Umno rampas kuasa Raja-raja, huru-harakan negara

Nyza Ayob 
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) -
 Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemimpin Umno telah mengambil kuasa mutlak daripada Raja-raja untuk menyalah guna kuasa serta mencelarukan negara.

"Apa yang berlaku di Perak, kita tidak mahu bertempur dengan raja, kita mendukung raja berperlembagaan yang sebenarnya. Tetapi apa yang berlaku, pemimpin umno mengambil kuasa mutlak dari raja-raja,"beliau berkata demikian sewaktu menjawab kenyataan Tahuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mencelah ucapannya sewaktu membawa usul menjunjung kasih titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam pertanyaan yang sama Tajuddin meminta Abdul Hadi menjelaskan soal kezaliman yang ditunjukkan oleh kerajaan.

"Di manakah yang menunjukkan keadaan bersikap tidak adil dan di manakah yang dilaungkan sebagai kezaliman. Jika terdapat kes-kes tertentu bukan menunjukkan kezaliman. Mungkin terdapat kepincangan dari segi pelaksanaan dan pentadbiran.

"Saya dapati kontra apa yang dinyatakan YB Marang dengan apa yang dipraktikkan pimpinan PAS. Saya ingin bertanya jika atas dasar tidak asabiyyah dan tidak fanatik, bolehkah YB mengutuk dan tidak merestui apa yang dilakukan oleh pengikut PAS di Istana Kuala Kangsar tempoh hari," kata Tajuddin.

Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan terdapat persepsi terhadap makna keadilan dan kezaliman.

"Tanggapan orang kampung apabila dipukul  dan dibelasah maknanya zalim. Tidak meletakkan pada yang sewajarnya maknanya juga zalim. Kita melihat langkah-langkah yang diambil terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam mengagihkan pelaburan dan ada kempen tidak menggalakkan pelabur ke negeri-negeri selain di bawah BN.

"Kita sebagai sebuah negara yang mengamal federalisma yang mengiktiraf negeri-negeri yang dipilih rakyat kerajaan tertentu. Dalam hal tertentu, sebagai contoh di Terengganu sewaktu kita memerintah, dirampasnya royalti petroleum. Walaupun ada perjanjian. Kami tidak lupa peristiwa ini. Begitu juga dengan apa yang telah disebut oleh YB Kinabatangan. Di Sabah masih tidak terdapat pembangunan walaupun sudah merdeka lebih 50 tahun dan kemiskinan belum lagi diatasi. Ini termasuk dalam kezaliman," tegas Abdul Hadi.

Jelas Abdul Hadi dalam menghadapi krisis ekonomi, satu pembelaan yang sewajarnya harus diberikan kepada pekerja-pekerja yang dibuang kerja.

Beliau memberi contoh, sebuah negara komunis yang zalim turut menyediakan peruntukan untuk memberi bantuan kepada pekerja-pekerja yang dibuang kerja. Dalam isu ini katanya, amalan tersebut perlu dijadikan contoh oleh kerajaan.

Abdul Hadi juga menegaskan, beliau tidak menyanggah titah Yang DiPertuan Agung yang mana titah tersebut menggambarkan perpaduan yang makin rapuh yang perlu ditegakkan.

"Dalam membina perpaduan rakyat, kita mesti membina modal insan. Untuk membina modal insan kita harus membinanya dengan akhlak. Dan ilmu adalah asas untuk membangun manusia yang menjadi masyakat madani dan bertamadun.

"Jika kita lihat ramai anak muda berada di pusat serenti, ini menunjukan modal insan kita dalam keadaan bercelaru. Sebab itu kita mesti mengilmukan rakyat,"katanya.

Sehubungan itu dalam ucapannya Abdul Hadi menekankan pentingnya ilmu diajar dalam bahasa ibunda.

"Tidak salah kita mendalami bahasa asing. Tetapi untuk mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya haruslah dengan bahasa ibunda. Kita sendiri telah menonjolkan slogan 'bahasa jiwa bangsa'. Apabila kita membuang bahasa kita, kita menghilangkan jiwa bangsa kita.

"Kita telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengilmukan rakyat. Pada masa yang sama, kita menerima bahasa ibunda yang digunakan oleh bangsa-bangsa di Malaysia ini,"katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan