SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyelar pihak media yang menggunakan istilah ulamak konservatif dan profesional dalam menggambarkan perpecahan di dalam PAS. "Pesanan saya, kita tidak perlu terikut-ikut dengan budaya dan istilah asing seperti laporan media yang mengulas mengenai pemilihan parti dengan menamakan tertentu kononnya sebagai konservatif ulamak dan golongan profesional," ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam, petang ini. Tegsnya, jika terdapat golongan seperti yang didakwa itu sudah tentulah kita tidak sampai ke tahap ini dengan kejayaan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat serta mengadakan kerjasama dengan pihak luar yang lain. "Kita buat keputusan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat adalah suatu ijtihad, kalau kita konservatif, susah kita duduk bersama rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat. "Kalau kita konservatif, mungkin kita tidak akan sampai ke tahap ini. Maka, istilah itu tidak tepat kerana kita bukan jumud," katanya. Malah, beliau menegaskan sekali lagi agar pimpinan dan ahli PAS tidak mudah terperangkap dan terpedaya dengan mainan pihak tertentu khususnya media dalam memporak-perandakan kesatuan dalam jamaah. "Kita jangan mudah terperangkap dengan permainan orang luar memporak- perandakan kita di dalam PAS," katanya lagi. Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa PAS juga banyak merangka banyak pertemuan atau 'engagement' dengan pelbagai pihak bagi membantu memperkasakan parti. "'Engagement' ini tidak akan mengubah sama sekali dasar parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan, memandangkan ianya dibuat mengikut keputusan majlis Syura Ulamak, bukan secara individu," ujarnya lagi. Katanya, sekarang ini PAS telah mempunyai resepi untuk menaikkan imej Islam. Walaupun begitu katanya, aplikasi sikap keterbukaan yang disebutkan sebelum ini bukanlah bermaksud untuk mengadakan kerjasama dengan Umno sebagai musuh politik PAS. "Kita tidak akan membuat sebarang kerjaama dengan Umno dan tiada usaha -usaha untuk membawa PAS masuk ke dalam Umno," katanya lagi. Beliau turut membentangkan beberapa pindaan perlembagaan yang akan dikuatkuasakan selepas berakhirnya muktamar ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan