Mayat hidup kembali gara-gara ambulans langgar lubang

KOSMO
Vineeta dibenarkan keluar dari hospital. - NDTV
NEW DELHI – Seorang wanita di Uttar Pradesh, India kembali hidup selepas disahkan mati ketika ambulans yang membawa ‘mayatnya’ terlanggar lubang jalan, lapor laman berita Must Share News.

Vineeta Shukla pengsan di rumahnya pada 22 Februari lalu sebelum dia dibawa ke kemudahan perubatan.

Menurut keluarganya, doktor mengesahkan bahawa keadaan Vineeta adalah kritikal dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda pergerakan.

Keluarganya diberitahu bahawa wanita itu sudah tiada harapan untuk terus hidup.

Ia membuatkan ahli keluarga Vineeta membawanya pulang pada 24 Februari untuk membuat persediaan bagi upacara pengebumiannya.

Bagaimanapun, semasa ambulans sedang bergerak di sepanjang lebuh raya Bareilly–Haridwar, kenderaan itu tiba-tiba melanggar lubang jalan.

Suami Vineeta, Kuldeep Kumar Shukla berkata, ia membuatkan ambulans bergoyang dengan kuat sebelum isterinya tiba-tiba kembali bernafas.

Wanita itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, manakala upacara pengebumiannya dibatalkan.

Menurut laporan saluran berita NDTV, Vineeta telah pulih dan dibenarkan keluar selepas hampir dua minggu berada di hospital. – AGENSI

Polis buru lelaki disyaki belasah isteri hamil

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai membelasah isterinya yang sedang hamil dalam kejadian di sebuah pusat karaoke di Melaka pada Ahad lepas.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 1.17 pagi semalam.

Pengadu membuat laporan setelah mendapati pintu belakang rumahnya dibuka secara paksa dan anaknya berusia 20 tahun tiada di rumah serta gagal dihubungi.

“Ibu mangsa kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa diperlakukan secara kasar oleh suspek yang juga suaminya berusia 22 tahun di pusat karaoke berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Menurut Dzulkhairi, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans pada 4.41 pagi selepas cedera dalam kejadian di pusat karaoke tersebut, dan seterusnya menerima rawatan di zon merah.

“Mangsa didapat mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan akibat dipukul,” katanya.

Berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian terletak di Kota Shahbandar, suspek dipercayai memukul, melempang, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring menggunakan motosikal.

Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya, namun mangsa dipercayai telah keluar bersama anak lelakinya berusia dua tahun mengikut suspek.

“Pengadu gagal menghubungi mangsa sehingga kini dan bimbang terhadap keselamatan mangsa serta anaknya itu,” kata Dzulkhairi.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Sebelum ini, rakaman CCTV dipercayai berkaitan kejadian tersebut tular di media sosial.

Polis tahan tiga warga asing hasil video lucah di Bali

AFP

Jakarta: Polis Indonesia menahan dua warga Perancis dan seorang warga Itali atas tuduhan menghasilkan serta mengedarkan bahan lucah di negara yang melarang keras kandungan sedemikian, menurut polis di pulau peranginan Bali, semalam.

Ketua Polis Daerah Badung, Joseph Edward Purba berkata, dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan selepas disyaki cuba meraih keuntungan daripada video dan kandungan.

Warga asing itu berdepan hukuman sehingga 10 tahun penjara atas kesalahan menghasilkan bahan lucah dan tambahan enam tahun lagi bagi kesalahan pengedaran dalam talian.

Bali yang majoritinya beragama Hindu menjadi tumpuan jutaan pelancong asing, namun Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam melarang keras penghasilan bahan pornografi.

Pada tahun lalu, bintang filem dewasa Britain, Bonnie Blue dihantar pulang dari Bali selepas dikenakan denda atas kesalahan trafik yang menjadi satu-satunya pertuduhan dikenakan dalam siasatan berkaitan penghasilan bahan lucah.

Pegawai di Bali sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap tingkah laku tidak terkawal pelancong asing, susulan beberapa kes pengusiran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk beberapa pempengaruh Rusia yang dihalau kerana bergambar bogel di lokasi suci.

Joseph berkata, siasatan terbaharu itu bermula susulan video tular mengandungi kandungan lucah yang tersebar di media sosial.

Jumaat lalu, pegawai imigresen menahan wanita warga Perancis yang digambarkan sebagai pencipta kandungan bersama lelaki warga Itali ketika mereka cuba meninggalkan Bali menuju ke Thailand.

Seorang lagi lelaki warga Perancis yang didakwa sebagai pengurus wanita berkenaan, ditahan beberapa hari kemudian di Badung.
-Hmetro 

Ibu 3 anak didenda RM3,000 curi barang kemas pesakit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Seremban mendenda ibu tiga anak RM3,000 atas pertuduhan mencuri barangan kemas pesakit yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Sinar Harian melaporkan Siti Aisyah Rusly, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Saqinah Rosli, yang turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Wanita itu didakwa mencuri seutas rantai leher emas berserta loket, gelang tangan emas, gelang kaki emas dan sepasang subang emas milik seorang wanita 56 tahun di zon hijau HTJ kira-kira 4.30 hingga 6.30 petang 13 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Razqeeyanur Sarini Salzali, berkata tertuduh memohon denda minimum kerana telah dibuang kerja dan perlu menanggung tiga anak berusia lapan hingga 11 tahun.

Beliau berkata, tertuduh memohon maaf atas kesalahan dilakukannya dan mengakui terjebak hutang ah long yang menyebabkan dia tiada pilihan lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan polis mendakwa barang kemasnya yang disimpan dalam beg plastik ketika sedang dirawat di zon hijau hilang, sebelum tertuduh ditahan pada 14 Mac lalu.

Anggota tentera wanita dijel 7 tahun amang seksual anak sendiri

AMRAN ALI
TERTUDUH diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan amang seksual terhadap anak kandungnya. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!
MELAKA – Seorang anggota tentera wanita dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu ibu kandung dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dalam sebuah rumah di daerah Melaka tengah di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada penghujung Disember 2024.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Mac 2024. – KOSMO! ONLINE

2 maut, seorang parah jatuh ‘skylift’

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

SUBANG JAYA – Dua lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas terjatuh daripada jentera skylift (pelantar angkat) ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsapuri di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 38 hingga 46 tahun dipercayai sedang melakukan kerja di tingkat lima sebelum insiden berlaku.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam.

Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Polis USJ 8 bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki yang merupakan warga asing dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk pangsapuri.

“Dua daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan menggunakan jentera skylift di tingkat lima. Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ketua polis negara fitnah Zamri Vinoth?

Ketua polis negara silap dakwa Zamri lari ke Thailand, kata peguam

Faisal Asyraf

Peguam berkata Zamri Vinoth kembali ke Malaysia sehari sebelum Ketua Polis Negara Khalid Ismail mendakwa penceramah bebas itu lari ke Thailand.
Peguam Hariz Yusoff berkata anak guamnya, Zamri Vinoth, memberi kerjasama penuh kepada polis dan bersedia untuk menghadapi perbicaraan.
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Khalid Ismail telah tersilap apabila mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu yang mendakwa Zamri Vinoth berada di Thailand, kata peguam penceramah bebas itu.

Hariz Yusoff berkata anak guamnya hanya berada di Thailand dari 9 hingga 12 Mac dan telah kembali ke negara ini sehari sebelum Khalid mengeluarkan kenyataan pada lewat malam Jumaat.

“Anak guam kami tidak melarikan diri. Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada mahkamah sebelum ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN adalah tidak tepat.

“Berdasarkan rekod pasport, anak guam kami masuk semula ke Malaysia pada 12 Mac, manakala kenyataan polis dikeluarkan pada malam 13 Mac. Oleh itu, dakwaan bahawa beliau melarikan diri dari negara adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media di kompleks mahkamah di sini.

Hariz menambah bahawa Zamri memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan bersedia untuk menghadapi perbicaraan.

Terdahulu, Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memuat naik hantaran Facebook pada 3 Februari yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam berhubung satu perhimpunan melibatkan ‘kuil haram’.

Dakwaan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada Jumaat, Khalid berkata Zamri dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak telah melarikan diri ke Thailand dan Bukit Aman sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk menjejaki mereka.

Takiyuddin kata MIC sah sertai PN, Saravanan nafi hantar permohonan

Zarrah Morden & Qistina Nadia Dzulqarnain

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata partinya belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Penafian itu dibuat meskipun Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan hari ini dilaporkan mendakwa sekutu BN itu telah diterima masuk ke menganggotai gabungan pembangkang berkenaan.

Saravanan memberitahu Malaysiakini bahawa MIC sekadar membuat pertanyaan mengenai penyertaan ke dalam PN ketika Muhyiddin Yassin mempengerusikan gabungan itu.

"Kita cuma tanya apa tawaran yang akan diberikan kepada kami.

"Selain itu, kita sudah jelaskan bahawa jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan memutuskannya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM).

"Namun, sehingga hari ini, kita belum buat sebarang keputusan," katanya.

Pagi tadi, Takiyuddin memberitahu pemberita di Kota Bharu, Kelantan bahawa dengan kemasukan MIC, PN kini menjadi sebuah gabungan yang terdiri daripada lima parti.

“Saya boleh sahkan malam ni saya nak pergi KL, saya akan jumpa MIC.

“Kita akan bagi surat rasmi pada MIC katakan mereka diterima parti anggota dalam PN,” kata Takiyuddin.

Menurutnya, MIC diterima sebagai ahli PN pada Disember tahun lalu, namun keahlian parti itu hanya disahkan secara rasmi pada mesyuarat terakhir gabungan tersebut pada 14 Mac.

Apabila ditanya jika MIC akan meninggalkan BN demi PN, Takiyuddin membayangkan perkara itu terpulang kepada parti berkenaan.

"Itu isu mereka, itu isu lain. Mereka memohon untuk menyertai dan kami telah menerima (permohonan mereka)," katanya.

Pada November tahun lalu, media melaporkan dakwaan Muhyiddin bahawa MIC telah memohon untuk menyertai PN.

Sama seperti situasi hari ini, MIC ketika itu menafikan ada membuat sebarang permohonan, dengan setiausaha agungnya, S Ananthan menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukannya permohonan rasmi, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum sebarang keputusan.

Dia seterusnya menjelaskan bahawa MIC turut meminta penjelasan mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi, dan perwakilan politik.

Sebelum ini, MIC beberapa kali menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik parti itu, terutama selepas Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Selain MIC, MCA turut dilaporkan bimbang mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya yang dianggap lebih memihak kepada parti penyandang.

Di bawah formula pembahagian kerusi BN-PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Kes wanita warga Vietnam maut ditikam: Polis tahan rakan senegara

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Tangkak: Polis menahan wanita warga asing kurang 24 jam selepas penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dalam kawasan kilang industri di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata suspek wanita yang juga warga asing ditahan sebaik polis menerima laporan kejadian bunuh pada jam 8.40 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa tidak sedarkan dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati kecederaan pada leher dan mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

"Pada masa sama, suspek turut mencederakan diri sendiri sebaik disyaki menikam mangsa.

"Pada ketika ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian ini," katanya.

Menurut Roslan lagi, siasatan lanjut giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Sharidhathul Alfaha Ismail di talian 019-2699573 ataupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9781222 serta balai polis berhampiran.

Terdahulu, wanita warga Vietnam berusia 51 tahun ditemukan mati dalam keadaan cedera di leher selepas dipercayai ditikam dengan pisau.

Peniaga tendang, tampar nenek curi cili hingga tertanggal tudung

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu ditendang dan ditampar kerana mencuri cili. - Instagram
JAKARTA – Seorang peniaga sayur di Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam menampar seorang warga emas wanita kerana mencuri cili yang dijualnya, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan) baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ntvnews.id menunjukkan peniaga lelaki berulang kali memukul dan menendang pencuri terbabit sehingga tudungnya tercabut. 

Situasi bertambah buruk apabila wanita itu ditampar dengan kuat, menyebabkan orang ramai menjerit kerana terkejut. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 21,600 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Dia memang salah tetapi tidak perlu dipukul seperti itu,” kata seorang netizen. 

“Anda tidak akan miskin kalau ‘nenek’ itu mencuri cuma cili,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Tiga pencuri kojol terkena renjatan elektrik ketika curi kabel

Tiga lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika curi kabel
Bernama

IPOH: Tiga lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang Taman Rapat Perdana di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi memaklumkan kejadian yang berlaku di kawasan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Bhd. 

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka terkena renjatan elektrik semasa cuba memotong kabel elektrik pada tiang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

-- BERNAMA

Rogol budak OKU, warga emas dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan

Abdul Rahemang Taiming

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) dua tahun lalu.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu selepas mahkamah berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu didakwa merogol mangsa, kanak-kanak perempuan (OKU) lembam berusia 10 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah tidak bernombor di Lahad Datu, pada 2024.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 Februari lalu, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri.

Terdahulu, Juhn Tao dalam hujahnya menegaskan bahawa dalam kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kepentingan awam (public interest) perlu diberi pertimbangan utama oleh mahkamah apatah lagi membabitkan mangsa seorang kanak-kanak OKU.

Menurutnya, mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan bagi menunjukkan bahawa masyarakat memandang serius jenayah sedemikian, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan dan akan dihukum dengan tegas.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pelabur yang dituduh terlibat ahli mafia korporat ancam dedah 'kebenaran'

Malaysiakini 

Ahli perniagaan Victor Chin mempersoalkan alasan siasatan tertumpu kepadanya dan bukan pihak yang menurutnya patut diteliti.

Pelabur itu, yang dituduh terlibat dalam rangkaian "mafia korporat", memberi amaran bahawa dia tidak akan "berdiam diri" sekiranya tekanan terhadapnya dan keluarganya terus meningkat.

"Untuk melindungi diri saya dan orang di sekeliling saya, saya tidak mempunyai pilihan selain mendedahkan semua maklumat dan fakta dalam pengetahuan saya supaya kebenaran sepenuhnya akhirnya dapat didedahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, polis menyerbu hartanah Chin di Sungai Long dan Kemensah di Kuala Lumpur.

Menurut StarBiz, barang yang dirampas termasuk dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing, serta dokumen.

Bulan lalu, Bloomberg menamakan Chin sebagai sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa berpakat dengan SPRM untuk melancarkan pengambilalihan korporat pesaing.

Laporan itu memperincikan taktik di mana sekumpulan ahli perniagaan akan menyasarkan sebuah syarikat, kemudian memfailkan aduan SPRM terhadap syarikat itu.

SPRM kemudiannya dikatakan akan menyiasat pengasas syarikat, mengenakan tekanan yang membolehkan pengadu menguasai syarikat tersebut.

Mengulas lanjut, Chin berkata bahawa dia telah dijadikan "kambing hitam" apabila melibatkan NexG Berhad, yang telah dianugerahkan kontrak kerajaan untuk membekalkan MyKad dan pasport.

Chin berkata dia pada mulanya ditugaskan untuk merangka strategi hala tuju syarikat dan meletakkannya untuk pertumbuhan jangka panjang.

“Pada pandangan saya, terdapat percubaan untuk merampas syarikat dan hala tuju strategiknya, yang mewujudkan ketegangan korporat yang ketara dan muslihat di sekitar syarikat.

“Selepas perkembangan ini, beberapa siri dakwaan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan mula muncul, memberi tekanan yang besar bukan sahaja kepada saya dan keluarga saya, tetapi juga kepada pemegang saham dan pihak lain yang berkaitan dengan syarikat.

“Daripada mengiktiraf kerja yang dilakukan untuk menstabilkan dan mengubah syarikat, saya mendapati diri saya tertakluk kepada tekanan dan penelitian yang tidak henti-henti, secara efektifnya diseksa dengan tuduhan dan tindakan berterusan yang disasarkan terhadap saya,” katanya.

Malangnya, katanya, naratif awam yang menyelubungi syarikat itu tertumpu pada penglibatan Chin dengan "mafia korporat" dan bukannya isu umum NexG.

Dalam hal MMAG Holdings Berhad, Chin menegaskan bahawa SPRM telah mendakwa bekas pengarah syarikat itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa telah mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab atas salah laku itu, dan saya tidak terlibat dalam aktiviti tersebut,” katanya.

Bagi NexG Bina Bhd, Chin berkata dia tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepda pihak berkuasa, dan dia juga tidak menghadapi tindakan dalam kes itu.

Dia menambah bahawa dakwaan penyelewengan dana berlaku antara 2013 dan 2021, ketika dia tidak terlibat langsung dalam syarikat itu.

Dua minggu lalu, NexG menggantung sementara kuasa pengerusi eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Hanifah Noordin, yang dikatakan bagi memudahkan siasatan ke atas kesesuaian pelaburan tertentu dalam syarikat senaraian awam.

Ini dipercayai termasuk pelaburan NexG dalam MMAG dan NexG Bina yang mengalami kerugian.

The Edge melaporkan bahawa Hanifah mahu ahli perniagaan Ishak Ismail menjadi ahli lembaga NexG, bersama salah seorang anak lelaki Ishak. Anak perempuan Ishak, Siti Nur Aisyah, juga merupakan pemegang saham NexG yang bersekutu dengan Hanifah.

Juga dilaporkan bersekutu dengan Hanifah ialah Velocity Capital Berhad - cabang pembiayaan Velocity Capital Partners Berhad, yang merupakan syarikat di mana Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pernah memegang saham.

Rancangan Hanifah untuk melantik Ishak dan beberapa orang lain ke lembaga NexG didakwa memerlukan penyingkiran tujuh pengarah, termasuk peguam Chong Loong Men, yang terlibat bersama Chin dalam laporan Bloomberg mengenai "mafia korporat".

Hanifah kemudiannya dikembalikan semula selepas lembaga pengarah sebelumnya - yang dikatakan sehaluan dengan ahli perniagaan dan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak - meletak jawatan secara beramai-ramai.

Ini berlaku di tengah-tengah dakwaan bahawa Anwar telah campur tangan dalam percubaan Farhash untuk "mengambil alih kawalan" NexG.

Pada 12 Mac, Channel News Asia melaporkan bahawa "arahan" yang dikatakan itu datang daripada Anwar kepada bekas setiausaha politiknya, untuk memberi laluan kepada Ishak untuk memimpin syarikat.

Laporan itu menambah bahawa walaupun Farhash tidak memegang ekuiti langsung dalam NexG, dia mempunyai kepentingan 20 peratus dalam MMAG, sebuah firma logistik di mana NexG memiliki 10 peratus kepentingan.

Menantu Haji Hadi tolak Samsuri calon PM

Zaharudin OK Samsuri ketua pembangkang, tapi bukan calon PM
Malaysiakini 

Di sebalik sikap menolak yang ditunjukkan sebelum ini, seorang pemimpin akar umbi PAS yang dekat dengan presiden parti itu hari ini menzahirkan sokongannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhar, sebagai pengerusi baru PN.

Bagi Zaharudin Muhammad, Ahmad Samsuri memang wajar dilantik sebagai ketua pembangkang berbanding penyandang sebelum ini.

Dalam hantaran dimuat naik di media sosial pagi ini, Zaharudin berkata, berdasarkan laporan media mengenai pendirian Hamzah terkait jawatan ketua pembangkang, bolehlah ditafsirkan bahawa Ahli Parlimen Larut itu masih berpeluang kekal dengan jawatan tersebut jika mendapat sokongan majoriti ahli parlimen pembangkang.

“Antara Hamzah dan Dr Sam (Ahmad Samsuri), bagi saya jauh baik Dr Sam jadi ketua pembangkang, kerana penting keselarasan gerak kerja.

“Jika tak, (misalnya) PN buat keputusan A tiba-tiba di parlimen ketua pembangkang buaf keputudan B,” katanya.

Namun menantu Abdul Hadi Awang itu menegaskan, dari aspek calon perdana menteri dia kekal dengan sikap sebelum ini – Ahmad Samsuri bukanlah orang yang sesuai.

Malah lebih menarik Zaharudin mengemukakan satu nama baru dalam kalangan pemimpin kanan PAS yang dianggapnya sesuai sebagai calon perdana menteri.

“Ini posisi ketua pembangkang, tetapi posisi PM (calon perdana menteri) saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am bahawa DS Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk YB Ustaz Idris Ahmad adalah lebih layak, justeru ketua pembangkang dalam parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran kerajaan pusat,” katanya lagi.

Harapan buat wakil PN

Sebelum ini Zaharudin memberi amaran bahawa PN berisiko mengalami kerugian jika Ahmad Samsuri dilantik menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai pengerusi gabungan tersebut.

Pada pandangan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh itu lagi “analisis dalaman” menunjukkan parti tersebut boleh kalah sehingga 37 kerusi parlimen jika PN dipimpin oleh Ahmad Samsuri.

“Cuma saya bimbang kawan-kawan seronok untuk naikkan PAS atau lebih spesifik Samsuri sebagai pengerusi PN, tanpa menyedari ia tidak baik untuk PAS dan Malaysia,” katanya pada pertengahan Jan lalu.

Dia yang pernah menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat serta majlis syura ulama turut membangkitkan isu kewujudan kumpulan “jebon” dalam parti itu – yang merujuk kepada pihak cuba mengkhianati perjuangan mereka.

Untuk rekod Ahmad Samsuri dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi PN pada 22 Feb lalu.

Kelmarin, Ahmad Samsuri mengumumkan jawatan ketua pembangkang akan diwakili oleh pemimpin PAS.

Kata Zaharudin hari ini, selain Ahmad Samsuri – yang juga Naib Presiden PAS – satu lagi nama yang boleh dicadangkan sebagai pengganti Hamzah ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Selain ahli parlimen, Takiyuddin merupakan Setiausaha Agung PAS.

“Semog semua MP (ahli parlimen) PN dapat memilih Dr Sam atau DS Takiyudin sebagai ketua pembangkang.

“Saya ulang sekali lagi – untuk (calon) PM tetap DS Tuan Ibrahim atau YB Datuk Ustaz Idris Ahmad (jika PM adalah daripada PAS),” katanya.

Pasangan kekasih cedera dipukul, dirompak rakan baik

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
RAKAMAN CCTV memaparkan lima individu menceroboh dan memecah masuk kediaman pasangan kekasih di Bandar Manjalara, Kepong. FOTO Ihsan Chua.
RAKAMAN CCTV memaparkan lima individu menceroboh dan memecah masuk kediaman pasangan kekasih di Bandar Manjalara, Kepong. FOTO Ihsan Chua.
Kuala Lumpur: Niat baik sepasang kekasih yang membantu rakan lelaki dalam kesusahan bertukar sebaliknya apabila kenalan itu membawa beberapa individu lain merompak kediaman mereka di Kepong sebelum melarikan kereta.

Malah suspek bersenjatakan parang dan alat renjatan elektrik turut memukul pasangan itu hingga cedera.

Mangsa perempuan ingin dikenali Chua, 32, berkata, kejadian berlaku di tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Manjalara, Kepong, pada jam 6.38 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan teman lelakinya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang memecah masuk ke dalam rumah untuk merompak.

"Kami terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati pintu bilik ditendang.

"Selepas itu, lima individu yang membawa parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf menyerbu masuk ke dalam bilik," katanya.

Chua berkata, dia dan teman lelakinya terkejut dan tidak sempat bertindak ketika diserang sehingga mengalami kecederaan di badan.

"Demi keselamatan diri, kami terpaksa menuruti arahan mereka dengan menyerahkan semua barangan berharga termasuk wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta kunci kereta milik seorang rakan yang disimpan di rumahnya.

"Mereka turut melarikan sebuah kereta Honda Civic berwarna perak milik rakan saya," katanya.

Katanya, salah seorang itu adalah rakan baik teman lelakinya yang mana mereka berdua pernah beberapa kali membantu lelaki itu serta memberinya tempat tinggal.

"Namun beberapa hari lalu teman lelaki saya ada bertengkar dengan rakannya itu sebelum dia berpindah keluar.

"Tidak sangka dia kemudian datang bersama individu lain untuk melakukan rompakan, menyebabkan kami kerugian RM6,000 manakala kereta rakan dibawa lari," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan mereka didatangi oleh empat lelaki di bilik sewa rumah di Bandar Manjalara Kepong, Kuala Lumpur yang mana salah seorang dikenali dan seorang wanita .

"Suspek masuk ke dalam rumah dan berlaku pertengkaran mulut, semasa melarikan diri suspek mengambil kunci kereta Honda City, tiga telefon bimbit dan dokumen peribadi.

"Susulan itu, polis menahan dua lelaki di sebuah hotel di Cheras pada jam 3.30 pagi ini bagi bantu siasatan dan rampasan bersabit kes.

"Permohonan reman kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 20 Mac ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

Kedah: Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

FMT Reporters

Kejadian yang berlaku di Jalan Stadium di Alor Setar itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera.
Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di di Jalan Stadium di Alor Setar, Kedah, tengah hari tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera akibat dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Stadium di Alor Setar, Kedah pada tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba Alor Setar Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu yang berlaku berhampiran balai bomba itu kira-kira 1.15 tengah hari tadi, lapor Berita Harian.

“Komander operasi melaporkan kejadian itu membabitkan dua motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika pokok tumbang.

“Akibat kejadian itu, mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang salah satu motosikal dihempap pokok dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ismail berkata seorang lagi mangsa berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah lagi motosikal terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ismail berkata, kerja pembersihan di jalan raya dilakukan di lokasi kejadian dan operasi tamat pada 1.53 tengah hari.

Salah faham curi motosikal punca pergaduhan di depan masjid

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan kumpulan motosikal di hadapan Masjid Pekan Tangga Batu awal pagi tadi. Foto Tangkap layar video
Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan kumpulan motosikal di hadapan Masjid Pekan Tangga Batu awal pagi tadi. Foto Tangkap layar video
Melaka: Salah faham berhubung dakwaan mencuri motosikal dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan penunggang motosikal di hadapan Masjid Pekan Tangga Batu kira-kira jam 4 pagi tadi.

Kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan lebih 20 penunggang motosikal terbabit dalam pergaduhan di tepi jalan, termasuk menggunakan topi keledar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana berlaku di kawasan beliau serta membabitkan golongan anak muda.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat dan juga seorang ibu, beliau berharap kejadian seumpama itu tidak berulang kerana boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat.

"Saya berharap perkara sebegini dapat dicegah sebelum menjadi lebih besar.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih aktif memantau pergerakan anak-anak, terutama yang keluar rumah pada waktu malam dengan menunggang motosikal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, salah satu klip berdurasi satu minit 21 saat, memaparkan beberapa individu lelaki turut dilihat terbaring di jalan selepas dipukul beberapa kali menggunakan topi keledar oleh kumpulan terbabit.

Sementara itu, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian yang sedang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Melaka.

Cuti tambahan: Cuti Isnin jika raya Jumaat, cuti Jumaat kalau raya Sabtu

KOSMO!

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk memberi cuti am tambahan selama sehari sempena Hari Raya Aidilfitri sama ada pada Jumaat depan atau Isnin berikutnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cuti pada 23 Mac (Isnin) diberikan jika 1 Syawal jatuh pada 20 Mac (Jumaat) depan, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada 21 Mac (Sabtu).

“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu, jangan bimbang, kita beri cuti tambahan hari raya.

“Kalau raya pada Jumaat, maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Menurut Anwar, pengumuman awal ini dibuat bagi memberi ruang untuk orang ramai membuat persiapan serta perancangan cuti menyambut Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE

Mahfuz Omar: Sikap Hadi pada Rumah Bangsa cetus tanda tanya

Malaysiakini 

Amanah berpendapat sikap keras yang ditunjukkan Abdul Hadi Awang terhadap gagasan Rumah Bangsa dibawa Umno sebenarnya mengundang persoalan lebih daripada label “bisikan syaitan” diutarakan Presiden PAS itu.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata pendirian yang dizahirkan Abdul Hadi adalah keterlaluan dan membongkar sikap PAS terhadap sebarang usaha menyatukan kekuatan politik orang Melayu.

Kata Mahfuz, idea Rumah Bangsa yang dikemukakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, adalah ruang untuk berdialog bagi meredakan perpecahan politik Melayu yang kian meruncing.

Namun, katanya, PAS memilih untuk menutup pintu tersebut walaupun perbincangan belum bermula.

Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, PAS sering mendakwa kekuatan politik orang Melayu Islam di negara ini semakin terancam tetapi sikap yang diambil parti itu menimbulkan tanda tanya.

“Persoalannya ialah, apabila Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada perpaduan (selepas PRU 2022), PAS (bersama PN) menolak.

“Apabila usaha dialog politik Melayu dibuka melalui gagasan Rumah Bangsa, PAS sekali lagi menolak. Namun pada masa yang sama, PAS terus melaungkan bahawa Melayu dan Islam sedang terancam.

“Jika benar Melayu Islam terancam, maka perpaduan sepatutnya menjadi kewajipan.

“Tetapi apabila setiap usaha perpaduan ditolak, rakyat berhak bertanya adakah naratif ancaman tersebut hanyalah propaganda politik PAS untuk mengekalkan sokongan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakyat nilai sendiri

Pada 12 Mac lalu Abdul Hadi menegaskan sikap PAS yang enggan bekerjasama dengan Umno melalui gagasan Rumah Bangsa kerana mendakwa ahli parti itu mengalami penyakit waswas hasil “bisikan syaitan.”

Ahli Parlimen Marang itu turut menganggap Umno “berwalak kepada DAP” malah dapat mendakwa dapat membaca segala yang tersirat di sebalik gagasan tersebut walaupun pertemuan dianjurkan Umno tidak dihadiri wakil DAP.

Menurut Mahfuz mengikut sejarah, PAS sendiri pernah menjalin kerjasama dengan DAP selama bertahun-tahun dan tidak kedengaran pada sepanjang tempoh itu gelaran “syaitan” dibuat.

Justeru Mahfuz menegaskan bahawa politik yang dibina di atas dasar ketakutan yang dicipta serta perpecahan tidak dapat menguatkan orang Melayu atau memartabatkan Islam.

Bahkan, tambahnya, taktik sebegitu hanya melemahkan masyarakat dan merosakkan masa depan negara.

“Apabila perpaduan ditolak, dialog ditutup dan perpecahan terus dipelihara, rakyat berhak menilai sendiri siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini,” katanya.

'Anak saya diperangkap sebelum ditetak hingga mati'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI lelaki ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang. FOTO Alias Abd Rani
LOKASI lelaki ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang. FOTO Alias Abd Rani
Tangkak: Ibu kepada lelaki yang maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang di Bukit Kangkar, Sungai Mati, di sini, petang kelmarin, mendakwa anaknya diperangkap sebelum dibunuh dengan kejam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Kim, 62, berkata, lelaki terbabit membuat temu janji dan meminta anaknya datang ke sebuah restoran untuk berbincang.

"Saya rasa mereka sudah merancang untuk melakukan ini (pembunuhan). Pada hari kejadian, anak saya memberitahu ahli keluarga dia mahu ke restoran kerana mahu menemui seseorang.

"Semasa berjumpa mereka, anak saya sempat membalas mesej kepada saya dengan memberitahu; 'Semua OK, tiada apa-apa berlaku'. Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila mendapat panggilan anak cedera.

"Saya tak sangka, pertemuan ini adalah satu perangkap untuk menamatkan riwayat anak saya.

"Keluarga kami tidak akan berdiam diri dan akan menuntut keadilan buat anaknya," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, penduduk kampung memberitahu, pada petang kejadian mereka terdengar kekecohan di luar sebelum mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan parah serta berlumuran darah.

Penduduk berusia 63 tahun yang enggan nama didedahkan itu berkata, mangsa dalam keadaan terbaring di hadapan sebuah rumah dengan kesan kecederaan pada anggota badan.

"Kejadian berlaku baru beberapa minit waktu berbuka. Kami nampak ramai orang mengerumuni mangsa yang cedera ketika itu.

"Orang ramai mula datang dan mangsa dibawa ke hospital menaiki sebuah pikap," katanya.

Mangsa dikenali Tong Wei Sheng, 38, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tangkak akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, polis giat memburu tiga lelaki yang melarikan dengan menaiki kereta jenis saloon berwarna putih.

Roslan berkata, mangsa dikejar oleh tiga lelaki berhampiran sebuah kedai makan dan melarikan diri ke sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar.

"Mangsa dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang hingga parah, sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Usaha mengesan dan menangkap suspek dijalankan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

PN 'kelam kabut'

Apa yang susah sangat ni tuan?

Mohsin Abdullah

Banyak perkataan atau istilah negatif boleh digunakan untuk 'describe' keadaan PN sekarang. Cukuplah sekadar saya guna istilah 'kelam kabut'.

Setelah banyak digembar-gemburkan akhirnya mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional semalam tidak menamakan ketua pembangkang Parlimen Malaysia. Sekadar mengumumkan seorang Ahli Parlimen PAS akan pegang jawatan itu menggantikan Hamzah Zainudin.

Itu bukanlah sesuatu yang mengemparkan kerana ia sudah dijangka umum. Malah beberapa pemimpin PAS sendiri sudah memberi gambaran amat jelas sebelum ini. Oleh itu, apa yang diumumkan pengerusi PN yang baru dilantik Ahmad Samsuri Mokhtar sekadar mengesahkan apa yang satu kampung sudah tahu.

Kata Samsuri atau Dr Sam, nama Ahli Parlimen PAS yang akan jadi ketua pembangkang akan diumumkan ‘sebelum akhir Mac ini’. Apa bezanya umum sekarang dengan umum akhir bulan ini? Tinggal 17 hari pun. Adakah ia buat perbezaan ketara antara sekarang dan akhir bulan ini?

Menurut Samsuri, PN akan mengadakan ‘sesi libat urus’ bagi mendapatkan persetujuan bersama mengenai nama akan dilantik ke jawatan ketua pembangkang. Sementara ‘libat urus’ dijalankan Hamzah masih jadi ketua pembangkang.

Maksudnya, tiada nama atau nama-nama YB PAS yang dilontarkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam? Atau ada nama yang diutarkan tetapi hadirin terdiri Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan serta Takiyuddin Hassan selaku setiausaha agung PAS – tidak setuju dengan nama dicadangkan? Lantas tiada kesepakatan?

Jika tidak apa perlunya diadakan lagi ‘libat urus’ tentunya di luar mesyuarat majlis tertinggi untuk cari restu semua pemimpin yang sememangnya duduk dalam majlis tertinggi? Bukankah ini ‘redundant’ namanya? Buat kerja dua tiga kali padahal boleh buat sekali.

Atau adakah PAS sedang ‘buying for time’ untuk mengatur sesuatu sebelum jawatan ketua pembangkang diisi? Bukanlah rahsia besar PAS lebih cenderung Hamzah dikekalkan sebagai ketua pembangkang. Namun, Muhyiddin sejak awal sudah menegaskan beliau dan partinya tidak setuju. ‘No way’ kata Muhyiddin.

Jadi, komprominya ialah memutuskan Ahli Parimen PAS akan jadi ketua pembangkang yang baru. Tetapi adakah melengahkan umum namanya bertujuan beri Hamzah masa untuk menganggotai PAS bagi membolehkannya dilantik semula. Kali ini sebagai Ahli Parlimen PAS?

Tetapi jika itulah pelannya, Muhyididn tetap tidak akan setuju. Meskipun PAS dengan bilangan Ahli Parlimen terbanyak di blok pembangang di Dewan Rakyat punya kuasa mutlak memilih sesiapa yang ia mahu untuk duduk jawatan ketua pembangkang.

Berdasarkan itu, PAS boleh jika mahu lantik Hamzah sebagai ketua pembangkang dalam keadaan sekarang, kerana walaupun Hamzah tidak berparti buat masa ini setelah dipecat Bersatu tempoh hari, beliau masih ‘eligible’ kerana seseorang Ahli Parlimen walaupun tanpa parti boleh dilantik sebagai ketua pembangkang asalkan dapat sokongan majoriti pembangkang. Seperti dikata tadi PAS pegang majoriti.

Namun, apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah PAS berada dalam ‘acomodating mode’. Nak ambil hati Muhyididn dan pada masa sama Hamzah.

Tetapi, apa pun yang dilakukan masalah akan datang dari kiri dan kanan, atas bawah. Ikuti apa yang Muhyiddin mahu Hamzah akan marah. Turuti apa Hamzah mahu, Muhyididn akan melenting.

Hamzah bagaimanapun dikatakan juga akan tubuh parti sendiri. Awal-awal lagi Muhyiddin kata beliau tidak mahu parti Hamzah menjadi komponen PN.

Tetapi ini bukanlah masalah besar buat PAS. Ia boleh menjalin kerjasama dengan parti Hamzah yang duduk di luar PN tetapi tetap mesra PN. ‘At the same time’ PAS dengan Bersatu terus berbaik-baik dalam PN. Saya ulangi apa yang pernah saya tulis dulu iaitu PAS tidak ada masalah berenang dalam dua kolam. Namun, masalah akan tetap timbul apabila pilihan raya mendatang dijalankan kelak.

Buat masa ini apa yang sedang berlaku menunjukkan Muhyiddin masih boleh ‘call the shots’ dalam PN. Lihat saja isu calon PM untuk PN. Kata Muhyiddin pengerusi PN tidak semestinya jadi calon PM gabungan berkenaan. Walaupun itu yang ramai percaya sifirnya yakni pengerusi PN = poster boy/calon PM.

Jika Muhyiddin mahu semua yang beliau mahu mengapa lepaskan jawatan pengerusi PN ‘in the first place?’

Seperkara menarik yang Muhyiddin mesti perhatikan ialah Hamzah dan Takiyuddin ada mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok, Disember lalu. Katanya berbincang soal ‘perpaduan Melayu’. Menurut Takiyuddin beliau ke Bangkok dengan pengetahuan (restu?) Presiden Hadi Awang.

Muhyididn atau sesiapa daripada Bersatu tidak hadir. Mungkin tidak dimaklumkan atau tidak dijemput. Apa pun adalah pengetahuan umum Umno tidak berkenan (sekadar guna istilah lembut) dengan Bersatu.

Umno hanya bersedia menerima pemimpin dan ahli Bersatu yang keluar parti. Selagi masih bersama Bersatu, Umno tidak mahu ‘deal’ apa-apa dengan mereka.

Maka, apa yang Muhyiddin perlu perhatikan yang saya sebut tadi ialah apa sebenar dibincang Takiyuddin dan Hamzah dengan Zahid di Bangkok kerana beliau dan partinya ‘is not part of the equation’.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam juga tidak melantik pengerusi PN negeri termasuk lima negeri kini tanpa ketua. Ertinya PN Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor tidak punya ketua. Semua penyandang (daripada Bersatu) lepaskan jawatan berikutan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Kata Samsuri pelantikan ditangguh sehingga mesyuarat seterusnya iaitu setelah beliau melakukan lawatan kerja ke semua negeri dijadualkan selepas Aidilfitri.

Benar mesyuarat semalam ada buat pelantikkan beberapa jawatan dalam struktur gabungan yang semuanya diisi orang PAS, (Gerakan dan MIPP sekadar ‘window dressing?’). Namun, dengan tidak menamakan ketua pembangkang dan tiada pelantikan khususnya ketua bagi negeri yang tidak ada ketua – mesyuarat macam diadakan tanpa persediaan rapi, malah tergesa-gesa barangkali. Bukan itu sahaja ‘overall it does not bode well for PN overall’.

Pada pandangan saya apa yang berlaku (atau tidak berlaku) menunjukkan banyak yang masih tak kena. Banyak perkataan atau istilah negatif yang boleh digunakan untuk ‘describe’ keadaan PN sekarang. Cukuplah sekadar saya guna istilah ‘kelam kabut’. Ini istilah paling lembut.

4 kilang di Balakong musnah terbakar

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
EMPAT kilang musnah dalam kebakaran di Taman Cheras Jaya, Balakong di sini, malam ini. FOTO Ihsan Bomba.
EMPAT kilang musnah dalam kebakaran di Taman Cheras Jaya, Balakong di sini, malam ini. FOTO Ihsan Bomba.
Cheras: Empat kilang musnah dalam kebakaran di Taman Cheras Jaya, Balakong di sini, malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada 9.24 malam.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menggerakkan jentera dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussin Onn untuk tindakan lanjut.

"Kebakaran membabitkan empat kilang dan api berjaya dikawal daripada merebak pada 10.18 malam.

"Kesemua kilang berkenaan masing-masing terbakar 50 peratus, 80 peratus, 90 peratus dan 100 peratus.

"Kerja pemadaman masih dilakukan membabitkan tiga kilang dan unit dron juga dalam perjalanan ke lokasi untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan bantuan daripada BBP Seri Kembangan, BBP Kajang, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Cheras, BBP Bangi dan BBP Petaling Jaya selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Serdang dan polis.