IPOH, 12 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat Perak kini sedang bermesyuarat bagi membincangkan langkah seterusnya berikutan tindakan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pagi tadi. Kini pimpinan Pakatan Rakyat Perak sedang mendengar taklimat dan perkembangan daripada peguam antaranya, Hanipa Maiden yang terlibat secara langsung dalam perbicaraan. Antara yang hadir dalam mesyuarat di Badan Perhubungan PAS Perak petang ini ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Menteri Besar, Dato'Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan saf kepimpinan pakatan yang lain. Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin. Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas. Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya. Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar. Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan