Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengakui Najib mungkin mempunyai niat untuk melakukan reform, tetapi dalam masa yang sama terdapat banyak kekangan, terutama berkaitan dengan peribadinya, yang akan melambatkan atau menyekat proses pembaharuan itu.
Dalam satu wawancara eksklusif Harakah edisi cetak keluaran terbaru dengannya, pada 23 April lalu, Ustaz Nasharuddin mengulangi cadangan agar Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang ke atas media antarabangsa yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Beliau memberikan contoh bagaimana tindakan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang pernah dikaitkan oleh sebuah akhbar di Britain, Daily Mirror, sebagai pemimpin nombor dua Al-Qaeda, membersihkan dirinya dengan menyaman akhbar berkenaan.
"Dalam beberapa hari sahaja akhbar itu menarik kembali kenyataan mereka," kata Ustaz Nasharuddin.
Ditanya kemungkinan era pemerintahan Najib akan dipengaruhi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata: "Saya tidak mahu campur dengan urusan rumahtangga Umno, tetapi ini satu pandangan yang berlegar di minda masyarakat. Mutakhir ini saya tengok makin banyak kelibat Tun Mahathir di atas pentas, buat kenyataan dalam akhbar, hadir dalam program-program besar kerajaan dan ada ruang dalam media, seolah-olah macam dia pula PM sekarang ini.
"Sementara rakyat melihat Tun Abdullah Ahmad Badawi pula seperti dilupakan Umno dan kerajaan sehingga seolah-olah tak ada langsung peranan melainkan bercucuk tanam sahaja."
Menyentuh tindakan kerajaan menangani kemelut ekonomi sekarang ini, Ustaz Nasharuddin berkata beliau belum nampak apa-apa cadangan konkrit yang dikemukakan Kabinet.
Beliau mencadangkan agar kerajaan menerima pandangan dan pendapat daripada semua pihak termasuk pembangkang.
"Ajaklah kita bincang bersama sebab kita juga tahu masalah rakyat. Mengapa semangat syura tidak diamalkan pada ketika negara sedang menghadapi kemelut ekonomi ini," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan