Menuntut “perubahan” yang sebenar / UBN Najib Altantuya / PKFZ / Nizar

ROSLAN SMS
“Perubahan” adalah perkataan yang paling laris digunakan dalam perhimpunan agung Umno yang baru berakhir di PWTC. Dari Presiden ke barisan ahli-ahli MT sehinggalah ke para perwakilan, perkataan “perubahan” meniti laju di bibir masing-masing, Umno mahu berubah, Umno mahu bawa perubahan, Umno perlu berubah, BN perlu berubah, rakyat perlu berubah itulah slogan dan seruan sepanjang berkampung di PWTC.

Perhimpunan ini diadakan kira-kira 19 bulan selepas pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008 lalu. PRU ke 12 yang sungguh bersejarah itu telah menyaksikan “perubahan” besar pada lanskap politik tanahair. BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. BN gagal berkuasa kembali di Kelantan dan kecundang pula di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (walaupun kemudian berjaya bangkit balik di Perak melalui silap mata politik).

Kalau “perubahan” yang dicari, rakyat telah menunjukkan jalannya pada PRU ke 12 lalu. Rakyat rimas, bosan dan meluat dengan gelagat dan perangai BN dan Umno yang memegang tampuk kuasa di peringkat pusat dan semua negeri-negeri kecuali Kelantan. BN bongkak, BN sombong, BN rasuah, BN zalim, BN salah guna kuasa ringkasnya BN dan Umno gagal melaksanakan amanah mereka sebagai pemimpin rakyat. Kerana itu rakyat membulatkan tekad, kerana itu rakyat bangkit menuntut “perubahan”. Dan keputusan PRU ke 12 itu adalah natijah “perubahan” yang dilakar dan dicetuskan oleh kemahuan dan kehendak rakyat.

Tiba-tiba hari ini Umno mengajak kita semua berubah?

Mereka barangkali lupa atau dilupakan bahawa apa yang berlaku ke atas mereka hari ini adalah hasil dari kuasa “perubahan” yang dibawa rakyat. Sehingga ada perwakilan Puteri Umno dari Selangor menangis ketika berucap, menangis kerana Umno tidak berkuasa lagi di Selangor. Beliau lupa Umno dihukum oleh rakyat kerana Umno dan BN telah memperkosa mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat selama ini. Yang hilang dari tangan Umno adalah angkara “perubahan” rakyat, lalu janganlah berduka atau berhiba kerana apa yang ada hari ini adalah hasil kerja tangan pimpinan masing-masing.

Baguslah Umno mahu berubah. Baguslah komponan BN semua diajak berubah. Tetapi malangnya ia dituntut setelah ledakkan “perubahan” besar telah meletus hasil dari kebangkitan rakyat. Kalau rakyat telah selesa dengan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, mereka mungkin tidak akan berubah lagi. Kalau rakyat menaruh harapan dan keyakinan pada PR mungkin perubahan seterusnya adalah pukulan maut buat BN diperingkat yang lebih besar.

Umno dan BN memang perlukan semangat untuk bangkit semula. Lantas dijulanglah slogan “perubahan” ini. Mana tahu ia mungkin laku dan boleh dijaja sehingga bawa kemenangan besar buat BN selepas ini. Tetapi dalam pada itu rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sedang merasai “perubahan” sebenar. Rakyat di luar negeri-negeri ini sedang memerhati dengan penuh perhatian, apa yang dialami oleh rakan-rakan mereka di negeri-negeri PR.

Saya yakin sebagaimana disebut oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS dalam satu mesyuarat tertutup semalam, bahawa perubahan-perubahan yang dinyanyi-nyanyikan di PWTC itu sekadar ubat bius yang meringan dan menahan kesakitan pada tubuh Umno yang parah pasca PRU ke 12. Kalau kendur dan hilang kesan biusnya nanti maka kembali tenatlah mereka. Apa pun kita perlu mempertingkatkan usaha dan gerakerja masing-masing.

Perubahan besar yang mampu menyelematakan agama, bangsa dan negara terbukti hanya mampu dijelmakan oleh mereka yang ikhlas dan menepati garipanduan Illahi. Perubahan itu hanya ada di sini, tiada dua tiada tiga tetapi hanya satu jalan penyelesaian iaitu kembali kepada kehendak Allah dan Rasul.

Ayuh kita perjuangakan perubahan yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan