Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 Okt: Seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak termasuk speakernya, V. Sivakumar secara rasminya memutuskan akan hadir ke persidangan DUN pada 28 Oktober ini.
ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dalam satu sidang media di parlimen petang tadi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah, V. Sivakumar.
Kesemua ADUN Pakatan dan ADUN BN menerima surat daripada Sivakumar bertarikh 13 Oktober yang mengarahkan mereka hadir ke persidangan DUN pada 28 Oktober ini.
"Ketetapannya Pakatan telah buat keputusan untuk hadir di atas dasar peringatan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah, V. Sivakumar, dan mesyuaratkan diteruskan.
"Kalau dulunya ada desas-desus kata kami (ADUN Pakatan) tidak akan hadir dan sebagainya, tapi hari ini kenyataan rasmi kami akan hadir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Sebelum menerima surat daripada Sivakumar, 59 ADUN termasuk 28 ADUN Pakatan telah menerima surat panggilan ke sidang dun bertarikh 12 Oktober.
Namun, Nizar menjangkakan dua orang ADUN BN, Osman Jailu dan Jamaluddin Md Razi tidak akan menghadiri sidang berkenaan kerana kes rasuah mereka masih dibicarakan dan hakim Mahkamah Sesyen Ipoh mengarahkan mereka hadir ke mahkamah pada tarikh itu.
Nizar turut menegaskan, Datuk Ganesan telah menyamar sebagai speaker dan tidak dilantik mengikut undang-undang tubuh negeri Perak.
Sehubungan itu, Sivakumar telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Menurut Nizar juga, Ganesan yang juga ADUN Sungkai telah melanggar perkara 36A(5) undang-undang itu yang menyatakan bahawa seseorang yang memegang jawatan awam iautu speaker mestilah melucutkan atau memberhentikan dirinya daripada menjawat atau mendaftar dengan mana-mana jabatan dan pertubuhan yang boleh memberikan keuntungan kepada dirinya.
Ini kerana ujarnya, dalam tempoh 3 bulan Ganesan mendakwa dirinya sebagai speaker, beliau masih lagi berdaftar dengan majlis peguam sebagai pengamal undang-undang yang aktif.
Perkara ini disahkan oleh Majlis Peguam sendiri yang memberitahu beliau hanya mengangkat sumpah meletak jawatan pada 17 Ogos lalu.
"Ganesan telah melanggar perkara 36A(5), dan dia tidak layak memegang jawatan speaker. Dia tidak layak untuk panggil apa-paa persidangan dan surat dia tidak laku."tegasnya.
Dalam ada itu, Nizar mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai orang yang bertanggungjawab di atas krisis yang berlaku di Perak.
Sehubungan itu, beliau mencabar Najib mengarahkan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir menghadap Sultan Perak memohon diperkenankan pembubaran DUN.
"Kalau betul Najib mengutamakan rakyat, beliau kena buktikan dan arahkan Zambry menghadap sultan untuk bubar dun. Kami rakyat Perak hormati undang-undang,"katanya lagi.
Tegasnya, jika Najib enggan berbuat demikian, terbukti 1Malaysia yang diperkenalkan hanya pembohongan semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan