Minda Editor: Jangan Melawak Kononnya UMNO Sudah Insaf / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Rakyat harus mengucapkan tahniah kepada Umno kerana berani mengisytiharkan akan melakukan reformasi besar-besaran hingga ke peringkat akar umbinya. Parti itu ingin setiap lapisan pemimpinnya berubah sikap dan benar-benar ikhlas mendekati rakyat, mendengar rintihan dan keperluan mereka dan seterusnya secara jujur berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka.

Bagi kita ini adalah satu pengakuan yang berani daripada presiden Umno, Najib Razak hingga kepada lebih 2,000 perwakilan perhimpunan Umno hujung minggu lalu bahawa sudah tiba masanya untuk parti berubah – 19 bulan setelah ia dikejutkan oleh perubahan selera politik rakyat yang meluat dengan gelagat politik Umno yang memimpin Barisan Nasional (BN).

Dalil rasa menyampah rakyat itu ialah BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan pemerintahan di lima buah negeri. Ini tidak termasuk tiada majoriti dua pertiga di Negeri Sembilan.

Kita masih ingat dalam percubaan memulihkan semangat ahli-ahlinya, pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Najib telah menubuhkan pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas khas untuk mengkaji dan mengambil tindakan wajar untuk meletakkan semula Umno di lorong kemenangan abadi seperti slogannya – dulu, kini dan selamanya.

Umum tahu tiada satu puak akan memerintah sesebuah Negara selama-lamanya. Namun Umno sentiasa dibuai oleh kompleks mengkagumi diri sendiri sehingga melebarkan pesan Hang Tuah “tidak Melayu hilang di dunia” kepada ketaksuban bahawa ia akan memerintah Negara ini buat selama-lamanya.

Untuk berlaku adil kepada Najib dan konco-konco dalam parti dan yang menguasai media milik rakyat seperti RTM dan juga media swasta yang taat kepadanya, Umno memang berpeluang untuk merintis jalan kemenangan kembali jika ia benar-benar melaksanakan apa yang diwar-war dengan begitu gah pada dan selepas perhimpunan agung itu.

Mengambil kemenangan selesa dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober lalu, Najib dan Umno mendabik-dabik dada menyatakan kepercayaan rakyat, khususnya orang Melayu terhadapnya sudah pulih.

Ertinya, seperti sebelum ia dilanda oleh modal dan model “politik basi” kerana menganggap rakyat boleh sentiasa “dicucuk hidung” dan akan akur serta kagum dengan hipokrasi politiknya, parti itu akan terus menguasai sistem politik Malaysia.

Bagaimanapun kita ingin mengingatkan peminat, penganalisis dan pengampu politik Umno bahawa mesej sebenarnya tindakan rakyat khususnya orang Melayu dalam pilihanraya umum kedua belas Mac tahun lalu ialah, mereka mahu ada alternatif yang jelas kepada status quo politik Negara.

Rakyat dengan yakin melontarkan pesan dan perasaan mereka bahawa “amat sukar bagi si harimau bintang untuk mengubah tompoknya” kerana itu adalah sifat semulajadinya. Keangkuhan Umno sudah sampai ke kemuncaknya sehingga tidak segan silu memperlekeh kemampuan berfikir rakyat dalam hal-hal politik.

Malah Umno dan BN yang sentiasa mengekori tindakannya tanpa rasa bersalah memperalatkan institusi dan jentera kerajaan untuk kepentingan sempit pemimpin mereka. Lihat sahaja betapa angkuhnya timbalan presiden Umno menggunakan pesawat TUDM untuk acara politik parti di Sabah baru-baru ini.

Ini belum lagi mengambil kira cara Umno memperlakukan institusi lain seperti polis, tentera, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, badan kehakiman dan sebagainya. Umno harus insaf bahawa hak rakyat memang benar-benar mesti didahulukan.
Ini hakikat dan ia bukan hanya slogan dan retorik politik. Institusi awam seumpama ini ditubuhkan untuk memelihara kepentingan rakyat dan bukan Umno dan komplot BNnya sahaja.

Lantas kita harap Umno kali ini benar-benar insaf bahawa jalan paling tepat diambilnya ialah melakukan “taubat nasuha politik”. Ia jangan sama sekali mengulangi dosa politiknya cuba memperalatkan jentera dan institusi Negara untuk kepentingannnya.

Bukankah RTM, polis, badan kehakiman serta Perbendaharaan Negara itu milik rakyat. Mengapa hingga hari ini, ada rakyat, dan negeri, yang masih dinafikan hak mereka? Ingatlah bahawa sistem dua parti sudah bermula di Malaysia. Terimalah hakikat itu dan berusahalah untuk memberi khidmat terbaik.

Hanya keikhlasan akan menentukan kejayaan bagi mana-mana pelakon politik di Malaysia, terutama Umno. Sementara menunggu Umno memetik hasil daripada pohon politik baru yang disemainya, kita hanya berharap usahlah buat lawak dengan mengatakan pemimpin dan parti Umno sudah insaf akan dosa politiknya selama ini.
-tvantara.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan