KUALA LUMPUR: Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Sabtu mengumumkan sebanyak 29 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 19 Sept bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.
Menurut satu kenyataan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Sabtu itu menerusi radio dan televisyen.
Kawasan yang ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal ialah di Pontian Kecil Johor; Kampung Balik Batu Tanjung Bidara, Melaka; Pantai Aceh Pulau Pinang; Teluk Kemang Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Pulau Angsa dan Bukit Jugra di Selangor; Kampung Pulau Sayak, Pemandangan Indah Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; dan pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak.
Di Terengganu ialah di Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian dan Balai Cerap Kusza, Setiu; di Kelantan di Bukit Peraksi Pasir Putih, Bukit Kampung Tembeling Kuala Krai dan Menara Bangunan PKINK Kota Baharu; dan di Pahang ialah di Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan.
Tempat melihat anak bulan Syawal di Perlis ialah di Kuala Sungai Baru; Menara Kuala Lumpur di ibu negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya; Tanjong Lubang Miri, Teluk Bandung Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Tanjung Dumpil dan Menara Universiti Malaysia Sabah di Sabah.
-BERNAMA-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan