Hujah TV9 : 'Penjelasan kenapa saya tarik diri' - Husam

Azamin Amin  

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS Dato' Paduka Husam Musa memberi penjelasan bahawa beliau menarik diri daripada menyertai program Hujah terbitan TV9 adalah kerana panel debat Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat hadir.

"Oleh yang demikian saya dengan rasa dukacita, menarik diri dari menyertai program ini dan menasihati penerbit rancangan supaya ianya ditunda kepada satu tarikh lain di masa hadapan yang sesuai dengan jadual YB Menteri," katanya melalui satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya.

Beliau telah menyatakan persetujuan menyertai debat ini selepas pegawainya mengesahkan dengan pihak pengajur, bahawa Zahid disahkan datang dan tidak mahu digantikan dengan pihak lain

"Isu sepenting ini, jika kita serius, hendaklah dibincangkan dengan penyertaan pihak yang berautoriti, samada dalam parti mahu pun kerajaan. Itu sebab saya mensyaratkan tokoh seperti Dato' Zahid atau orang yang sepadan dengan beliau,"katanya

Namun katanya pada 25 Mei, malam, TV3 mula menyiarkan iklan beliau berdebat dengan Ezam Mohd Noor, tanpa persetujuannya terlebih dahulu.

Husam berkata penganjur langsung tidak bersikap profesional manakala Zahid langsung tidak bertanggungjawab malah jika Zahid menggantikan seseorang seperti Setiausaha Politiknya sudah cukup untuk menunjukkan rasa hormat terhadap tanggungjawab beliau kepada masyarakat umum sebagai Menteri Kabinet.

"Janganlah iklan berdegar-degar, tetapi tidak siapa ingin mengambil tanggungjawab dari gagalnya debat pada malam tadi. Tidak Zahid, tidak juga TV9?

"Saya sudah berada di Sri Pentas malam tadi. Zahid tidak muncul. Saya kesal, tapi saya bersedia menunggu untuk tarikh yang baru," kata Husam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan