Konsert Jom Heboh: Mufti Perak Membisu Seribu Bahasa

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria di dakwa membisu dan berdiam diri terhadap Konsert Jom Heboh tajaan TV3 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Lumut, Perak.

Pendirian ulama yang disegani ramai itu agak memeranjatkan memandangkan beliau sendiri telah mengeluarkan fatwa pada 30 Julai 2004 mengharamkan acara tersebut atas dasar ia melalai dan menggalakkan maksiat dikalangan anak-anak muda.

Mungkin sebagai mufti yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri apatah lagi negeri Perak sekarang diperintah oleh kerajaan kudeta Barisan Nasional beliau bimbang periuk nasinya terjejas.

Sikap rasa hormat dan tunduk Umno dan BN terhadap pendapat mufti mereka sendiri boleh dilihat dengan tindakan yang diambil walaupun hukum agama telah dikeluarkan.

Walaupun diharamkan kerajaan negeri Perak pimpinan BN tetap membenarkan karnival tersebut diadakan pada 5 dan 6 Mei 2007 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Nasihat Harussani yang menegaskan program konsert ‘Sure Heboh’ itu tetap haram walaupun selepas ia ditukar nama menjadi ‘Jom Heboh tidak diendahkan langsung oleh kerajaan negeri BN dan acara tersebut diteruskan juga.

Konsert Sure Heboh TV3 yang berkonsepkan ekspo dan hiburan mula dilancarkan pada Julai 2003 sebelum diubah namanya kepada Jom Heboh pada 2006. 

Ini berlainan pula dengan sikap diambil oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke 12 tahun lalu.

Atas dasar menghormati prinsip-prinsip Islam sejagat dan keadilan yang diamal oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, pihak TV3 bersetuju menarik diri daripada menganjurkan karnival tersebut di bumi Perak.

“Kita tidak ada beri arahan pun (untuk tarik diri dari mengadakan konsert) , dia (TV3) sendiri yang hendak tarik diri. Mereka menghormati prinsip-prinsip kita,” kata beliau ketika itu.

Di bawah pimpinan BN, nampaknya TV3 tidak lagi mempedulikan prinsip-prinsip yang dahulunya ia hormati dan terus melanggar fatwa haram yang dikeluarkan oleh mufti negeri. 

Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut (DPPK Lumut) menyatakan kekesalannya terhadap sikap membisu Harussani sehingga kini.

Dalam satu kenyataan, DPPK Lumut berkata pihaknya akan mengambil beberapa tindakan segera bagi membendung kehadiran orang ramai khususnya golongan muda ke Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Kem TLDM Lumut. 

"Pihak DPPK Lumut kesal dengan sikap Mufti negeri Perak yang sehingga ke saat ini masih membisu seribu bahasa dan belum mengeluarkan apa-apa kenyataan walaupun didesak oleh beberapa pihak.

"Beliau sebelum ini terkenal dengan fatwanya yang mengharamkan program Jom Heboh di Perak.

"Pihak DPPK Lumut juga dengan ini mendesak pihak penganjur supaya menghormati sensitiviti Umat Islam setempat dengan tidak menganjurkan perkara-perkara yang ditegah agama seperti acara konsert terbuka yang menggalakkan pergaulan bebas,percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas,dan lain-lain perkara yang boleh menjejaskan dan merosakkan akhlak muda mudi," kata kenyataan itu lagi.

Pihak DPPK Lumut meminta pihak penganjur bertanggung jawab sepenuhnya terhadap segala gejala buruk yang akan berlaku semasa dan selepas program tamat.

"Kami juga dengan ini menyeru orang ramai khususnya pihak berkuasa agama,pihak jawatan kuasa masjid dan surau berdekatan,pihak berkuasa agama TLDM (Kagat) dan masyarakat setempat yang amat prihatin dengan isu ini untuk turun bersama-sama DPPK Lumut bagi membendung gejala maksiat seterusnya untuk menyedarkan para pengunjung dan juga pihak 
penganjur akan bahayanya kesan buruk jika program maksiat ini diteruskan," tegas DPPK Lumut lagi.

-TVAntara.com.my-


Tiada ulasan:

Catat Ulasan