BN lakukan apa saja bila terdesak / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

V SIVAKUMAR

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) bukanlah satu kemenangan yang sebenar. Ada banyak faktor atau sebab yang telah mendorong kepada kemenangan tersebut. Ini tidak bermakna rakyat sudah mula menyokong BN dan menolak Pakatan Rakyat. Inilah satu-satunya pilihan raya kecil yang dimenangi oleh BN sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Undi pos turut menjejaskan keputusan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang. Undi tentera yang melebihi 4,000 di Dun Bagan Pinang ini telah memberi keyakinan kepada BN untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

Faktor yang sama juga telah melemahkan semangat Pakatan Rakyat dari awal-awal lagi. Bagan Pinang merupakan satu Dun yang ideal untuk BN menang. Kita tidak boleh menggunakan Bagan Pinang sebagai kayu pengukur untuk membuat apa-apa kesimpulan.
Kalaulah benar rakyat sudah mula menyokong BN, kayu pengukurnya terletak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak. Bubarkan Dun Perak dan adakan pilihan raya di seluruh Negeri Perak.

Saya mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mengambil tindakan segera bubarkan Dun Perak dan selesaikan kemelut politik Perak. Pemimpin-pemimpin BN tidak seharusnya takut lagi jika mereka percaya bahawa BN sudah mendapat kepercayaan rakyat. Apatah lagi dengan kemenangan besar BN di Bagan Pinang.

BN sendiri tahu bahawa kemenangan mereka di Bagan Pinang adalah dengan cara yang kotor. Calon yang diletakkan adalah calon yang ada rekod kes rasuah dan pernah diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno itu sendiri.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Mahaguru Umno telah menyeru supaya tidak meletakkan calon yang ada masalah ini. Beliau juga meminta pengundi untuk menolak calon rasuah. Tetapi, pengundi-pengundi Bagan Pinang telah membuat keputusan untuk tidak mengendahkan nasihat Tun Dr Mahatir itu.

Pengundi Bagan Pinang lebih yakin kepada Isa Samad. Bagi mereka, "rasuah pun rasuahlah, kami mahu Isa Samad, orang kampung kami".

Dengan meletakkan Isa Samad sebagai calon di Bagan Pinang, BN telah hilang kredibilitinya. Ini juga membuktikan BN tidak serius untuk memerangi najis rasuah. Kerana nila setitik rosak susu sebelangga.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab 'al-risywah'. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut.

Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Abu Hurairah RA. berkata: "Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum".

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka".

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: "Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya".

Islam mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah ini. Tetapi, Umno tidak mengambilkira ketetapan-ketetapan Islam dalam memilih calon. BN telah memberi jalan kepada orang yang rasuah untuk menjadi calon dan memenangi Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang.

Satu dosa besar telah dilakukan oleh semua orang yang terlibat dalam memenangkan calon yang tidak memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin Islam. Satu undi untuk Isa Samad merupakan satu undi untuk rasuah! Kemenangan di Bagan Pinang itu akan terus menggalakkan lagi agenda rasuah yang berterusan di kalangan pemimpin BN dengan merealisasikan kemenagan Isa Samad.

BN menghalalkan apa jua cara bagi mendapatkan kemenangan pilihan raya kecil Bagan Pinang setelah BN tujuh kali tewas pada pilihan raya kecil sebelum ini. BN sedar jika mereka kalah pilihan raya Bagan Pinang, mereka pasti akan hilang Putra Jaya dalam PRU ke-13 nanti. Dalam keadaan tertekan, kemenangan BN telah dijadikan mandatori dari awal-awal lagi.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk tindakan-tindakan yang secara jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi dan ajaran Islam itu sendiri. Malangnya kita terpaksa berdepan dengan undi pos yang begitu banyak di Bagan Pinang.

Amalan undi pos ini tidak relevan lagi. Bagi tentera dan polis yang menetap di Malaysia, kenapa perlu undi pos? Ini merupakan satu lagi taktik kotor BN untuk menang pilihan raya.

Undi pos dijadikan sasaran utama BN di Bagan Pinang. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tidak dibenarkan untuk masuk berkempen di dalam kem-kem tentera. Alasan yang diberi ialah keselamatan. Bukankah itu merupakan satu alasan yang sungguh remeh? Keselamatam siapa, tentera? Perayu undi? atau Umno BN?

Umno juga menghalalkan cara berkempen tidak bermoral sehingga mengancam keselamatan pengundi. Tindakan ini sebenarnya menakutkan para pengundi yang ketakutan keluar mengundi apabila melihat keganasan berlaku di sepanjang hari mengundi dan hari kempen.

Banyak insiden-insiden keganasan telah berlaku di Bagan Pinang. Budaya pilihan raya yang amat memalukan. BN sanggup mengadai nilai-nilai moral untuk mendapat kemenangan di Bagan Pinang. BN tidak lagi mempunyai maruah untuk berdiri sama tinggi dengan Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun, kemenangan BN tidak boleh diambil ringan. Ini merupakan satu 'wake up call' untuk Pakatan Rakyat. Kita seharusnya meningkatkan semangat perjuangan dengan lebih kuat lagi. Jadikan segala yang kita pelajari dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang sebagai satu pedoman.

Mudah-mudahan kita akan berjaya dalam semua pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi mahupun PRU ke-13 nanti.

Ditulis Oleh V SIVAKUMAR
Speaker Kerajaan Perak yang sah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan