Umno 'bermatian' halang pilihan raya kecil di Perak

Lanjusoh  

KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - Kini hanya tinggal satu pilihan, bubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menyelesaikan segala kemelut politik di Perak.

Tanpa tindakan tersebut rakyat negeri terbabit akan terus menjadi mangsa.

Ketidakstabilan politik boleh menjejaskan segala-galanya.

Ini kerana hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pembubaran Dun sahaja satu-satunya jalan keluar yang ada di Perak sekarang.

"Kejayaan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam menambah lagi kerumitan isu tersebut.

"Polemik ini tidak ada kesudahannya dan sudah pasti kehidupan harian rakyat akan terjejas," katanya di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam selepas mendengar permohonan Zambry.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam bertujuan menghalang Nizar mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dun.

Penangguhan keputusan mahkamah itu turut mendapat sokongan Peguam Negara.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Umno dan BN tidak perlu gusar bagi mendapatkan semula mandat rakyat kerana mereka sering kali mendakwa parti itu kuat di bawah Perdana Menteri baru.

"Umno tidak perlu gusar untuk menghadapi pilihan raya semula. Namun tindakan Zambry mengemukakan rayuan segera secara jelas menggambarkan mereka begitu takut berdepan gelombang rakyat," katanya.

Menurutnya Umno kelihatan bekerja bermati-matian bagi menghalang pilihan raya diadakan sehingga terpaksa mendapat bantuan Mahkamah Rayuan.

Beliau juga berkata, sekiranya pilihan raya diadakan lagi di Perak, Dewan Pemuda PAS Kelantan bersedia menghantar lebih ramai lagi petugas membantu jentera kempen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan