Wong, juga pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), ditangkap malam tadi di rumahnya Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur berhubung siasatan Akta Hasutan.
Beliau ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini.
Polis pada mulanya menahan lapan orang sewaktu sekumpulan 15 orang sedang mengadakan perhimpunan nyalaan lilin di tepi pintu masuk balai polis tersebut kira-kira 9.15 malam.
Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya penyelaras NGO hak asasi terkenal Suaram, dua orang pemimpin jawatankuasa hak sivil Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur dan pengarang edisi Cina akhbar PKR.
Senarai mereka yang ditahan seperti berikut:
Temme Lee, 23, koordinator Suaram
John Liu, 26, koordinator Suaram
Liau Kok Fah, 47, jawatankuasa hak sivil
Chan Kim Ming, 34, jawatankuasa hak sivil
Law Teck Hao, 29, editor akhbar
Lee King Thim, 41
Liew Thin Choi, 47
Melissa Wong Yuet Fun, 25
Mereka ditahan sejurus selepas diberikan amaran agar bersurai oleh pegawai polis Brickfields.
Penahanan itu tidak mematahkan semangat penyokong Wong untuk terus berhimpun di tempat yang sama. Menjelang 10 malam, kira-kira 30 orang berkumpul dan memulakan semula protes nyalaan lilin.
Lebih kurang jam 10.10 malam, polis menahan empat orang lagi, termasuk ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan penulis kolum Josh Hong di situ.
Dua wanita yang turut ditahan itu belum dapat dikenal pasti.
Sepuluh minit kemudian, dua lagi ditahan polis di dalam sebuah kereta - termasuk bekas wartawan Lim Hong Siang.
Usaha peguam RH Dipendra untuk menemui kumpulan lapan orang yang ditahan lebih awal tidak dibenarkan oleh polis.
Bersama sekumpulan pemimpin pembangkang dan NGO yang bergabung dalam Bersih, Wong melancarkan kempen berpakaian hitam esok - membantah persidangan DUN Perak - dengan slogan "1Malaysia Gelita, Demokrasi Didahulukan, Adakan Pilihanraya Sekarang"
Mereka meniru slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membawa wawasan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."
Sementara itu, ketua polis negara menggesa penyokong pembangkang agar tidak berkumpul beramai-ramai dan memakai baju hitam ketika berlangsungnya persidangan dewan negeri itu.
Tan Sri Musa Hassan menasihatkan mereka supaya tidak melayan saranan Bersih supaya memakai baju hitam dan berhimpun sebagai membantah persidangan itu.
"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menahan mereka yang berhimpun atau menghalang ahli dewan bagi menggagalkan persidangan tersebut," beliau dipetik berkata.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan