Panggil sidang DUN khas betulkan bajet — Speaker Pahang

Zukri Aksah

Kerajaan negeri Pahang perlu memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas jika perlu untuk mengatasi masalah teknikal menyebabkan Bajet 2010 yang diluluskan bulan lalu didakwa tidak sah.Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin mengakui akan kesan undang-undang yang mungkin timbul akibat daripada kesilapan tersebut.

“Kalau ini benar, tidak ada gaji untuk kakitangan kerajaan negeri tahun hadapan,” katanya.

Wan Mohamad Razali yang terkejut dengan perkembangan itu memberitahu beliau belum dimaklumkan tentang hal tersebut oleh pihak-pihak yang berkenaan termasuk Pegawai Kewangan Negeri.

"Jika ia memang satu keperluan, maka sidang DUN khas patut dipanggil," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Wan Mohamad Razali menjelaskan beliau akan terlebih dahulu berjumpa dan berbincang dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Kata beliau, “saya akan berjumpa dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri untuk berbincang dan mendapat penerangan lebih lanjut.”

Semalam, The Malaysian Insider juga cuba menghubungi Pegawai Kewangan Negeri tetapi gagal kerana menghadiri beberapa mesyuarat penting.

Hari ini adalah mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang juga Timbalan Pengerusi II Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang telah mendedahkan bahawa Bajet 2010 negeri ini yang dibentangkan pertengahan November lalu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob didapati tidak sah kerana menggunakan tarikh semakan yang salah iaitu 2009.

Azan juga mendesak supaya satu sidang DUN khas dipanggil bagi membetulkannya dan membolehkan bajet tersebut dilaksanakan pada tahun hadapan.

Di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui yang kesilapan dalam Bajet 2010 Pahang itu adalah sesuatu yang besar dan ia perlu dibentangkan semula.

Tambah beliau, tidak ada mana-mana peruntukan yang membenarkan pembetulan dilakukan di luar dewan.

1 ulasan:

  1. biarlah peruntukan yg nak disalurkan kena pd sasarannya,skrg ni rakyat dok tengok apa yg YB2 buat, terutama golongan muda,moga2 PRU 13 msh milik BN. kemajuan jauh dari yg sepatutnya klu nk dibandingkn dgn negeri lain...Hrp dpt perhatian YB dan pihak Wisma negeri...Insyaallah, buat baik dibalas baik...

    BalasPadam