Nasib Altantuya Seperti Norita?

Oleh: pendikar gunung kriang

Mahkamah Tinggi kelmarin memutuskan nasib Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh terlibat dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu akan ditentukan pada 9 April ini. Sebelum itu Koperal Sirul, meminta dia dibebaskan ataupun sebagai alternatif, mengisytiharkan sebagai kesilapan perbicaraan bagi membolehkan ia didengar semula membabitkan kesemua tiga tertuduh.

Awal bulan ini, Sirul berkata, dia telah "menjadi kambing hitam yang harus dikorbankan untuk melindungi rancangan dan niat jahat seseorang"

Sirul yang juga tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Altantuya berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam.

"Saya tidak pernah mengenali mangsa di dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi atau sebaliknya dengannya. Saya juga tidak mengenali Abdul Razak Abdullah Baginda dan tidak mempunyai urusan. Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira sepanjang perbicaraan kes ini, saya mengikuti prosiding dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutama dari D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mereka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa mengubah cerita apabila disoal balas," katanya seperti yang dipetik dalam mStar.

Razak telah dibebaskan. Jika Sirul dan Azilah juga dibebaskan, ia tidak akan menimbulkan rasa hairan pemerhati biasa yang tidak ada latar belakang guaman seperti saya. Ini kerana sejak permulaan penghakiman, kita tidak nampak dan tidak diyakinkan oleh mahkamah, apa motif kedua-dua pegawai polis pangkat rendah ini membunuh Altantuya dengan bahan peledak C4. Tidak nampak motif langsung! Jadi jika mereka dibebaskan, ia keputusan yang tidak mengejutkan.

Tapi jika kedua-dua yang dituduh atau salah seorang daripada mereka dihukum, ia juga tidak akan menimbulkan rasa hairan sesiapa, kerana seperti kata Sirul mereka harus dikorbankan bagi 'melindungi niat jahat seseorang.' Bagi ramai orang, sama ada Sirul dan Azilah dihukum atau tidak adalah tidak penting kerana yang mereka ingin tahu ialah apa motif Altantuya dibunuh dengan begitu kejam dan mengapa "seseorang" yang berniat jahat itu tidak diheret ke muka pengadilan?

Perbicaraan Altantuya mengingatkan saya kepada kes perbicaraan Norita Samsudin. Akhirnya lelaki yang dituduh membunuhnya dibebaskan kerana terdapat percanggahan bukti. Lalu ramai yang bertanya: siapa pembunuh sebenar Norita?

Mengingatkan soalan itu, saya terkenang perbualan mengenai kes Norita dengan seorang tokoh politik UMNO dari Perlis di Lapangan Terbang Alor Setar kira-kira 4 tahun lepas. Tokoh tersebut yang merupakan orang kuat Radzi Sheikh Ahmad merungut, "Awat polis tak siasat sama orang tu?"

"Orang mana?", tanya saya buat-buat tidak tahu, walaupun dalam hati saya terdetik nama seseorang tokoh politik yang diwar-warkan ada hubungan intim dengan Norita.

"Alah, hang buat-buat tak tau pula...", katanya sambil menyebut nama tokoh politik yang sangat dikenali itu.

Kini kes perbicaraan Altantuya telah hampir tiba ke penghujungnya. Sama ada Sirul dan Azilah dihukum atau dibebaskan, suara-suara di luar mahkamah akan tetap berkata: "awat polis tak siasat sama orang tu?"

Polis boleh menyiasat, mahkamah boleh buat keputusan, tokoh politik kita boleh mengiya dan menafikan sesuatu, tapi kita tidak dapat menghalang orang di luar mahkamah bercakap dan meyakini sesuatu. Dan jangan lupa...seringkali keyakinan terhadap sesuatu itu terbawa-bawa hingga ke kotak undi!!

http://pendikargunung.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan