|
Maka diperbesarkanlah berita mengenai perbezaan dan persaingan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS, khasnya dalam isu pertandingan dan pemilihan untuk jawatan-jawatan dalam pimpinan peringkat atas.
Maka pimpinan PAS pun difokuskan kepada dua golongan atau dua kategori itu, iaitu ulama dan profesional. Ada yang kata hanya ulama yang layak untuk memegang dua jawatan tertinggi dalam parti; dan ada yang kata profesional pun layak juga sekiranya diamemiliki ilmu agama, iaitu yang dipanggil profesional yang ulama. Lalu timbul pulaistilah ulama yang profesional, dan profesional yang ulama.
Maka timbul soalan dalam fikiran saya, apakah di dalam PAS hanya ada dua kategori manusia? Atau, hanya dua kategori manusia yang boleh jadi pemimpin? Sama ada dia ulama, atau dia profesional.
Dan apakah pula ciri-ciri seseorang yang boleh dipanggil ulama, dan ciri-ciri seseorangyang boleh dipanggil profesional? Siapa pula yang menentukan ciri-ciri tersebut? Orang seperti Mat Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub misalnya, termasukkah ke dalam salah satu kategori tersebut?
Saya tak mahu jawab soalan itu kerana saya macam dah keliru atau dikelirukan. Apakah manusia yang baik di atas dunia ini hanya dari golongan ulama dan profesional sahaja?Kalau bukan ulama dan bukan profesional, macamana? Tak baikkah? Atau tak boleh jadi manusia baikkah? Atau tak layakkah dia menjadi pemimpin walaupun dia memiliki ciri-ciri kepemimpinan yang nyata dan berkalibar?
Saya macam terkeliru dan merasa agak pelik dengan keghairahan kita menggunakan dua istilah tersebut untuk bercakap soal kepemimpinan. Samalah juga dengan terkeliru danpeliknya saya dengan keghairahan sesetengah pihak kita melihat umat Islam hari inilangsung di dalam kotak sunni atau syiah. Dan sunni itu pula dibahagikan lagi kepada Shafie, Maliki, Hanafi, Wahabi dan sebagainya.
Tak bolehkah kita melihat orang Islam itu sebagai orang Islam? Asalkan dia tidak melanggar hukum-hukum dan nilai-nilai Islam yang kita semua persetujui, seperti yangterdapat jelas di dalam al-Quran dan Hadis, kita terimalah dia sebagai Islam. Tak perlulah kita memperbesar-besarkan perbezaan di antara kita.
Yang suka memperbesar-besarkan perbezaan di kalangan kita, dan bersusah payah mengkategorikan kita ke dalam golongan itu dan golongan ini, dan kemudian menganjurkanpula pelbagai aktiviti bagi menonjolkan lagi perbezaan-perbezaan itu, siapa? Tentulah musuh kita, 'kan? Apa tujuan mereka? Tentulah untuk memecah-belahkan kita, supaya kita menjadi lemah, dan terus lemah. Maka tak dapatlah kita hendak melawan mereka. Itu saja. 'Kan!
Peribadi yang layak memimpin
Balik kepada topik wacana kita kali ini - ulama atau profesional yang layak memimpin PAS? Saya fikir kita tidak perlu merujuk kepada kategori mana seseorang itu boleh dimasukkan. Kita menerima Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukan kerana dia dari kategori ulama atau profesional. Kita menerima Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pun bukan kerana dia dari kategori ulama atau profesional. Kita menerima mereka kerana peribadi mereka yang kita kenal sebagai peribadi yang layak memimpin.
Seseorang itu menjadi peribadi yang layak memimpin bukan kerana dia seorang ulama atau seorang profesional. Dia layak memimpin adalah kerana ciri-ciri atau sifat-sifat kepemimpinan yang ada pada dia, yang boleh diterima kebanyakan orang waktu itu. Tidak semestinya dia seorang ulama, dan tidak semestinya dia seorang profesional.
Kalau dia seorang petani biasa pun, bukan seorang profesional dan bukan seorang ulama, tetapi dia memiliki sifat-sifat kepemimpinan yang disukai oleh kebanyakan orang dan dipercayai dia paling layak memimpin umat pada waktu ini, lebih daripada mereka menyukai dan mempercayai ulama atau profesional yang ada, maka dialah yang akan dipilih menjadi pemimpin.
Ahli-ahli PAS tentulah amat arif akan orang bagaimana yang mereka perlukan untuk memimpin mereka pada masa ini. Pedulikanlah apa yang mahu dikata dan dilaporkan oleh media yang pro-Umno itu. Mereka itu mencari-cari point atau sudut mana yang mereka boleh serang PAS, atau boleh menghasut orang-orang PAS.
Masalah hendak memilih pemimpin peringkat Timbalan dan Naib Presiden di kalangan PAS, memang ada. Tetapi masalahnya tidaklah sama seperti masalah yang terdapat dalam Umno. Ini kita mesti ingat. Jangan kita terperangkap melayan permainan mereka itu, yang kalau boleh mereka nak jadikan masalah di dalam PAS pun sama dengan masalah di dalam Umno.
Dasar 'kepimpinan ulama' dalam PAS sudahpun diinstitusikan. Makanya ada Majlis Syura di dalam PAS, yang memang tidak di dalam Umno. PAS juga ada Dewan Ulama, yang juga tidak ada dalam Umno. Jadi tidak perlu lagi ditimbulkan soal siapa yang lebih layak memimpin - ulama atau profesional.
Ahli-ahli PAS di seluruh negara sudahpun mencalonkan calon-calon pemimpin yang mereka fikir layak untuk dipilih dalam muktamar nanti. Ini proses biasa dalam demokrasi yang diamalkan PAS. Bukan untuk mencetuskan proses kempen yang boleh mengakibatkan perpecahandi kalangan ahli.
Apa pun, kita perlulah sentiasa berhati-hati dengan dakyah dan hasutan pihak musuh. Lebih-lebih lagi pada waktu-waktu begini, ketika kita sedang berfikir untuk memilih pemimpin yang akan memimpin umat di zaman yang penuh pancaroba ini. - azm
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan