Manik Urai: Ahli Parlimen PAS akan adakan 'perkampungan' di Manik Urai

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Ahli-ahli Parlimen PAS akan adakan program berkampung selama tiga hari di lokasi (dalam Dun Manik Urai) yang ditetapkan oleh pihak sekretariat bagi kempen pilihan raya kecil Dun Manik Urai.

Program 'berkampung' itu akan bermula pada 6, 7 dan 8 Julai ini sebaik selesai proses penamaan calon, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata program itu akan menumpukan kepada gerak kerja kempen aktiviti kemasyarakatan khas di tempat yang telah dikhususkan.

Selepas program 'berkampung' itu, ahli-ahli Parlimen PAS bebas untuk berkempen di mana-mana kawasan lain di Manik Urai, katanya.

Program yang dikelolakan oleh Pengarahnya, Dr Hatta Md Ramli akan menumpukan kepada aspek khidmat masyarakat, program kesihatan, motivasi pendidikan, keagamaan dan program jumpa pengundi, ujarnya.

"Kita juga akan buat program hari keluarga untuk mendekatkan hubungan dengan rakyat di Manik Urai," katanya.

Program yang julung kali dibuat ini diharapkan mampu menjana kemenangan PAS yang lebih besar 14 Julai ini, ujar Mahfuz lagi.

Pilihan raya kecil Dun Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

PAS menampilkan Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah sebagai calon, sementara BN pula, Tuan Aziz Tuan Mat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan