Bekas pemimpin AMANAH Perlis, Kapten (B) Mohamad Yahya membuat kesimpulan bahawa jika anda ingin mencari isteri jangan cari macam Pas.

Ini kerana, isteri macam Pas hanya menyayangi kita apabila mempunyai duit sahaja.

“Angpa nak cari bini, jangan cari macam Pas. Dia sayang angpa waktu ada duit jer… Tak dak duit, dia sepak masuk parit…” tulis beliau yang mendapat banyak komen dari para facebooker.

Katanya, pengalaman Bersatu turut dirasai oleh Umno sebelum ini.

“Masa Bersatu ada duit, depa terajang Umno masuk parit. Sekarang Bersatu dah papa kedana, depa terajang Bersatu, pujuk Umno mai balik,” tulis beliau.

Pas Perlis kehilangan kerajaan negeri Perlis selepas Menteri Besar dari Pas meletak jawatan.

Jawatan MB kemudian diambil alih oleh pemimpin Bersatu.

Ekoran pergaduhan itu, para pemimpin dan penyokong Pas memberikan serangan bertalu-talu kepada pemimpin Bersatu sehingga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu meletakkan jawatan.

Sejak itu, para pemimpin Pas menjauhkan diri dari Bersatu.

Ada juga yang mendakwa ramai pemimpin termasuk Adun dan Ahli Parlimennya akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pas khasnya di Terengganu dan Kelantan.

Ekoran tulisan Kaptan Mad itu, ramai yang menyokong beliau.

Antaranya pemimpin akarumbi AMANAH, Sabtu Awab menulis “Ada duit abang sayang. Habis duit abang terajang.”

Namun begitu, Daeng Celak mempunyai pendapat yang berbeza tanpa mengira mana-mana parti politik.

“Semua perempuan dari semua parti sama jer bang, ada duit sayang, takda duit dia bla,” katanya.

Wanita kejar lori terbakar, berjaya selamatkan pemandu

HALISYA ISMA ZULKURNAIN
Tangkap layar suspek mencuri motosikal Yamaha 135LC tular di media sosial.
PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila sebuah lori di hadapannya terbakar di Kampung Chabau, Melaka, semalam.

Menerusi hantaran pengguna TikTok @HasnahYusoff, memaparkan asap tebal dan api marak keluar dari bahagian tayar lori berkenaan dipercayai berlaku secara tiba-tiba.

“Pertama kali mengejar lori, nak beritahu tayar belakang terbakar. Apa pun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kami sempat pintas lori dan suruh lori berhenti. Jangan ingat kami boleh terus pintas lori itu terus, sebab kawasan berbukit dan selekoh. Pemandu sempat selamatkan diri dengan kepala lori,” katanya.

Wanita berkenaan turut membunyikan hon beberapa kali kepada lori tersebut sebelum pemandu lori berhenti untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, rakaman lain turut memaparkan anggota bomba tiba di lokasi kejadian untuk memadam api yang sedang marak dari bahagian bawah lori berkenaan.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai termasuk rata-rata netizen bangga dengan tindakan wanita berani itu.

“Terima kasih awak telah selamatkan nyawa pemandu lori itu,” komen @Nurkahiriah86.

“Syabas kakak. Sesuai dengan lagu, awak berjaya selamatkan seorang pilot (pemandu lori),” komen @UncleAidi.

“Walaupun lagu rancak dan tak sesuai dengan situasi tapi usaha awak patut diberi tepukan,” komen @Nadhere. –KOSMO! ONLINE

Suami isteri maut kemalangan, tercampak dalam gaung

Recqueal Raimi
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli di Jalan Tamparuli – Ranau. – Foto NSTP
TAMPARULI: Pasangan suami isteri maut akibat tercampak ke dalam gaung selepas motosikal ditunggang mereka bertembung pacuan empat roda berhampiran Kampung Kapa di Jalan Tamparuli – Ranau, hari ini.

Kejadian berlaku jam 3.20 petang itu, mangsa lelaki dikenali Mustofa, 44, warga Indonesia yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan dibonceng isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, warga tempatan, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor, seorang lelaki menghala ke arah Kota Kinabalu dari Ranau.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu itu cuba memintas kenderaan di hadapan mereka namun bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri di laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, pasangan suami isteri tercampak ke gaung dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dihubungi.

Menurut Noraidin, motosikal mangsa terseret di bawah pacuan empat roda hingga ke bahu kanan jalan.

Pemandu berkenaan didapati mengalami luka di tangan kanan dan lelaki penumpang pikap itu tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa ke hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuaran bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Warga asing hanya bermodal RM30 dapat mykad

Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
am@hmetro.com.my
Warga asing  miliki kad pengenalan  ‘cap ayam’ bagi elak ditahan pihak berkuasa.
Putrajaya: Dengan harga hanya serendah RM30 ada warga asing yang memiliki MyKad dengan kualiti rendah atau 'cap ayam' kononya bagi mengelak ditahan pihak berkuasa manakala bagi MyKad palsu lebih berkualiti mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.

Mendedahkan modus operandi sindiket, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, sindiket ini tidak bersemuka dengan pembeli MyKad palsu ini sebaliknya tawaran pembelian diadakan di platform media sosial seperti Facebook dan Tiktok, malah ada yang menampalnya di stesen bas.

Menurutnya, mereka yang terdesak mendapatkan MyKad palsu membelinya daripada sindiket.

"Sebahagian besar daripada mereka menggunakan MyKad/ identiti palsu ini bagi mendapatkan pekerjaan seperti pengawal keselamatan atau dalam industri perkilangan. Segala urusan dijalankan secara dalam talian dan telefon bimbit tanpa perlu bersemuka dan penghantaran MyKad palsu itu dijalankan secara kurier.

"Selepas selesai urusan nombor telefon itu akan ditamatkan dan sukar untuk mengesan sindiket ini kerana mereka menggunakan nombor pakai buang," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro di pejabatnya di sini.

Badrul Hisham berkata, berdasarkan kes yang dilaporkan, ditangkap serta didakwa, pendatang asing tanpa izin (PATI) memang membeli dan menggunakan MyKad palsu dan sanggup bayar hingga puluhan ribu ringgit untuk bekerja dan tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

"Terdapat beberapa modus operandi pemalsuan MyKad yang pernah ditumpaskan oleh JPN seperti Kad Tiruan Berkualiti Tinggi (High-Grade Forgery) di mana MyKad terbabit hampir menyerupai MyKad tulen dari segi fizikal seperti warna, saiz, dan reka bentuk.

"Mereka menggunakan bahan seperti PVC berkualiti tinggi dan cetak imbasan laser (laser engraving) untuk meniru ciri keselamatan.

"Namun, cip tidak berfungsi kerana tidak mengandungi data biometrik yang sah. Kad palsu sebegini dapat dikesan melalui pemeriksaan menggunakan peralatan JPN," katanya.

Beliau berkata, satu lagi adalah kad plastik biasa yang dilaminasi merujuk kepada MyKad palsu hanya dengan cetakan warna pada kertas atau plastik biasa yang kemudiannya dilaminasi. Ini yang dijual murah sekitar RM30.

"Biasanya digunakan oleh PATI untuk kegunaan harian kerana mereka merasakan dapat melepasi sebarang pemeriksaan dokumen pengenalan diri termasuk sekatan jalan raya, dan pemeriksaan tanpa peralatan khusus. MyKad palsu sebegini sangat mudah kenal pasti kerana tidak mempunyai ciri keselamatan dan kualiti cetakan yang rendah.

"Ada juga yang menggunakan MyKad tulen yang telah hilang atau dicuri dan kemudian diubah suai. Maklumat pada kad (seperti nama, gambar, atau nombor MyKad) diubah suai menggunakan teknik pemadaman laser atau penampalan.

"Cip mengandungi maklumat tulen, tetapi data tidak sepadan dengan maklumat pemilik 'palsu'. MyKad sebegini akan dapat dikesan melalui semakan sistem biometrik JPN (cap jari, wajah)," katanya.

Katanya, dalam tempoh lima tahun daripada 2021 sehingga 2025, sebanyak 350 kes dikesan membabitkan 242 penggunaan kad pengenalan palsu dan 108 kad pengenalan milik orang lain.

"JPN dengan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sentiasa berusaha untuk membanteras isu pemalsuan MyKad melalui pelbagai mekanisme pengesanan dan langkah pencegahan.

"MyKad telah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan fizikal dan digital yang sukar untuk dipalsukan. Secara umumnya, tiga kaedah pengesanan pemalsuan MyKad sama ada semakan pada fizikal kad, semakan menggunakan peralatan khas dan semakan maklumat cip dalam sistem JPN," katanya.

Menurutnya lagi, MyKad terdiri daripada pelbagai lapisan bahan polikarbonat yang dibina menggunakan piawaian antarabangsa tertentu.

"Selain daripada itu, MyKad juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan sangat sukar untuk mana-mana pihak yang cuba memalsukannya. Setiap ciri keselamatan terdapat di pelbagai lapisan kad yang sukar ditiru dan hanya JPN dapat mengesahkan ketulenan ciri-ciri keselamatan terbabit.

"MyKad mempunyai cip elektronik yang menyimpan data peribadi pemilik termasuk data cap jari dan foto pemilik kad. Data dalam cip ini disulitkan (encrypted) dan memerlukan kekunci khas bagi tujuan verifikasi dan nyahsulit (decrypt) sebelum data dalam cip boleh diakses. Ciri keselamatan ini menjadikannya sukar dipalsukan atau diubah. Butiran cip digunakan juga boleh disahkan menerusi semakan sistem di JPN.

"Selain daripada ciri-ciri pada fizikal kad, pengesanan kad palsu juga boleh dibuat menerusi semakan data pemilik kad di dalam sistem di JPN termasuk pengecaman wajah dan semakan cap jari. Ini dapat membantu mengesan cubaan pemalsuan identiti," katanya.

Tetak tiga lelaki di depan restoran, 6 termasuk tiga beradik didakwa

Sinar Harian

Kesemua tertuduh dibawa polis ke Mahkamah Seremban untuk pertuduhan. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Enam lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki di hadapan sebuah restoran di Lukut, Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh, K A Yogentheran, 31, (pekebun); K A Kugentheran, 26, (bekerja buruh); K A Sinielkumar, 24, (kelindan lori); S Sathia Moorthy, 29, (kerja sambilan); K Muniswaran, 21, (kelindan lori) dan A Shelan, 27, (juruteknik) bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki berusia 36, 31 dan 43 tahun dengan menetaknya menggunakan senjata parang yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 27 Disember 2025 jam lebih kurang jam 8.05 malam di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Lukut, Taman Aman, Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam, Paul Krishnaraja dan S Kartikeyan memohon jaminan minimum bagi kesemua tertuduh kerana mereka dari keluarga miskin.

Beliau mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh untuk semua pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 11 Mac depan. -Sinar Harian

Lelaki Nigeria campak cucu tiri dihukum gantung sampai mati

NUZULSHAM SHAMSUDDIN
Tempat kejadian yang dilaporkan media pada November 2020 lalu.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria yang bertindak mencampak cucu tiri lelakinya dari tingkat tiga di sebuah pangsapuri di Setapak enam tahun lalu sehingga meninggal dunia, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim K.Muniandy menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh Ibekwe Emeka Augustine,48, bersalah atas pertuduhan membunuh kanak-kanak itu selain pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkui keraguan munasabah.

“Mereka (mangsa) semua trauma dengan keseluruhan kejadian dan terpaksa melarikan diri dari rumah sebelum apa-apa yang lebih mengerikan menimpa mereka.

“Kemudian mereka mendapati cucu (si mati) itu mati di atas tanah ketika mangsa dicampak tanpa belas kasihan oleh tertuduh yang kemudiannya cuba membunuh diri,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Ibekwe didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian cucu tirinya yang berusia empat tahun (ketika kejadian) sebuah unit pangsapuri di Setapak di sini antara pukul 7.45 pagi hingga 8.15 pagi pada 29 November 2020.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam prosiding sama selain pertuduhan membunuh, Ibekwe turut dihukum penjara selama 14 tahun secara serentak selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan iaitu cuba membunuh anak lelaki kandungnya, menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, cubaan bunuh diri dan melakukan serangan seksual dengan anak tiri perempuan pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Untuk rekod, bagi pertuduhan cuba membunuh anak lelaki kandungnya berusia tujuh tahun (ketika kejadian) tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Pertuduhan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya yang berusia 48 tahun (ketika kejadian) pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Dalam pada itu, untuk pertuduhan cubaan bunuh diri, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan melakukan serangan seksual dengan anak tiri perempuannya yang berusia 25 tahun (ketika kejadian) tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir dalam hujahan pemberatannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum mengambil kira faktor kesemua kesalahan yang dilakukan tertuduh berpunca daripada ‘self induced’ iaitu pengambilan dadah yang berpanjangan sebelum ini.- KOSMO! ONLINE

Haji Hadi: Pas tegas tolak pelawaan Bersatu, sifatkan satu pengkhianatan

Seth Akmal

KUALA LUMPUR: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya menolak sebarang jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan (exco) Negeri Perlis yang baru ditubuhkan pada 28 Dis lalu walaupun telah dipelawa.

Tambahnya, keputusan tersebut dibuat kerana tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli selaku Menteri Besar dari Pas pada bulan lalu.

“Kita telah buat keputusan tak akan terima jawatan (exco)… kerana kita anggap ia satu pengkhianatan menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mempelawa ADUN Pas untuk menyertai barisan exco Perlis.

Abu Bakar turut mengesahkan surat pelawaan berkenaan turut dihantar kepada Abdul Hadi selaras hubungan baik yang dikekalkan dalam kerajaan Perikatan Nasional

Pada 25 Dis, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan dirinya yang tidak mengizinkan.

Susulan senario tersebut, pada 30 Dis Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras mandat Pilihan Raya Utama (PRU) ke-15.

Namun dalam kenyataan yang sama menegaskan tidak akan menganggotai barisan Exco kerajaan negeri dan semua anggota Exco sedia ada telah melepas jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan oleh Mohd Shukri.

Pahang: Kanak-kanak 10 tahun nyaris maut dibelit ular sawa batik

Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di kaki selepas digigit ular sawa batik di perkarangan rumah bapa saudaranya di Kampung Temai Hulu, di sini, semalam.

Kejadian berlaku apabila mangsa, Abdul Rafka Azka Abdullah, 10, tersepak reptilia sepanjang kira-kira enam meter dan seberat hampir 50 kilogram itu, ketika berlari menuju ke rumah bapa saudaranya kira-kira jam 6.30 petang.

Abangnya, Muhammad Nukman Muhammad Nizam, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan rumahnya kira-kira 20 meter dari lokasi adiknya dibelit ular berkenaan, sebelum terdengar jeritan meminta tolong.

“Ketika itu, ular tersebut sudah membelit dari kaki hingga ke badan dan saya nampak mulut haiwan itu melekat di kaki kanannya sehingga menyebabkan pendarahan.

“Saya cuba membuka belitan itu tetapi gagal, sebaliknya ular menyebabkan kami berdua terjatuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Nukman berkata, sebaik terjatuh dan hampir dibelit ular itu, dia menjerit memanggil bapa saudaranya yang ketika itu berada di dalam rumah.

Menurutnya, sebaik bapa saudaranya, Ramzi Mohamad Amin, 57, datang membantu, dia cuba membuka belitan ular itu dan mencari bahagian kepalanya.

Katanya, pada peringkat awal, Ramzi menggunakan tangan untuk membuka mulut ular tersebut bagi melepaskan gigitan di kaki adiknya, namun gagal.

“Ketika cuba membuka mulut ular itu, jari dan tangan bapa saudara saya turut cedera terkena gigi reptilia berkenaan sebelum dia bergegas mencari senjata tajam.

“Bapa saudara saya kemudian mengambil senjata tajam dan mencungkil bahagian mulut ular berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kaki adik saya serta melepaskannya daripada belitan ular itu.

“Sukar untuk melepaskan belitan ular itu kerana terlalu kuat dan mengambil masa kira-kira 30 minit,” tambahnya.

Menurut Muhammad Nukman, susulan kejadian itu adiknya yang cedera di kaki dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ramzi berkata, ular sawa itu dipercayai datang dari kawasan semak dan kebun getah berhampiran rumahnya.

Menurutnya, dia pernah menemui ular sawa di reban ayam berhampiran rumahnya beberapa tahun lalu, namun saiznya lebih kecil.

“Ular sawa kali ini jauh lebih besar dan panjang, namun berkemungkinan haiwan yang sama,” katanya.

Ular berkenaan kini telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang ke lokasi kejadian selepas menerima laporan hari ini.

‘PAS suka kahwin cerai’, Puad bantah jika Umno bincang penyatuan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Puad Zarkashi menegaskan akan menjadi individu pertama membantah jika cadangan penyatuan politik antara Umno dan PAS dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan datang.

Ahli MKT itu berkata, penyatuan politik atas nama kuasa antara kedua-dua parti terbabit bukan idea baik, malah berpotensi mencetuskan lebih banyak masalah dalam jangka panjang.

“Kalau ada perbincangan penyatuan Umno-PAS dalam mesyuarat MKT akan datang saya menjadi ahli MKT pertama akan bercakap membantah cadangan tersebut.

“Saya percaya penyatuan politik Umno-PAS tidak akan berjaya. Ia bersifat sementara dan akhirnya akan berakhir dengan sakit hati,” katanya di Facebook.

Adun Rengit itu mendakwa, PAS mempunyai rekod memanipulasi sentimen agama demi kepentingan politik, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan parti tersebut dalam sebarang bentuk penyatuan.

“Kalau PAS boleh salah guna agama, apatah lagi Umno. PAS akan gunakan Umno semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, walaupun penyatuan itu kelihatan menarik di atas kertas, realiti politik PAS menunjukkan ia mempunyai masalah dalaman yang sukar diubah.

“PAS ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Mereka suka ‘berkahwin dan bercerai’ dalam politik, cepat berkahwin, tetapi cepat juga bercerai,” katanya.

Puad mengingatkan sejarah kerjasama politik PAS menunjukkan hampir semua gabungan yang disertainya berakhir dengan kegagalan, termasuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Perikatan Nasional (PN).

“Semua gabungan itu sudah berkubur. PN pula hanya menunggu masa,” katanya, sambil menambah setiap kali perpisahan berlaku, gabungan politik terbabit biasanya ‘tutup kedai’ untuk selama-lamanya.

Sehubungan itu, Puad berpandangan kerjasama longgar lebih realistik berbanding penyatuan penuh antara Umno dan PAS.

“Lebih baik tubuh kerjasama longgar. Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk PRU. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya,” katanya.

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh dalam konvensyen khas Sabtu lalu menggesa Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang atas dakwaan berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R – kaum, agama dan raja.

Presiden Zahid Hamidi kemudian dilaporkan berkata, Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Nyawa anak melayang ketika ritual halau hantu

KOSMO

BEIJING – Seorang wanita di Shenzhen, wilayah Guangdong dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana membunuh anaknya secara tidak sengaja ketika melakukan upacara menghalau hantu, lapor portal berita South China Morning Post.

Tertuduh yang dikenali sebagai Li menerima hukuman tersebut bersama seorang lagi anaknya.

Menurut perbicaraan mahkamah, ketiga-tiga beranak itu obses dengan amalan tahyul yang melibatkan telepati dan perubatan tradisional.

Mereka sentiasa beranggapan bahawa mereka diserang dan dirasuk hantu.

Pada Disember tahun lepas, anak perempuan bongsu tertuduh mendakwa bahawa dia dirasuk hantu dan meminta ibu serta kakaknya melakukan ritual pengusiran syaitan ke atasnya.

Ritual itu termasuk tindakan seperti menekan dada dengan kuat dan menuang air ke dalam tekak untuk dimuntahkan.

Tertuduh dan anaknya melakukan ritual itu tanpa teragak-agak sebelum mangsa mendakwa bahawa upacara tersebut berkesan.

Namun, keesokan paginya, ahli keluarga yang lain mendapati mulut mangsa mengeluarkan darah sebelum mereka menghubungi pasukan kecemasan.

Sejurus petugas perubatan tiba, mangsa disahkan meninggal dunia.

Mahkamah membuat penghakiman berdasarkan tuduhan jenayah pembunuhan akibat kecuaian, dengan mengambil kira bahawa Li dan anak perempuannya berhasrat untuk membantu mangsa. – AGENSI 

Lori ‘parcel’ disamun mangsa tanah runtuh

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan keadaan sebuah lori yang kosong selepas ‘disamun’ oleh penduduk tempatan. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara memaparkan sebuah lori membawa muatan bungkusan pelanggan ‘disamun’ oleh penduduk selepas kawasan itu dilanda tanah runtuh, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Batu Lubang, Sibolga, baru-baru ini. 

Lori itu terpaksa berhenti di tepi jalan selepas laluannya terhalang akibat tanah runtuh, menyebabkan kesemua bungkusan milik pelanggan dicuri oleh warga setempat. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @duniapunyacerita_ menunjukkan pintu belakang lori yang terbuka luas dengan timbunan plastik bertaburan di atas tanah. 

Lebih mengejutkan, tempat duduk serta beberapa elemen lain turut diambil. 


Rakaman itu mencatatkan lebih 19 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Kenapa perlu menyamun?” kata seorang netizen. 

“Pemerintah dengan rakyat sama sahaja,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Ular ‘makan’ tuan, padah bela viper hidung panjang

KOSMO
Keputusan Huang untuk memberi makan kepada ular peliharaannya membawa padah. - CCTV
BEIJING – Seorang lelaki di Beijing kehilangan ibu jari tangannya akibat dipatuk ular peliharaannya sendiri ketika cuba memberi makan kepada reptilia tersebut menggunakan tangan kosong, lapor portal berita South China Morning Post.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Huang itu memelihara ular viper hidung panjang sebagai haiwan peliharaan kerana dia berminat dengan reptilia itu sejak kecil.

Ular peliharaan lelaki tersebut ketika itu dikatakan sakit, menyebabkan haiwan itu tidak dapat makan sendiri.

Ia menyebabkan Huang memberi makan kepadanya menggunakan tangan kosong sebelum dia serta-merta dipatuk.

“Bisa ular itu menjejaskan fungsi pembekuan darah saya dengan teruk. Ibu jari saya mengalami nekrosis dan doktor memutuskan untuk memotongnya,” kata Huang.

Tidak dijelaskan apa yang berlaku kepada ular itu selepas kejadian tersebut.

Ular viper hidung panjang atau viper bertanduk merupakan salah satu spesies ular berbisa yang paling berbahaya di Eropah. – AGENSI 

Merusuh gara-gara lagu karaoke, 6 ditahan

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Enam ditahan merusuh gara-gara lagu karaoke
MELAKA – Enam PASUKAN forensik melakukan siasatan di lokasi rusuhan di Melaka Raya, Melaka ditahan bagi membantu siasatan kejadian rusuhan yang disyaki berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya awal pagi tadi.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan bantuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 pagi apabila kesemua suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan berlaku provokasi serta salah faham melibatkan empat individu.

“Kekecohan itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga berlaku rusuhan kecil.

“Tangkapan yang dibuat turut membawa kepada rampasan sepucuk pistol disyaki tiruan daripada salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, seramai 12 saksi telah diambil keterangan dan mengesahkan tiada sebarang bunyi letupan senjata api didengari semasa kejadian seperti yang tular di media sosial.

“Di sini pihak IPD Melaka Tengah menyangkal dakwaan berlakunya tembakan dan penemuan dua kelongsong peluru seperti yang tular di media sosial.

“Kes masih di peringkat siasatan dan menegaskan agar orang awam tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat tidak sah,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.-KOSMO! ONLINE

Dua remaja bawah umur hilang dari rumah

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Shaswin dan Jeshita
SHAH ALAM – Dua remaja bawah umur dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman masing-masing di Seksyen 33 di sini, sejak Isnin lalu.

Mereka dikenalpasti sebagai P. Shaswin, 17, yang merupakan pekerja logistik dan Arul Jesitha, 14, yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati dua remaja itu keluar dari rumah kira-kira pukul 10.30 pagi dengan dilihat kali terakhir menaiki
menaiki motosikal di Taman Alam Megah selain turut membawa beg galas.

“Remaja perempuan itu tidak membawa telefon bimbit manakala kenalan lelaki itu ada memiliki namun gagal dihubungi. Mereka sehingga kini belum pulang ke rumah,” katanya hari ini.

Tambah Ramsay, keluarga kedua-dua remaja tersebut memberitahu tiada berlaku sebarang perselisihan faham dan mereka disyaki keluar bersama.- KOSMO! ONLINE

‘parti yeye’: ‘Adakah pejuang Melayu, Islam takut kepada bank undi pos tentera?’

Malaysiakini 

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi, menyuarakan kritikan keras terhadap Umno, mempersoalkan sikap membisu parti itu berhubung ‘parti yeye’.

Dalam kenyataan hari ini, ahli akademik itu mempersoalkan mengapa pihak yang menggelarkan diri sebagai “pejuang moral dan maruah” tidak bersuara menentang apa yang disifatkannya sebagai budaya hedonistik dalam angkatan tentera, walaupun ia hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam.

Dia turut menyasarkan kritikannya terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dengan menyifatkan sikap membisu Akmal begitu ketara berhubung isu tersebut.

“Di manakah pejuang moral dan maruah Melayu dan Islam daripada Umno dalam isu ‘parti yeye’ yang melanda angkatan tentera kita?

“Angkatan tentera kita hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam, maka mereka memerlukan panduan moral yang betul daripada tokoh seperti Akmal,” katanya secara sinis dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Tajuddin membandingkan reaksi hambar terhadap perkara itu dengan bantahan hebat berhubung kesilapan Jalur Gemilang sebelum ini.

“Mengapa kesilapan bendera yang kecil oleh (segelintir orang) Cina mencetuskan kemarahan besar, namun rasuah dan perlakuan tidak bermoral dalam angkatan tentera disambut dengan kesunyian yang memekakkan telinga?” soalnya.

Tajuddin membayangkan pertimbangan politik mungkin menjadi punca kepada perbezaan reaksi tersebut.

“Adakah pejuang Melayu dan Islam takut kepada bank undi pos tentera?

“Atau adakah moral dan maruah Islam serta Melayu bersifat bermusim, muncul hanya menjelang tahun pilihan raya?” soalnya.

Susulan penularan satu video di media sosial, angkatan tentera menerima kecaman selepas didakwa menganjurkan parti melibatkan minuman beralkohol dan peneman wanita di dalam kem tentera, yang digelar sebagai “parti yeye”.

Antara video yang tular didakwa dirakam di dewan mes pegawai dalam pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di Selangor.

Ada yang turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman beralkohol serta wanita dari luar untuk pegawai atasan mereka.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dijalankan.

Kepimpinan tertinggi TUDM turut mengeluarkan amaran keras kepada para pegawainya.

Panglima Tentera Udara, Jen Muhamad Norazlan Aris, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab, termasuk pemberhentian daripada perkhidmatan sekiranya bersalah.

2 maut, beberapa cedera insiden tembakan di majlis pengebumian

Buletin TV3 

AMERIKA SYARIKAT: Dua orang maut manakala beberapa lagi cedera dalam satu insiden tembakan di kawasan parkir sebuah gereja Mormon di Salt Lake City, Utah.

Kejadian berlaku ketika puluhan orang menghadiri upacara pengebumian. Tiga daripada enam mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal.

Polis mengesahkan tiada suspek ditahan setakat ini dan sedang mengadakan pemburuan besar-besaran, dengan FBI menawarkan bantuan. Walaupun polis tidak percaya tembakan itu bersifat rawak, Ketua Polis Salt Lake City, Brian Redd, berkata ia tidak nampak sebagai serangan bersasar terhadap agama.

Jurucakap gereja, Glen Mills, berkata pertengkaran berlaku di kawasan parkir sebelum tembakan dilepaskan. “Di luar parkir, terdapat satu pertelingkahan dan ketika itulah tembakan berlaku,” katanya.

Lebih 100 kenderaan penguatkuasa berada di lokasi selepas kejadian, dengan helikopter memantau kawasan. Datuk Bandar Salt Lake City, Erin Mendenhall, mengutuk kejadian itu: “Ini tidak sepatutnya berlaku di luar rumah ibadat. Ini tidak sepatutnya berlaku ketika upacara penghormatan.”