Nizar vs Zambry: Orang Melayu Mula Terima PR- Nizar

Satu isu yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) ialah orang Melayu menolak Pakatan Rakyat (PR). Ini kerana Umno mendakwa bahawa PR gagal menjaga kepentingan kaum Melayu terutama di Perak dan hanya menjadi boneka kepada DAP.

Bagaimanapun perkara ini dinafikan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Menurutnya, Umno hanya memainkan propaganda tetapi hakikatnya setelah berjaya mentadbir Perak selama 11 bulan rakyat khususnya orang Melayu telah melihat cara pemerintahan PR yang berpaksikan dasar dan nilai universal (al-Islam).

"Kini orang Melayu telah mula membuka minda dan mata bahawa rupanya ada orang lain atau parti lain yang boleh urus tadbir Perak atau Malaysia. Bahkan lebih wibawa, cekap dan penuh amanah. Akhirnya orang Melayu Perak mulai sedar dan menghampiri setiap program anjuran PR," katanya.

Tetapi beliau mengakui perkara ini agak sukar dan memakan masa untuk meraih sokongan secara total kerana selepas kemerdekaan, Umno berjaya mencekam jiwa orang Melayu dengan slogan dan pelbagai jenama Islam tetapi tidak Islam sejati. Asalkan namanya Islam, orang Melayu tak kisah.

Nizar yang juga ahli parlimen Bukit Gantang melahirkan rasa gembiranya dengan sokongan yang diterima dari masyarakat bukan Melayu di Perak. Bahkan ramai di kalangan mereka yang mengaku turut di pengaruhi oleh mainan jahat Umno-BN terhadap PAS.

Ada di antara mereka yang menyatakan kami dulu pantang dengar PAS atau Islam kami cukup anti dan memusuhi PAS. Propaganda peringkat antarabangsa musuh Islam terhadap Islam juga memberi kesan kuat ke atas persepsi mereka kepada Islam dan sekali gus kepada PAS.

"Alhamdulillah sekarang mereka cukup yakin menyokong PAS hingga ke anak cucu. Buat pertama kali kaum Cina mengundi saya mewakili Pakatan Rakyat sejumlah 85 peratus yang terbesar di Parlimen Bukit Gantang pada 7 April 2008 yang lalu," jelasnya.

Perkara ini berbeza dengan Umno yang dilihat sebagai parti perkauman malahan memainkan sentimen perkauman malah setiap masa dan kewujudannya sendiri di atas landasan dan fahaman kebendaan, Assobiyah atau perkauman.

Tegasnya, Umno cuba untuk mempamerkan satu pendekatan dan imej Islam lebih-lebih lagi di zaman 1Malaysia Najib. Tetapi mereka tidak dapat menuju ke arah itu kerana budaya kebangsaan perkauman yang membarahi Umno kini.

Apa yang pasti tidak lagi pendekatan politik Malaysia di masa akan datang adalah politik lita’arafu. Yakni saling mesra bermesra dan hormat menghormati di antara satu kaum dengan kaum lain.

Ini bermakna mana-mana parti politik yang masih tidak berubah dalam sifat dan semangat fahaman perkauman mereka dengan sendirinya tertinggal atau diubah oleh masyarakat. Sekarang ini pun telah jelas kelihatan Umno, MCA , MIC dan semua parti perkauman dalam BN akan luput dan pupus satu demi satu.

Adalah lumrah sebagaimana Allah jadikan kepada kaum ‘Aad, Thamud dn Firaun, yang semuanya hebat suatu zaman dahulu. Namun di atas ketuanan bangsa dan kaum mereka, Allah ‘azabkan mereka dan hari ini mereka telah tiada walupun kesan peninggalan ketamadunan mereka masih segar bugar di Timur Tengah.
-tvantara.com-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan