GMP akan bertemu PM, minta PPSMI dihapuskan dari muka bumi Malaysia!



PELBAGAI tandatanya timbul selepas Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menyerahkan 'Memorandum Membantah PPSMI' ke Istana Negara. Demonstrasi kira-kira 100, 000 orang telah mengejutkan Perdana Menteri. Seperti lazimnya polis menggunakan hujah, perhimpunan tersebut tidak mengikut kehendak permit, melanggar peraturan sehingga mencetuskan "kekecohan" sebagai alasan untuk memburuk-burukkan perhimpunan aman. Bagaimanapun, himpunan tersebut telah memberi signal jelas kepada BN dan memberi satu kejayaan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu dalam memperjuangkan hak untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Namun 1,001 cabaran berada di depan. Ikuti transkripsi penuh sidang media GMP yang sampaikan Pengerusinya, Dato' Dr Hassan Ahmad di rumah Pena pada 9 Mac.

WARTAWAN: Dato', bilakah dijangka pertemuan GMP dengan Dato' Seri Abdullah?

Secepat mungkin. Dijangka dalam masa seminggu dari sekarang.

WARTAWAN: Pertemuan tersebut sebelum Perhimpunan Agung Umno?

Ya, sebelum.

WARTAWAN: Sekarang ini digembar-gembur pembangkang terlibat dalam perhimpunan 7 Mac lalu? Apa komen Dato'?

Apa nak buat. Dia hendak sokong. Umno pun kalau hendak sokong boleh juga. Datanglah beramai-ramai. Kita tidak boleh mengatakan Umno jangan masuk campur, ini urusan PAS, bukan urusan GMP. Ini yang kita tidak mahu.

WARTAWAN: Adakah orang Umno tidak ada dalam perhimpunan itu?

Orang Umno pun ada. Yang tidak hadir tapi sokong pun ramai. Merata-rata di Malaysia. Orang kuat-kuat pun ada.

WARTAWAN: Mereka bagi sokongan bagaimana?

Ada yang telefon. Hantar mesej pun ada. Soal sama ada orang hendak bantah atau sokong, itu lain. Kita hendakkan isu itu. Prinsip bahawa matematik dan sains harus diajar dalam bahasa kebangsaan negara Malaysia bukan negara lain.

WARTAWAN: Dato' Hishamuddin mengatakan ada pilihan sama ada tidak membatalkan sepenuhnya PPSMI ini. Apa ulasan Dato'?

Ikut dialah. Kami punya matlamat supaya dasar lama itu dikembalikan. Maknanya mengajar sains dan matematik daripada sekolah rendah sehingga sekolah menengah sehingga ke IPT. Ada ke sesiapa boleh bagi tahu kita bahasa kebangsaan ini tidak layak untuk mengajar matematik dan sains? Siapa boleh bagi tahu saya boleh bagi hadiah.
Jawapan yang betul-betul munasabah yang boleh diterima oleh umat dunia yang mengatakan bahasa Melayu atau bahasa Mandarin atau bahasa Tamil tidak layak jadi bahasa ilmu? Kalau ada bukti, esok kita bubarkan GMP. Jangan ingat kita ini orang tidak siuman. Berbalik pada asal.
Sebab yang asal tidak ada masalah. Kalau ada masalah setelah 37 tahun dilaksanakan, sudah mantap dan begitu sebati dalam budaya rakyat Malaysia ini, ia ditarik balik.

WARTAWAN: Jika bahasa Inggeris dikekalkan dalam pengajaran kedua-dua subjek itu, apakah tindakan GMP?

Rasanya soalan itu tidak adil dan tidak patut ditujukan kepada GMP. Soalan itu sepatutnya ditanya kepada wakil rakyat, parti Umno yang dahulu menubuh dan menggubal Dasar Pelajaran Kebangsaan yang ada sebelum 2003. Tanya mereka lah. Saya tidak mempunyai kuasa. Kalau saya ada kuasa bolehlah saya jawab. Cuma ada kuasa suaralah sikit. Kena tanya pihak BN, Perikatan waktu dulu.
Kamu yang gubal dan kamu yang hapuskan. Ada masalah ke? Saya pernah sebut dalam satu sidang akhbar dahulu. UKM, yang gunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama selama 30 tahun lebih sejak 1970 telah menghasilkan lebih 2,000 tesis sarjana sains dan matematik. Dan lebih 400 tesis PHD juga ditulis dalam bahasa kebangsaan tentang bidang matematik dan sains. Jika tulis tesis tentulah original dan bukan copy atau terjemah dari bahasa Inggeris.
Dia mestilah menyelidik dalam bahasa kebangsaan. Jadi tesis itu dalam bahasa kebangsaan. Itu hanya UKM tidak termasuk universiti lain. Jika boleh tulis tesis dalam bahasa Melayu, kenapa kamu matikan tengah jalan? Hendak kata dia (BN) penjajah marah pula. Atau boleh jadi kita hendak ikut penjajah British yang ajar bahasa Melayu ilmu kesihatan hanya di peringkat rendah sahaja. Jadi, kalau kerajaan hendak balik ke sana, balik kepada asallah sebelum merdeka dahulu. Buat apa kita merdeka? Saya tidak hendak cakap politik.
Kalau saya cakap politik banyak pula ceritanya. Para pemimpin kita harus memimpin rakyat Malaysia berdasarkan tamadun kita bukan tamadun orang lain. Tamadun salinan, tamadun salinan. Maka kita tidak jadi bangsa yang kreatif dan inovatif serta mencipta sesuatu yang baru melainkan terjemahan sahaja.

WARTAWAN: Jadi, GMP tidak akan berhenti mendesak kerajaan hentikan PPSMI ini?

Hendak berhenti buat apa. Sampai berjayalah.

WARTAWAN: Adakah GMP jemput Dong Jong Zhong menyertai pergerakan GMP ini?

Kita sudah jemput. Mereka dah setuju. Tapi beberapa NGO Cina tidak berapa setuju dengan Dong Jong Zong ini. Mereka bantah dan tidak setuju kenapa Dong Zhong buat macam ini. Orang ingat GMP ini hendak desak kerajaan adakan satu aliran bahasa dalam sistem pendidikan kita. Kita mudah.
Berbalik pada asal. Tetapi jika kerajaan hendak buat satu aliran bahasa, itu terserah. Itu dasar lain. Kita hanya hendak balik pada asal. Salahkah? Tidak ada yang salah. Kita mesti berterus terang dan tidak ada yang hendak disorok. Ia hendaklah berdasarkan otak. Jangan prasangka sahaja. Mengatakan GMP jahat, anti kerajaan. Itu kata dia, bukan saya cakap. 'Make it simple. the whole world is complicated'. Saya cakap bahasa Inggeris sebab saya tahu bahasa Inggeris. Jangan ingat saya tidak tahu bahasa Inggeris. 'I think I can speak better than most of the ministers.' Tidak ada 'gramatical mistake'.
Bukan tulis surat tapi kertas kerja. Macam profesor kita yang ada ini (sambil menunjukkan kepada beberapa orang AJK GMP). Kenapa tidak mahu menjadikan mereka ini contoh. Pertahankanlah benda yang betul. Tidak jadi isulah. Seperti PM kata, selesaikan PPSMI ini sebelum timbul isu-isu yang lebih berat.
Apa maksudnya kita belum tahu lagi tetapi kita jumpa. Hendak berkawan dan hendak berbaik-baik dengan dia. Setahun dahulu kita pernah jumpa. PM kata akan kembali pada dasar asal. Prof. Emeritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid telah jumpa dia. Siapa kata baru sekarang? Ini orang tidurlah. Dahulu kata 'experimental project' PPSMI ini. Sekarang sudah jadi dasar pula.

WARTAWAN: Jadi tuduhan GMP anti kerajaan tidak benarlah?

Tidak. Saya pernah cakap dengan Dato' Seri Hishamuddin Hussein sewaktu menyampaikan memorandum di Parlimen. Ramai orang dengar. Saya cakap 'ini kita bukan hendak bergaduh ye'. Tidak. Kita tidak bergaduh. Kita berkawan. Berpeluklah sikit.

WARTAWAN: Dato', berapa anggaran penyertaan dalam perhimpunan 7 Mac lalu?

Dianggarkan oleh ahli matematik kita, seorang jurutera, 70,000 orang ada di Kuala Lumpur. Bukan 2,000 atau 5,000. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan